Pameran ‘GERAK BAYANG: Seni Penceritaan’ ikatkan tiga elemen seni

Pameran ini menggabungkan seni persembahan, estetika visual dan kreativiti sastera di dalam ruang yang sama.

Dari 19 Ogos 2023 hingga 28 Januari 2024, sebuah pameran berjudul Gerak Bayang akan mendefinisikan semula sempadan seni serta mengasyikkan pengunjung dalam alam imaginasi dan ruang usahasama yang belum pernah dialami.

Diadakan di Muzium Bank Negara Malaysia, GERAK BAYANG didorong oleh wawasan yang menggabungkan bentuk seni dalam melambangkan keharmonian yang diperlukan buat sesebuah organisasi. Sama seperti sebuah organisasi, pameran ini menyerlahkan kepentingan kepelbagaian bakat dan kepakaran. Idea ini dihidupkan menerusi persembahan wayang kulit yang memukau.  Ibarat sebuah kumpulan yang pelbagai sedang bekerjasama untuk memberikan persembahan yang lancar, sesebuah organisasi juga memerlukan pelbagai kemahiran dan perspektif untuk meraih kejayaan.

Noreen Zulkepli, Pengarah MAG BNM berkata, “GERAK BAYANG bukan sekadar paparan artistik. Pameran ini merangkumi falsafah bahawa kreativiti berfungsi sebagai pemangkin ketangkasan dan rangkuman. Karya-karya seni ini menawarkan perspektif yang berbeza, mencerminkan tenaga serta potensi untuk mengembangkan idea, pandangan, dan pendekatan. Pameran ini juga menjadi wadah yang menunjukkan bagaimana penerapan pendekatan kreatif yang pelbagai boleh mendorong kepada hasil yang lebih kaya dan inklusif; suatu iktibar berharga yang boleh diterapkan dalam dunia seni dan juga masyarakat umum.”

Pameran ini menampilkan gabungan kehandalan seni menerusi 39 seniman terkemuka dan baharu yang menyumbangkan 144 karya seni. Barisan ini menampilkan nama-nama terkenal seperti Nik Zainal Abidin, Long Thien Shih, Ismail Mat Hussin, Syed Thajudeen, Mad Anuar, Chang Fee Ming, Adeputra, Masnoor Ramli Mahmud, Haris Abadi, Nik Husyaidie dan Ismail Awi.

Pengunjung akan menyaksikan ekspresi artistik yang sangat pelbagai. Ekpresi ini terdiri daripada karya yang menggunakan pelbagai medium termasuk kulit kerbau atau lembu, kertas dan kanvas serta melalui penyatuan teknik media baharu yang canggih. Jangan lepaskan peluang untuk membawa pulang sebahagian daripada pengalaman pameran ini. GERAK BAYANG menawarkan rangkaian barangan istimewa yang diilhamkan daripada pameran ini. Program percuma untuk orang ramai seperti bengkel seni yang dikendalikan oleh seniman, ceramah seni, bengkel membuat boneka dan persembahan wayang kulit juga tersedia untuk pengunjung dari semua peringkat umur.

Ketahui lebih lanjut dengan melayari museum.bnm.gov.my/gerakbayang.

Gambar utama memaparkan persembahan peluncuran acara oleh Adiguru Wayang Kulit, Che Mohd Nasir bin Yusoff (Pak Nasir)

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites