Lee Mok Yee dan Mark Tan menafsir kehidupan di bandar dalam Rudiments

Oleh DANIAL FUAD

Rudiments membawa pengertian fakta ringkas dan asas berkenaan sesuatu perkara. Lee Mok Yee dan Mark Tan merupakan dua seniman muda yang berkongsi sebuah studio di Kuala Lumpur dan pameran ini merupakan pemahaman mereka berkenaan kehidupan di bandar. Hampir 30 keping karya melalui beberapa siri menghiasi ruang dinding pada pameran kali ini dan karya-karya ini telah disusun letak oleh mereka sendiri.

Ellen Lee, penulis tamu bagi pameran ini telah menyatakan “Lee Mok Yee dan Mark Tan sering kali terpesona dengan pembangunan bandar dan pencakar langit di mana ia juga merupakan tema dan sumber inspirasi utama dalam praktis seni mereka.”

Pameran ini telah disusun letak di mana setiap kawasan dibahagikan kepada beberapa siri pilihan kedua-dua seniman. Mungkin sedikit sukar untuk menghayati karya-karya mereka kerana ketiadaan imej-imej formal dalam karya dan ini menurut Lee adalah kerana “Sifat formalistik bahantara pilihan mereka lebih diketengahkan daripada penghasilan sebarang imej yang dapat dikenalpasti; dan atas dasar ini kedua seniman lebih senang berkarya menggunakan warna monokrom.” A Series of Plants dan To the Moon Series oleh Tan digandingkan dengan karya Mok Yee, 130BPM; Siri Block/Lines oleh Tan pula bersama Rhetorical Garden Mok Yee; Rain Patterns digandingkan bersama beberapa karya vertikal Mok Yee dan akhir sekali, siri Symbiosis digandingkan dengan Landscape Drawing no 6.

Tan merupakan seniman yang mengamalkan seni cetak di mana beliau menghasilkan cetakan di atas kertas dan juga kanvas. Lebih selesa menghasilkan karya hitam putih, karya-karya beliau kebanyakkan bermula melalui sekeping gambar. “Imej-imej yang diambil Tan melalui proses pengubahsuaian yang banyak; menukarkan gambar ke monokrom dan menaikkan kontras gambar lantas menukarkan mereka kepada bentuk paling mudah,” tambah Lee. Ini semua dapat dilihat dengan jelas sekali dalam karya-karya Tan dalam siri To the Moon di mana sisa-sisa imej digandingkan dengan bentuk geometrik lalu menghasilkan binaan baharu. Tan lebih berminat dengan bentuk mudah sesebuah perkara seperti ditunjukkan juga dalam siri A Series of Plants beliau di mana melalui pengunaan berus yang kasar mencerminkan kehidupan di bandar yang ramai sedia tahu cukuplah mencabar.

Bermula daripada pameran tunggalnya di Richard Koh Fine Art pada tahun 2020, Mok Yee kini menghasilkan karya mengunakan gabus di mana karya-karyanya seakan-akan kacukan antara arca dan juga catan. Ujar Lee lagi “Mok Yee mengoyakkan dan meyusun kepingan gabus di atas satu sama lain menghasilkan corak seakan-akan ombak menurun dalam siri Landscape Drawing dan jalinan yang menonjol dalam sirinya yang lain.” Karya-karya Mok Yee ini mengingatkan tentang busut dan keadaan dalamannya dan ini sangatlah bertepatan dengan apa yang cuba disampaikan tentang pembangunan. Karyanya 130BPM sangatlah menarik dimana terdapat sebuah lingkaran besar yang berombak menceritakan tentang naik turun kehidupan di bandar dan lingkaran itu pula mencerminkan rutin seharian yang berulang-ulang.

Rudiments meneroka rentak dan pergerakkan kehidupan di bandar melalui bahantara pilihan para seniman,” tambah Lee. Disebabkan ketidakhadiran sebarang imej formal memberi ruang untuk orang ramai menafsir sendiri tentang apa yang cuba disampaikan oleh kedua-dua seniman tersebut. Karya-karya ini membuat pengunjung berfikir dengan lebih mendalam sebelum menjatuhkan sebarang keputusan. Cara karya-karya disusun letak di alam ruang Temu House ini juga memberikan ruang bernafas yang sangat luas kepada pengunjung dan menguatkan lagi rasa kesunyian; salah satu sifat kehidupan di bandar.

Tahniah kepada seniman dan semua yang terlibat dalam penghasilan Rudiments kerana membawa sebuah pameran yang mempunyai nafas baru selain daripada pameran konvensional seperti figura atau pun landskap. Pameran ini berlangsung sehingga 31 Jul di Temu House, 49, Jalan 16/9e, Seksyen 16, 46350 Petaling Jaya, Selangor dibuka pada hari Sabtu dan Ahad dari jam 10pg – 5ptg manakala lawatan pada hari lain adalah melalui temujanji sahaja.

Orang ramai juga dijemput hadir untuk acara borak seni yang bakal berlangsung pada hari Ahad, 31 Jul ini pada jam 3ptg bersama seniman terlibat dan pemudahcara Sarah Merican. Pendaftaran boleh boleh dibuat melalui laman sesawang ini. Maklumat lanjut  berkenaan Mark Tan boleh didapati di sini manakala Lee Mok Yee pula di sini. Untuk sebarang kemaskini berkenaan acara yang berlaku di Temu House, bolehlah layari laman Instagram mereka di sini.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites