Empat lapangan terbang antarabangsa di negara kita digubah menjadi sebuah tapak pameran seni bertemakan budaya, seni dan warisan alam semulajadi.
Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI
“Kepada pelawat kami ucapkan selamat datang ke Malaysia dan kepada warganegara selamat pulang ke tanah air.” Slogan kata ini amat dekat dengan hati rakyat Malaysia yang sering merentas sempadan negara. Namun kali ini Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengangkat slogan kata ini ke suatu tahap yang lebih tinggi dan memberikan ia sebuah nafas baharu dengan program KUL Art Airport.
Sepertimana yang kita semua sedia maklum, sempadan negara telahpun dibuka sepenuhnya pada 1 April yang lalu selaras dengan pengumuman peralihan negara ke fasa endemik. Ini juga bermakna pengunjung daripada dalam dan luar negara kini bebas untuk terbang melawat destinasi serata dunia selepas hampir dua tahun melalui sekatan untuk merentasi sempadan luar negara.
Sejajar dengan pembukaan ini, KUL Art Airport yang merupakan sebuah program anjuran Balai Seni Negara di bawah MOTAC dengan kerjasama Malaysia Airports telah mengambil tempat untuk mempamerkan karya-karya dari anak seni tempatan. Program yang akan berlangsung sehingga bulan Jun ini akan mempamerkan pelbagai seni yang menarik di empat buah lapangan terbang terpilih iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Pulau Pinang (PIA), Kota Kinabalu (KKIA) dan Kuching (KIA).
Keempat-empat lapangan terbang ini dihiasi dengan karya daripada artis yang berbeza namun fokus dan temanya tetap sama iaitu elemen budaya, seni, warisan dan alam semula jadi, selari dengan matlamat Balai Seni Negara untuk melestarikan ekosistem seni tempatan. Melalui program KUL Art Airport ini juga, pelancong yang memasuki pintu-pintu masuk utama negara ini dapat menikmati tarikan baharu yang disediakan ini.
Program KUL Art Airport ini telah dirasmikan oleh Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia pada 9 April, turut berkongsi rasa bangga terhadap apa yang telah dicapai oleh semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.
“Saya ingin merakamkan terima kasih kepada pelukis dan pengkarya yang terlibat kerana anda juga merupakan ‘duta’ negara yang terus mempromosikan Malaysia di mata dunia, Tahniah!” ujarnya sewaktu majlis perasmian hujung minggu lalu.
Di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), karya yang dipamerkan bertajuk Polyhedron Pavilion ini dikaryakan oleh Allahyarham Noah Iskandar Fuad yang telah meninggal dunia pada tahun 2021 dan tidak sempat untuk melihat karyanya dipamerkan untuk tatapan pengunjung di pintu masuk terbesar negara kita. Polyhedron Pavilion ini amat unik kerana ia turut mengangkat karya lain bersama-sama di dalam pavilion tersebut.
Karya ini diinspirasikan oleh geometri yang berasal daripada budaya tatu suku kaum di Borneo, yang juga merupakan asal-usul keluarga ibu Noah. Pavilion ini boleh dialihkan dan mampu menjelajah ke tempat-tempat yang berbeza untuk mempromosikan hasil seni & kraf Malaysia dengan pelbagai poster yang dipaparkan di dalam pavilion ini. Poster-poster ini adalah sebuah paparan hasil seni negara kita yang bertujuan untuk memupuk kesedaran mengenai hasil tangan anak-anak seni negara kita.
Polyhedron Pavilion ini juga mampu memberi inspirasi kepada pengunjung tempatan serta antarabangsa yang datang mengunjungi KLIA. Turut hadir pada majlis perasmian itu adalah ibu bapa kepada Allahyarham Noah, iaitu Fuad Abdullah dan Louise Manjaji yang sempat berkongsi perasaan mereka bersama kami.
“Kami berasa bangga dengan Noah terutamanya kerana dia telah mendalami akar umbi di Borneo sebagai sumber inspirasinya namun apakan daya Noah tidak dapat berada bersama kita hari ini,” kata Louise meluahkan rasanya.
Karya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pula telah dihasilkan oleh pelukis tempatan yang terkenal iaitu Kenji Chai. Karyanya kali ini diberikan nama Nature Mind of Landscape dan merupakan sebuah graffiti yang terletak di hadapan pintu masuk bangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Chai dalam lukisannya ingin mengingatkan generasi pada hari ini mengenai kepentingan alam sekitar dan kehidupan haiwan liar yang semakin hari semakin pupus ditelan arus zaman.
Tema dan mesej yang ingin disampaikan ini amat sesuai dengan negeri di bawah bayu yang cukup kaya dengan khazanah alam semula jadi yang menjadi antara daya tarikan paling besar buat pengunjung yang hadir ke Sabah. Lukisan yang moden ini menggambarkan haiwan-haiwan liar yang berlatarbelakangkan landskap kehutanan negeri Sabah. Chai telah dapat menghimpunkan mesejnya itu ke dalam sebuah lukisan yang cukup indah dan keunikan negeri Sabah itu amat terserlah.
Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan melindungi, memelihara dan memulihara khazanah alam yang ada di negara kita ini. Kita seharusnya membuka mata dan menimbulkan kesedaran dalam diri untuk sentiasa menjaga khazanah negara kita. Artis ini juga harap agar generasi Keluarga Malaysia yang akan datang mendapat peluang untuk mendalami alam kehijauan flora dan fauna yang ada sambil melayari dunia yang semakin moden dan berteknologi tinggi.
Di Pulau Pinang pula, karya bertajuk OH! Budaya yang dipamerkan di dalam kompleks Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ini merupakan hasil tangan Sumay Cheah dan Ho Lay Hoon. Karya ini diperbuat daripada papan lapis dan plexiglas yang diguna semula dan setiap panel itu mempunyai keunikan dan coraknya yang tersendiri. Namun apabila semuanya digabungkan, maka karya yang berdiri tersebut membentuk sebuah arca menarik yang cukup cantik dan unik.
Artis ini ingin ketengahkan keunikan dan perbezaan yang ada pada kita sebagai rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan latar belakang namun apabila kita semua bergabung dan berdiri teguh kita berkongsi sebuah identiti yang sama sebagai seorang rakyat Malaysia. Arca ini menghayati aspek kepelbagaian warna kulit, masyarakat dan budaya yang ada di negara kita ini tanpa sempadan. Bagi kanak-kanak yang mengunjungi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, mereka juga boleh bermain dengan arca interaktif ini dan mengintai melalui tingkap-tingkap yang ada pada arca ini sekaligus menjadi tempat untuk kita semua berhubung, berinteraksi dan dalam masa yang sama bermain di arca ini.
Karya keempat yang dipamerkan pada program KUL Art Airport ini terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan diberikan nama Reciting Hope. Karya ini merupakan hasil tangan kolektif anak seni tempatan yang ingin mempamerkan sebuah visi untuk mengetengahkan nilai kebudayaan dan alam semula jadi. Pada dasarnya, arca ini membuatkan kita berfikir mengenai persoalan seperti siapa diri kita? dan mengapa kita berada di sini?
Karya ini mempunyai sebuah bongkah konkrit pecah yang melambangkan peperangan, kejatuhan ekonomi, bencana alam sekitar dan wabak yang kita telah hadapi bersama. Hasil daripada krisis ini pula maka timbul masalah-masalah seperti isu sosial, kemelesetan ekonomi dan akhirnya membawa kepada kemiskinan. Maka itulah sumber inspirasi kepada arca dan juga cerita disebalik nama Reciting Hope, sebuah harapan untuk kita bangkit kembali sebagai sebuah negara bangsa yang lebih cemerlang.
Menariknya mengenai arca ini, pengunjung juga boleh menyaksikan karya ini secara Augmentasi Realiti (AR) dengan cara mengimbas kod QR yang terdapat di hadapan arca tersebut. Melalui kaedah ini juga pengunjung yang hadir dapat melihat seekor burung Kenyalang, burung yang cukup sinonim dengan negeri Sarawak Bumi Kenyalang ini, mengelilingi arca tersebut yang melambangkan pertumbuhan lestari yang ingin dicapai oleh Sarawak melalui teknologi digital sambil sentiasa memelihara nilai budaya dan alam semulajadi yang ada pada kita.
Buat anda yang ingin melawat empat karya yang menarik ini, pihak Balai Seni Negara juga membuat peraduan video pendek berdurasi satu minit. Lawat, rakam dan muat naik video anda ke akaun media sosial serta menggunakan hashtag berikut, #kulartairport #artbest #malaysiaairports dan pelbagai hadiah-hadiah menarik menanti anda. Maklumat lanjut berkenaan program KUL Art Airport dan juga peraduan yang menarik ini, anda boleh melayari laman-lama sosial Balai Seni Negara di Facebook Twitter dan Instagram.