Khazanah Malaysia di Muzium Tekstil Negara

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Apabila kita bicara berkenaan tekstil atau tenun, perkataan yang jarang diguna pakai membuatkan ramai yang sering keliru akan maknanya. Ini kerana masyarakat kita pada hari ini lebih sinonim dan cakna dengan ‘fesyen’. Perkataan yang lebih mudah difahami dan digambarkan di dalam benak fikiran orang-orang kita. 

Kain Rentang di Muzium Tekstil Negara, Kuala Lumpur

Namun begitu, fesyen, tekstil dan tenun semuanya mempunyai persamaan yang saling berhubung kait antara satu sama lain. Apa yang lebih tepat adalah tekstil merupakan hasil daripada pembuatan tenunan iaitu percantuman ribuan malah jutaan benang-benang yang diperbuat daripada pelbagai jenis bahan contohnya emas, sutera dan pelbagai jenis bahan-bahan mewah yang lain.

Apabila tenunan ini telah siap dijadikan sebuah lembaran kain atau tekstil, maka ia dijadikan pakaian untuk menutupi tubuh badan kita. Cara dan kreativiti mendandankan busana itu ke atas seseorang individu pula merupakan fesyen. 

Kitaran seni kreativiti tekstil, daripada pembuatan benang itu sendiri sehinggalah ia menyentuh kulit kita merupakan satu peradaban manusia yang bermula sejak ribuan tahun dahulu seawal zaman sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW dan Nabi-Nabi sebelumnya lagi.

Penceritaan Tekstil Melayu

Tujuan asal penghasilan sebuah kain adalah untuk seseorang itu menutupi auratnya atau erti kata lain, menutupi bahagian badannya yang tidak sesuai dipertonton oleh orang awam atau khalayak ramai.

Di ibu kota pada hari ini, Muzium Tekstil Negara memberikan rakyat dan warga kota akses kepada sejarah, penceritaan dan perjalanan tekstil di negara kita. Dari mana datangnya ilmu pembuatan tekstil? Apakah yang mempengaruhi seni reka dan bentuk tekstil yang ada di negara kita? Siapakah peneraju disebalik industri tekstil negara ini? semuanya dapat kita pelajari apabila melawati muzium ini. 

Muzium Tekstil Negara terletak di sebuah bangunan lama yang dibina pada tahun 1905 sewaktu zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu. Bangunan yang direka oleh arkitek Inggeris Arthur Charles Alfred Norman dan dibina oleh Arthur Benison Hubback yang juga telah membina beberapa bangunan penting pada waktu itu seperti Masjid Jamek, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Stesen Keretapi Ipoh. 

Pada awal pembinaan bangunan muzium ini, tujuan utamanya adalah bagi menempatkan ibu pejabat Keretapi Tanah Melayu (KTM) atau pada ketika itu dikenali sebagai Federated Malay States Railway (FMSR). Selepas hampir 100 tahun, bangunan ini akhirnya diberikan status sebagai bangunan bersejarah dan sebuah khazanah negara pada tahun 1983. Bangunan ini kemudiannya dipindah milik kepada Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR). 

Sebuah kronologi gambar sejarah tekstil di Malaysia

Sejarah kewujudan tekstil di Malaysia bermula pada abad ke-15 sewaktu pelabuhan Kota Melaka menjadi salah sebuah pelabuhan yang penting pada ketika itu. Tekstil pula menjadi salah satu barang dagangan utama di pelabuhan Kota Melaka. Malah, hanya bangsawan, orang kenamaan dan golongan tertinggi di dalam masyarakat sahaja yang mampu memperolehinya. 

Tekstil dan tenunan merupakan sebuah komoditi yang mempunyai harga yang amat tinggi. Bukan sahaja kain tekstilnya sahaja tetapi dandanan lain seperti gelang, cucuk sanggul yang disaluti emas dan juga permata merupakan antara fesyen pada ketika itu. Busana Melayu yang dipakai pada abad ke-15 seperti ini dapat memperlihatkan Melayu itu sebagai satu lambang kemewahan dan kemegahan atau “status symbol” bangsa Melayu dan Nusantara yang begitu hebat dan mahsyur pada suatu ketika dahulu. 

Bilik pameran Pohon Budi

Sebaik sahaja kita memasuki pintu utama Muzium Tekstil Negara, anda akan dapat lihat 4 ruang pameran utama iaitu bilik Pohon Budi, bilik Pelangi, bilik Teluk Berantai dan bilik Ratna Sari. Keempat-empat bilik pameran ini memperagakan tekstil dan penceritaan yang berbeza. Bilik pameran Pohon Budi dan Pelangi berada di tingkat bawah dan bilik pameran Teluk Berantai dan Ratna Sari berada di tingkat atas.

Bilik Pameran Pohon Budi

Bilik pameran yang pertama adalah Pohon Budi atau nama lainnya adalah Pohon Hayat yang merupakan simbolik dengan namanya sebagai sebuah pohon besar yang memberi tempat teduh, simbol sejarah dan juga permulaan sebuah komuniti peradaban manusia. Disilah bermulanya kisah penceritaan kita di Muzium Tekstil Negara.

Bilik pameran ini juga memperlihatkan kepada kita asal usul tekstil di Tanah Melayu yang bermula sebagai barang dagangan. Selain itu, terdapat bahan dan juga peralatan yang digunakan pada zaman itu. 

Turut diceritakan dalam lawatan anda adalah perjalanan dan cara pembuatan tekstil yang mahsyur seperti tenunan, sulaman, proses membatik dan mengait manik serta pelbagai lagi cara-cara penghasilan tekstil yang diturunkan dari generasi ke generasi. Kebanyakan barang pameran di bilik Pohon Budi ini terdiri daripada tekstil dan pemakaian golongan diraja komuniti bangsawan seperti songket, pua kumbu, telepuk dan batik.

 

Bilik Pameran Pelangi

Seterusnya kami melawat bilik pameran kedua iaitu bilik pameran Pelangi. Pelangi merupakan hasil bongkah cahaya yang begitu indah dan pelbagai warna. Bilik ini diberikan nama Pelangi kerana warna-warnanya melambangkan jalur warna pelangi yang selari dengan kemeriahan etnik, budaya dan fesyen masyarakat Malaysia yang pelbagai bangsa, agama dan kepercayaan.

 

Tangga ke tingkat 1 di Muzium Tekstil Negara

Antara barang pameran yang terdapat di bilik ini termasuklah koleksi khazanah tekstil masyarakat Cina dan Baba Nyonya yang kaya dengan sulaman benang yang kebanyakkan berasaskan sutera dan emas. Selain itu, terdapat juga barangan tekstil yang halus dan kepelbagaian motif daripada komuniti Sabah & Sarawak.

Selesai sudah pameran di tingkat bawah, anda perlu menaiki tangga ke tingkat 1 untuk ke bilik pameran Teluk Berantai dan Ratna Sari. Oleh kerana muzium ini berada di dalam sebuah bangunan yang telah melebihi 100 tahun, perjalanan anda menaiki tangganya sahaja pasti memukau mana-mana individu yang datang melawat. Tangganya yang besar dan berlantaikan batu gelap, ruang siling yang tinggi dan luas serta ukiran kayu dan kain-kain batik yang digantung di dinding memberikan rasa seolah-olah kita berada di dalam sebuah rumah agam zaman 1880-an.

Bilik Pameran Teluk Berantai

Bilik pameran ketiga diberi nama Teluk Berantai. Teluk Berantai merupakan sebuah reka bentuk motif yang amat terkenal dan gah pada zaman kegemilangan songket orang-orang Melayu. Reka bentuk songket diperbuat daripada himpunan motif bunga yang telah dicantum. Gabungan corak inilah yang menghasilkan sebuah kain songket. Ini melambangkan penyatuan dan semangat kekitaan masyarakat Melayu Alam Nusantara dahulu kala. Di galeri Teluk Berantai inilah kita dapat melihat kekayaan dan betapa halusnya seni orang Melayu itu sendiri.

 

Evolusi Tekstil di Malaysia

Bilik Pameran Ratna Sari

Sebelum mengkahiri lawatan kita di Muzium Tekstil Negara ini anda akan masuk ke ruangan pameran yang terkahir iaitu Ratna Sari. Bilik ini khas untuk memperaga koleksi barang kemas yang amat tinggi nilainya pada waktu itu. Menariknya, koleksi barang-barang kemas yang kebanyakkannya dipakai oleh golongan bangsawan diperbuat oleh gabungan hasil seni daripada masyarakat Melayu, Cina dan India secara kolektif. Terdapat juga barangan kemas yang diperbuat daripada emas, permata, perak serta tumbuh-tumbuhan. 

Muzium Tekstil Negara merupakan satu khazanah yang amat kaya dengan sejarah dan penceritaan betapa hebat dan harmoninya negara kita pada suatu ketika dahulu. Alangkah rugi jika diabaikan oleh masyarakat kita pada hari ini. Penceritaan yang disajikan di muzium ini juga boleh dijadikan sebagai pembakar semangat untuk kita terus berganding bahu dalam melahirkan sebuah negara Malaysia yang jauh lebih maju teknologinya, maju akhlaknya dan maju pemikirannya. 

Selepas BASKL membuat lawatan ke muzium ini, kami amat teruja dan terpegun dengan kekayaan khazanah bumi bertuah bernama Malaysia ini. Bayaran masuknya pula amatlah berpatutan. RM2 bagi warganegara dewasa, RM1 bagi warganegara OKU dan bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun adalah percuma. 

Oleh kerana Muzium Tekstil Negara terletak di tengah-tengah ibu kota, tempat letak kereta mungkin agak sukar ditemui. Maka saranan BASKL, cara yang terbaik untuk anda lawati muzium ini adalah dengan menaiki kemudahan awam. Antara kemudahan awam yang berdekatan termasuklah:

  • MRT & Tren RapidKL – Stesen Pasar Seni
  • Tren RapidKL – Stesen Masjid Jamek
  • KTM – Stesen Kuala Lumpur
  • Bas RapidKL – 103, 104, 590, 710, P701
  • Bas KL Hop On Hop Off – Hentian No.22 Dataran Merdeka

Marilah kita selami dunia purba dan khazanah kekayaan negara kita, mempelajari dan menghayati penceritaan sejarah. 

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites