Pameran ‘homebody’: Gabungan seni dan terapi pelukis cilik semasa PKP

Oleh MIMI SALLEH untuk Lensa Seni

Hari itu khabar angin mula bertiup kencang mengatakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikuatkuasa semula. Tanpa berlengah saya terus ke Galeri Ilham kerana pameran kali ini ada kelainan. Sepanjang 20 minit perjalanan menaiki Grab menuju ke bangunan yang terletak di belakang LRT Ampang Park, katalog digital pameran lukisan homebody yang telah dimuat turun bermain di fikiran.

Perkataan homebody secara umum digunakan untuk menunjukkan kecenderungan dan keselesaan seseorang duduk di rumah. Sebaliknya, apabila PKP berlaku, homebody bukan lagi bermakna kita keseorangan di rumah. Kini, ahli keluarga berkumpul dan hampir semua aktiviti kerjaya, persekolahan, rutin keluarga malah aktiviti sosial berlegar di dalam ruang lingkup alam maya. Ini mencetuskan beberapa persoalan : Apakah interpretasi pelukis cilik ini mengenai tema homebody? Bagaimanakah tahap ekspresi seni kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun? Sudut seni manakah harus dikongsi dengan para pembaca kerana mereka adalah kanak-kanak tanpa latar belakang seni?

Keluar dari lif di tingkat tiga Galeri Ilham saya melalui pendaftaran semakan COVID-19. Kesempatan itu, saya memohon sekiranya dapat berjumpa dengan kurator galeri. Di sebalik pelitup muka, saya tersenyum saat bertentangan mata dengan Khat Mirzan, Eksekutif Galeri Ilham. Menurutnya pertandingan bertemakan homebody ini bermula pada Mac 2020 apabila PKP pertama kali dikuatkuasakan. Sebanyak 34 buah karya telah dipilih daripada lebih seratus penyertaan dan pameran dibuka bermula 5 Januari 2021- 5 Mac 2021

“Kami faham cabaran PKP bukan hanya dirasai oleh orang dewasa tetapi juga kanak-kanak. Justeru, pertandingan seni ini dianjurkan dengan harapan ia menjadi ruang kepada kanak-kanak untuk menyalurkan kreativiti dan pada yang sama mengurangkan kegelisahan dan kebosanan berada di rumah sewaktu PKP.”

Apabila bertanya mengenai kriteria pemilihan para pemenang, Khat membawa saya ke sebelah kiri ruang pameran. Memasuki bilik itu, saya terasa seperti Alice di daerah Wonderland yang terpaksa mengecilkan saiz badan kerana semua lukisan digantung mengikut aras mata kanak-kanak. Melihat lukisan-lukisan ini secara berdepan terdapat rasa kagum berbaur empati. 

Mengikut pandangan mata kasar, lukisan yang tergantung kelihatan seperti contengan si anak kecil bermain dengan dakwat dan catan. Tetapi apabila membaca deskripsi bersebelahan setiap lukisan terasa diri dibawa ke alam imaginasi kanak-kanak yang bercerita perihal perubahan rutin harian, kesunyian, ketidaktentuan, kemurungan dan kekeliruan. 

“Ini karya-karya yang kami kategorikan sebagai special mention. Walaupun lukisan mereka naif, ekspresi seni dan interpretasi mereka terhadap tema memberi makna pada keseluruhan karya. Itu salah satu kriteria pemilihan pemenang,” jelas Khadijah sambil menunjukkan beberapa lukisan.

Misalnya lukisan “MCO Survival Guide (lihat gambar utama) oleh Leong Jen Cheng berusia 10 tahun. Lama saya berdiri di depan lukisan Leong membaca huraiannya mengenai homebody iaitu “Pada saya “homebody’ bermaksud tubuh saya di rumah tetapi kadang-kala fikiran saya akan menerawang merata-rata seperti di dalam lukisan ini. Ia seakan rutin, tetapi rutin yang kucar-kacir.” 

Leong juga menggunakan simbol tengkorak untuk mewakili dirinya kerana dia melihat tengkorak sebagai sesuatu yang lucu dan menakutkan. Mengamati lakaran menggunakan pensel, pensel warna dan artline itu kita boleh melihat suasana di rumahnya bermula dari saat dia bangun tidur sehinggalah membawa ke malam. 

Lukisan “Daddy and Us” oleh Embun Jameela Mohd Ridzwan

Bagi Embun Jameela Mohd Ridzwan, 7, dia menggunakan medium kadbod untuk menzahirkan karya yang bertajuk “Daddy and Us. Jika lukisan-lukisan lain menunjukkan kekeliruan pelukis pada saat PKP, sebaliknya Embun menyatakan rasa gembira. Saya tidak tahu mahu tersenyum atau hiba membaca deskripsi lukisan yang berbunyi, “Bersama ayah di rumah. Homebody bermakna saya dapat meluangkan lebih masa bersama ayah dan kakak saya. Oleh kerana ayah saya selalu sibuk di pejabat, saya senang sekali apabila melihat ayah berada di rumah ketika ini.”

Lukisan “My Creative Outer Space” oleh Kristen Png Xue Rhys

Ada juga pelukis cilik yang memasukkan elemen falsafah ke dalam lakaran dan deskripsi. Misalnya Kristen Png Xue Rhys, 10, menggunakan tapak kaki yang menunjukkan setiap ruang di dalam rumah dan tempoh PKP seperti memasuki ruang angkasa imaginasi melalui simbol-simbol nama planet. Lukisannya bertajuk My Creative Outer Space menggunakan medium pen marker dan warna air atas kertas. 

Lukisan “MCO – A Blessing in Disguise” oleh Rohan Sreesanthan

Kedalaman makna ini juga boleh dilihat pada lukisan Rohan Sreesanthan, 8, yang memasukkan simbol tulisan cina yang membawa maksud api, air, tanah dan udara, simbol jambatan dan simbol-simbol agama untuk menunjukkan kita tinggal di dalam dunia yang saling berkait antara satu sama lain. 

Lukisan “Starry Starry KL” oleh Yong Hui Yin

Tidak ketinggalan Young Hui Yin, 12, pelukis cilik yang mengambil inspirasi gaya lukisan pelukis tersohor Vincent Van Gogh untuk lukisannya yang bertajuk Starry Starry KL”. Pada deskripsi lukisannya, dia mengakui merindui permandangan Menara Berkembar KLCC yang dilihat setiap kali ke sekolah. 

Melihat interpretasi tema homebody dalam norma baharu PKP dari kaca mata kanak-kanak di Galeri Ilham ini adalah sesuatu yang mengubah paradigma saya mengenai seni visual. Kanak-kanak secara semulajadi mempunyai rasa ingin tahu namun dalam proses adaptasi dengan suasana PKP dan pandemik COVID-19 kanak-kanak dibelengu rasa keliru. Dalam hal ini, seni mampu menjadi terapi bagi kesihatan mental kanak-kanak. Nikki Rowe, seorang penulis, ada berkongsi catatan, “Art is my cure to all this madness, sadness and loss of belonging in the world and through it I’ll walk myself home” yang boleh digunakan untuk menggambarkan kebebasan seni kepada kanak-kanak untuk bermain dengan warna, tekstur dan konsep melalui ekspresi seni dalam mencipta utopia tanpa dihakimi. Kebebasan ini kini menjadi keperluan kepada kanak-kanak dalam menghadapi pandemik.

Gambar utama menunjukkan lukisan “MCO Survival Guide” oleh Leong Jen Cheng

Mimi Salleh merupakan peserta PROGRAM BIMBINGAN MENTOR & PENULISAN SENI CENDANA 2021

Pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini adalah milik pengarang sendiri dan tidak mewakili pendapat CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan dari sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, kelalaian, dan/atau pelanggaran harta intelek yang disebabkan pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, di platform CENDANA atau di platform pihak ketiga.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites