Program ini disemarakkan dengan pelbagai acara menarik sehingga penutupnya di bulan Disember.
Oleh NABILA AZLAN
Akhirnya sahaja sidang media rasmi sempena pelancaran Art In The City (AITC) 2021 pada tengah hari ini (30 Sept), rasa teruja kian terasa!
AITC merupakan program edisi ketiga dalam senarai acara tahunan CENDANA Malaysia di bawah kelolaan MyCreative Ventures. Program yang dirancang dengan usaha sama badan-badan awam dan swasta ini mengetengahkan pelbagai bentuk seni dan hasil kreatif barisan artis tempatan, seiring dengan harapan untuk memacu ekonomi seni budaya Malaysia. Ia juga platform khas demi menggalakkan penglibatan khalayak dalam aktiviti seni tempatan.
Kata YB Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr. Annuar Haji Musa dalam ucapan beliau sebentar tadi di KLPac, “Ekonomi kreatif adalah komponen penting dalam pertumbuhan ekonomi, pekerjaan, perdagangan, inovasi dan perpaduan sosial untuk negara maju.” Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan pimpinan beliau komited untuk menyokong sektor seni budaya melalui inisiatif PRISMA. Tambah beliau lagi, “Kerajaan meraikan kepentingan seni dan budaya. Pemulihan dan pembangunan sektor ini teras kemajuan sejagat khalayak dalam keluarga Malaysia.”
Di acara perasmian tadi juga, hadirin disajikan dengan persembahan pembuka tirai yang serba lunak oleh penyanyi dan pemain sape, Alena Murang dan pemain guzheng, Sara Heng. Duo kelahiran Sarawak dan Pulau Pinang ini melambangkan keunikan seni budaya Malaysia, sesuai dengan misi AITC. Selain itu juga, persembahan mereka memberikan bayangan tentang hebatnya hasil karya tempatan; semestinya inilah yang akan kami bawakan kepada anda bermulanya bulan hadapan.
Apa yang menanti anda di Art In The City (AITC) 2021?
Forum KUL.CEF mengumpulkan pakar-pakar industri seni unggul tempatan dan antarabangsa. Bermula 14 Okt ini, sertai dialog berkenaan sisi baharu demi merancakkan pertumbuhan seni dan budaya.
Festival KLWKND yang diadakan selama empat hari memaparkan corak seni unik bandaraya Kuala Lumpur. Datanglah ke pusat bandar pada 25 – 28 Nov untuk menyaksikan pertunjukan sejarah, seni, reka bentuk, kebudayaan dan warisan yang julung-julung sekali disusun!
Kelas Seni Awam atau Open Art Classes (OAC) dibawakan kepada orang ramai pada hujung minggu sebagai medium untuk memperolehi kemahiran kreatif terus daripada tenaga mahir tempatan.
Panggung Rakyat merupakan barisan persembahan yang ada sehingga bulan Disember sebagai penghargaan terhadap seni budaya Malaysia.
The Light Project akan mentransformasikan bandar-bandar terpilih di serata negara.
Program TripART yang diusahakan bersama-sama CIMB Group dan Yayasan Hasanah mengajak orang ramai untuk menyumbang ke arah kelestarian seni dan budaya.
Simposium sempena Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 di bulan Disember membangkitkan perbualan pasca 50 tahun.
Sensorium of Inversion/Immersion (SENSORii) pada 1-28 Dis menutup tirai gemilang AITC. Pameran media pelbagai ini bertujuan memukau setiap deria.
Semua dijemput hadir untuk memeriahkan AITC 2021. Bersama, kita raikan ekosistem seni dan budaya tempatan!