Setiap rabu yang kedua pada bulan Ogos merupakan Hari Kaligrafi Sedunia dan di sebuah negara seperti Malaysia, tidak lain dan tidak bukan kaligrafi yang paling terkemuka adalah seni khat.
Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI
Jika kita merujuk kepada perkataan kaligrafi itu sendiri di dalam kamus dewan, perkataan kaligrafi itu membawa maksud sebuah teknik penulisan yang indah dan tidak kira di dalam bahasa apa sekalipun. Apabila kita bicara mengenai kaligrafi di tanah air kita pula sudah tentunya sebagai sebuah negara yang mempunyai majoriti penduduk yang beragama Islam, seni khat merupakan kaligrafi yang paling terkenal dan mempunyai daya tarikan peminat yang cukup tinggi.
Sempena dengan Hari Kaligrafi Sedunia 2022, BASKL ingin menyelami ke dalam dunia khat dengan lebih mendalam dan mengupas serba sedikit mengenai perjalanan serta liku-liku seorang penggiat seni khat. Kali ini, kami cukup bertuah kerana telah diundang secara peribadi untuk hadir ke rumah seorang penggiat dan pendidik seni khat yang berasal daripada Terengganu iaitu Ahmad Rajaei bin Haji Awang, 40 tahun. Dalam sesi bersama Rajaei ini, kami dapat melihat dengan mata sendiri galeri di dalam rumah yang telah dibina oleh penggiat khat ini sendiri.
“Galeri yang saya buat ini asalnya merupakan sebuah ruangan untuk pelajar-pelajar saya datang berkarya dan belajar,” ujar Rajaei yang pada waktu ini merupakan seorang tenaga pengajar seni khat di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Itulah dedikasi seorang pendidik yang sanggup melakukan apa sahaja demi kecemerlangan anak didiknya. Apa yang menarik perhatian penulis BASKL kali ini adalah, sebenarnya galeri ini terletak di bahagian loteng rumahnya. “Ini asalnya tempat tangki air!” tambah Rajaei secara santai dan tertawa.
Dedikasi dan semangat seorang pendidik yang diserlahkan oleh Rajaei pada hari temubual tersebut tidak dapat disangkal sama sekali. Kesungguhannya untuk membantu mewarwarkan dan meningkatkan tahap penggunaan khat itu cukup mendalam dan terserlah di raut wajah Rajaei sendiri. “Saya mula menceburkan diri dalam seni khat ini sewaktu saya menjalani pengajian tahfiz saya di Pakistan. Tanpa disedari, sedikit demi sedikit saya meminati seni lukisan khat dan perkara itu melekat sampailah ke hari ini.”
Namun di sebalik segala kejayaan dan kehebatan ini, sudah tentu terdapat pelbagai cabaran yang telah dilalui. Rajaei juga telah berkongsi beberapa kisah mengenai cabaran yang telah dilaluinya, “antara cabaran yang dihadapi sebagai seorang penggiat khat dalam dunia hari ini adalah nilai karya tersebut.”
Harga pasaran semakin menurun oleh kerana kewujudan teknologi-teknologi baharu yang memudahkan penghasilan sebuah karya khat. Sudah tentu, ramai pengguna pada hari ini tidak menitikberatkan keunikan dan kehalusan sebuah seni. Mereka lebih kerap memilih karya cetakan komputer yang mempunyai harga yang lebih murah berbanding karya hasil tangan.
Selain daripada itu, Rajaei juga telah sempat untuk memberi komen mengenai cabaran seorang pelukis khat daripada negara-negara Nusantara seperti Malaysia dan Indonesia. “Orang-orang Timur Tengah sebenarnya tidak berapa gemar akan pelukis daripada sini, antara sebabnya pada pendapat saya adalah masa yang diambil oleh pelukis Timur Tengah dan pelukis kita ini cukup berbeza.”
Rajaei juga telah menambah, “kalau satu lukisan itu kami boleh buat dalam masa 5 jam, lukisan yang sama mereka mungkin akan mengambil masa yang jauh lebih banyak daripada itu. Kadang kala memakan hari dan bulan.” Jika ada dianjurkan pertandingan antarabangsa pula, pelukis daripada negara-negara Nusantara ini jugalah yang seringkali meraih gelaran juara.
Rajaei juga merupakan salah seorang Ahli Jawatankusa Persatuan Seni Khat Kebangsaan yang telah ditubuhkan pada bulan Ogos 1985. Antara usaha-usaha mereka ini adalah untuk memulihkan dan mempromosikan seni khat Islam, mendidik masyarakat mengenai tulisan jawi dan seni khat serta meningkatkan akidah Islam melalui seni khat yang cukup halus dan indah untuk dilihat dari kaca mata seorang manusia. Rajaei juga cukup aktif dalam mengadakan bengkel dan kelas membuat seni tulisan khat ini di sekolah, masjid dan surau di seluruh negara.
Sebagai seorang pendidik dan pejuang seni khat Islam tanah air, Rajaei turut meluahkan harapan untuk melihat khat serta jawi ini diperkenalkan semula sebagai salah satu ko-kurikulum yang dimulakan daripada bangku sekolah. “Saya benar-benar berharap agar khat ini diajarkan semula kepada anak-anak kecil kita di sekolah. Dahulu kita pernah lakukannya, maka kenapa di masa hadapan kita tidak menghidupkan suasana ini semula?”
Bagi mereka yang ingin mendapatkan khidmat penulisan khat atau ingin mengetahui lebih lanjut mengenai ilmu seni khat ini dengan lebih mendalam, Rajaei amat mengalu-alukan keinginan anda itu dengan tangan yang terbuka. “Hubungilah saya dan beritahulah kepada kawan-kawan anda yang lain tentang kami dan karya-karya seni khat yang mampu kami hasilkan.” Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Persatuan Seni Khat Kebangsaan di Laman Web mereka, di laman Facebook mereka atau anda juga boleh berhubung sendiri dengan Rajaei melalui Whatsapp.
Seni itu sebenarnya sesuatu yang cukup halus dan melambangkan kelembutan peribadi seseorang manusia yang bertamadun. Tanpa seni dan budaya, siapakah kita dan apakah identiti kita? Mungkin sejak kebelakangan ini, seni khat kian tenggelam dibawa arus kemodenan yang lebih cenderung akan hiburan yang lebih kuat dan memukau maka, namun tidak semua manusia inginkan perkara yang sebegitu.
Masih ramai di antara kita yang lebih gemarkan kelembutan, gemarkan kehalusan dan tentunya gemarkan keindahan sesebuah kaligrafi hasil karya daripada tangan seseorang pelukis. Selamat Hari Kaligrafi Sedunia 2022 buat semua pengkarya di luar sana. Anda seorang manusia yang hebat.