Komat Jolobu di layar panggung

Gadis Jolobu the Movie bakal ditayangkan pada 4 Ogos 2022 ini

oleh DANIAL FUAD

Ko jolobak ko jolobu
Tuai padi tigo tangkai
Kalau kono komat jolobu
Tak mati badan menghasai

Semestinya ramai sudah kenal dengan pantun di atas yang dibawa oleh Dato’ Hattan bersama W.A.R.I.S. di dalam lagu Gadis Jolobu yang sudah menerima lebih daripada 10 juta tontonan di YouTube. Dengan premis tersebut, Hattan telah bertemu dengan Saraleana Nattaya Azmi, Pengasas dan Pengarah Zebra Studio untuk membentangkan idea membuat sebuah filem dari lagu tersebut.

“Mengikut lagu tersebut, apabila kita berkahwin dengan gadis Jolobu, kita terus melupakan asal usul kita tetapi tidak, itulah yang kami nak ketengahkan dalam filem ini,” ujar Dato’ Hattan.

Filem Gadis Jolobu ini merupakan filem pertama di dalam 12 filem kerjasama projek mega antara Tremendous Studio bersama Zebra Studio. “Kami telah memilih filem ini sebagai filem pertama untuk dikeluarkan kerana selepas apa yang kita lalui sepanjang dua tahun setengah ini, orang ramai memerlukan sedikit keceriaan,” ujar Datuk Jared Lim, pengerusi Tremendous Entertainment.  

“Direktor Hor merupakan antara pengarah filem yang dikenali di Hong Kong dan ini mungkin filem yang ke-18 beliau, tetapi ia merupakan filem pertama Bahasa Melayu arahan beliau di Malaysia,” tambah Jared lagi. CL Hor merupakan pengarah bagi filem ini dengan portfolio filem seperti The Loan Shark (2011) dan Four Dragons (2008).

Selain daripada Dato’ Hattan, peneraju utama lain bagi filem ini merupakan Khir Rahman, Joey Daud dan juga bintang baru, Ahirine Ahirudin. “Ini merupakan filem pertama saya dimana sebelum ini saya lebih berada dibelakang tabir, jadi semestinya sangat gemuruh apabila dapat berlakon di samping Dato’ Hattan, Khir Rahman dan juga Joey Daud tapi semua ini ilmu bagi saya dan saya cuba sebaik habis,” ujar Ahirine.

Gadis Jolobu telah melalui proses rakaman di Kampung Lonek, Negeri Sembilan dan semestinya kesemua pelakon bertutur dalam dialek Negeri Sembilan. “Bagi seorang yang kampungnya di Petaling Jaya, pengalaman berkampung semasa proses pengambaran filem ini sebuah pengalaman yang sangat baru bagi saya,” ujar Saraleana Nattaya Azmi, pengasas dan pengarah Zebra Studio. “Kami percaya filem Gadis Jolobu the Movie adalah permulaan yang baik untuk merealisasikan visi kami bagi mengangkat kandungan Malaysia ke peringkat glokal,” tambahnya lagi.

Semestinya Gadis Jolobu the Movie ini merupakan sebuah langkah yang bagus terhadap industri perfileman Malaysia dengan mengangkat budaya dan tradisi Minangkabau ke layar panggung . Tidak hanya bakal ditayangkan di Malaysia, Hor juga berkata, “Kami menyasarkan filem Gadis Jolobu the Movie ke pasaran luar negara. Buktinya, kami sudah mempunyai pengedar dari Indonesia dan Thailand yang mahu bekerjasama.”

Bakal menemui penonton pada Khamis (esok), 4 Ogos 2022 ini pawagam Golden Screen Cinemas di serata negara. Mereka telah melakukan tayangan perdana Jumaat, 29 Julai lalu dan telah mendapat sambutan yang sangat meriah. Turut hadir juga adalah Tunku Laksamana Negeri Sembilan, Y.A.M. Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Ja’afar bersama-sama keluarga memberi sokongan kepada tayangan perdana tersebut.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites