FAZRINA JASMIN
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Daripada contengan vandalisme yang kemudian dengan gahnya diubah menjadi mural gergasi bagi mengabadikan usaha pemimpin dalam memerangi penularan Covid-19, pelbagai persoalan turut timbul rentetan daripada tindakan biadap individu-individu yang tidak bertanggungjawab yang telah menconteng mural potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berserta barisan pemimpin negara yang lain di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam, lewat Julai 2020.
Hampir tiga bulan berlalu. Hanya setelah segala hingar-bingar dan hiruk-pikuk mulai reda, baik di dada-dada akhbar dalam talian mahupun di media sosial, saya lebih terpanggil untuk menyoroti kisah di sebalik mural gergasi ini secara dekat dan santai.
Carian di Google menemukan saya dengan ‘mastermind’ yang bertanggungjawab merekabentuk mural gergasi yang kini telah lenyap sama sekali tatkala tindakan memadamnya terpaksa diambil oleh pihak berwajib bagi mengelak kemudaratan yang lebih besar.
Tidak dapat saya bayangkan sekiranya saya yang berada di tempat beliau, bagaimana inisiatif yang pastinya bermula dengan keringat dan niat yang murni dijadikan medan bagi menzahirkan kebencian dan ketidakpuasan hati sesetengah kumpulan individu yang hasad. Bermula dengan sapaan menerusi aplikasi WhatsApp, saya mencuba nasib dengan harapan dapat mencuri masa dan menemubual tuan punya badan. Hasil kerjanya saya hanya dapat amati secara maya, memandangkan musim PKP datang lagi. Dari situ, beliau memberikan maklumbalas yang positif, walaupun saya sedikit kecewa kerana cuma boleh menemubual menerusi telefon. Beliau berada di salah sebuah negeri di pantai timur atas urusan kerja.
Kami akhirnya dapat berbual dan bertukar soal jawab sepetang Ahad sewaktu PKPB masih lagi berjalan. Saya di Lembah Klang manakala beliau di dalam kereta di sekitar Terengganu. Ikuti temubual eksklusif saya bersama pelukis mural gergasi, Muhammad Suhaimi Ali, 27, atau lebih mesra disapa sebagai Miey Ali.
Penerimaan peribadi terhadap lukisan mural pemimpin yang terpaksa dipadam oleh pihak berwajib – apakah kesan atau impak? Mungkin lebih membangkitkan semangat untuk projek mural berskala “mega” seterusnya? (Saya merujuk kepada artikel Bernama bertarikh Julai 6, 2020, yang memetik saudara bercadang untuk melukis personaliti-personaliti terkenal lain seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Datuk Aziz Sattar & S. Shamsuddin)
Selepas kejadian, tiadalah kesan negatif sangat pun malah rezeki saya bertambah. Kita kena faham, apabila viral, ia menjadi publisiti untuk saya juga. Orang mula kenal saya dan banyak rezeki masuk selepas apa yang berlaku. Masyarakat mula ambil tahu mural itu berkaitan apa, mereka tahu hasil kerja saya dan ramai mula mencari. Mungkin juga sebab kontroversi. Berbanding sewaktu kunjungan Yang di-Pertuan Agong ke tapak mural, selepas mural dipadam, pengikut di media sosial melonjak naik ke 10 ribu sehari sehinggalah ke 36 ribu sebelum akaun digodam. Saya cuma perlu mendaftar semula akaun tetapi belum sempat untuk memuat naik banyak gambar hasil kerja yang lama, tunggulah nanti bila ada masa lapang. Semua pun baik-baik sahaja, syukur rezeki sudah tertulis.
Sebetulnya, perancangan untuk melukis mural tokoh seni seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ialah sebelum kejadian mural pemimpin dipadam. Terlebih dahulu, saya sudah melukis mural penggiat seni dan pelawak sebuah stesen TV, iaitu arwah Abam (kumpulan Bocey) dan arwah Pak Yus (kumpulan Jambu) di dinding yang bertentangan dan tular seketika. Perancangannya untuk tambah lagi mural seniman versi hitam putih selepas ini. Tetapi semua niat pun dibatalkan dahulu selepas keseluruhan mural terpaksa dipadam.
Saudara telah melukis lebih 200 mural seluruh Malaysia sejak empat tahun yang lalu. Adakah pendedahan/apresiasi seni yang sama diterima untuk setiap hasil kerja? Atau ada faktor-faktor tertentu yang mempengaruhi penerimaan umum terhadap hasil kerja berkenaan?
Apabila kita bermain dengan sentimen isu semasa, walaupun tidak berbayar dan atas inisiatif sendiri, orang awam biasanya memberi perhatian yang lebih dibandingkan dengan mural yang temanya biasa-biasa sahaja. Kita boleh lihat contohnya melalui projek-projek berbayar yang lain kelolaan pihak berkuasa tempatan atau majlis bandaran – umumnya berjalan seperti biasa.
Pada pendapat saudara, inisiatif yang bagaimana yang harus diambil badan berwajib atau organisasi untuk meningkatkan lagi penghargaan atau kesedaran terhadap seni mural di tempat umum?
Pihak berkuasa tempatan memang ada kendalikan inisiatif dipanggil projek lorong belakang untuk naikkan seri dan hilangkan stigma yang biasanya orang kaitkan dengan aktiviti lorong yang suram dan malap. Contohnya lukisan mural yang terdapat di sebahagian lorong di Seksyen 7, Shah Alam, yang ada peruntukan untuk dirombak semula dengan kebenaran majlis bandaraya.
Biasanya cat lukisan tidak kekal dan akan pudar selepas lima tahun disebabkan faktor cuaca. Bukan setakat cantik sahaja malah dirombak supaya nampak lebih segar dan menarik, jadi pengunjung tidaklah berasa bosan menikmati pemandangan dengan latar belakang lukisan yang baru, lebih-lebih lagi untuk dikongsi di media sosial. Ditambah dengan kebenaran atau sokongan oleh penyewa atau pemilik bangunan untuk mencantikkan lagi dinding-dinding bangunan yang asalnya dipenuhi dengan contengan.
Kalau diperhatikan sebelum ini, kawasan dinding bangunan yang telah berubah akan menjadi tular. Orang akan mula mengunjungi kawasan situ sehingga lewat malam, terutama pada hujung minggu. Pada saya ini merupakan suatu penghargaan dan memberi kepuasaan melihat mereka bergambar dengan hasil kerja saya, walaupun mereka tidaklah mengenali saya atau pelukis lain yang terlibat. Cukup sekadar mengambil gambar, lagi-lagi sekarang ini memang zaman ‘OOTD’ di media sosial.
Ada apa dengan ekspresi seni berbentuk mural sebagai kerjaya sepenuh masa berbanding lain-lain bentuk cabang seni?
Awal-awal kerjaya lagi memang saya berhasrat untuk terus fokus kepada seni mural. Minat saya memang lebih kepada lukisan dinding. Ada juga percubaan melukis pada kanvas cuma pada saya melukis pada kanvas agak terbatas, jadi kurang kebebasan untuk saya berkarya pada skala lebih besar. Kena faham juga hasil kerja seni mural memberikan sumber pendapatan yang cerah dan ada pengusaha bisnes yang sanggup mengeluarkan modal untuk hasil kerja mural. Buat masa sekarang, seni mural dianggap sebagai trend; di kedai atau butik ada peniaga yang merasakan mural perlu ada sebagai daya tarikan dan lebih sesuai kalau hendak dibandingkan dengan kertas dinding untuk hiasan dalaman.
Apa yang saya perhatikan, pengunjung kedai akan lebih tertarik dan berhenti lama untuk menikmati hasil kerja tangan seperti mural.
Beza antara grafiti dengan mural: grafiti lebih kepada teknik semburan atau spray dan agak mahal juga. Saya lebih tertumpu kepada teknik strok berus menggunakan cat. Semua bergantung kepada apa yang hendak dilukis, contohnya lukisan awan mungkin tidak sesuai menggunakan berus kerana strok yang terhasil akan lebih kasar, jadi lebih sesuai menggunakan spray. Kedua-duanya pun perlukan kemahiran dan mesti dipelajari sebab sesebuah lukisan boleh jadi memerlukan gabungan dua teknik tadi.
Kelestarian (sustainability) seni mural sebagai sumber pendapatan – mampukah ia bertahan untuk sekurang-kurangnya mengukuhkan keadaan ekonomi individu atau pelukis itu sendiri dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara amnya di tengah-tengah kemelut Covid-19?
Pengunjung yang melawat kawasan mural biasanya akan singgah di kedai-kedai makan yang berdekatan, secara tidak langsung menggalakkan aktiviti jual beli dan memberi free marketing kepada pengusaha dan peniaga. Ini menaikkan dan merancakkan lagi kegiatan ekonomi di kawasan sekitar.
Untuk saya sendiri, pengiktirafan yang diterima dalam bentuk gambar yang dirakam, sekali dengan surat dan sijil penghargaan daripada pihak Istana Negara mengukuhkan lagi portfolio dan profil syarikat dan berguna untuk projek yang memerlukan bidaan tender.
Saya dah berkecimpung dan bertahan selama empat tahun. Walaupun kita bergelut dengan wabak Covid, rasanya tidaklah terlalu berbeza atau terkesan. Boleh dikatakan permintaan yang masuk tetap sama – adakalanya lebih lagi sebab sesetengah peniaga perlu mulakan semula marketing bisnes mereka tetapi dengan kelainan, contohnya lukisan mural di kafe atau gimnasium.
Pada awal-awal PKP ada juga terfikir macam mana hendak bertahan dengan isu Covid ini, tetapi rupanya walaupun PKP, masih ada yang bertanya dan tawaran kerja serta rezeki tidak pernah putus. Cuma yang menjadi kekangan bila pergerakan terhad dan perlukan surat sokongan.
Saudara dan rakan-rakan mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan enam mural pemimpin dengan perbelanjaan RM500, tapi akhirnya terpaksa dipadam apabila ada usaha berunsur sabotaj dan khianat. Adakah inisiatif seumpama ini boleh dianggap berbaloi jika mengambilkira masa, tenaga dan modal persendirian yang diperuntukkan?
Rasanya baik-baik sahaja sebab sudah ada simpanan gambar dan video time lapse juga sudah dirakam. Walaupun dipadam, yang penting segala bentuk rakaman kerja sudah ada. Saya percaya kita perlu korbankan sesuatu untuk dapatkan sesuatu.
Apa yang terjadi ada hikmahnya. Daripada tidak dikenali kini masyarakat sudah lebih kenal kerja saya dan menjadi batu loncatan untuk peluang kerja yang lebih besar untuk saya, sehinggakan tidak menang tangan untuk melayan banyaknya mesej dan permintaan pelanggan yang masuk. Ada yang saya terlepas pandang untuk buat panggilan susulan dan ada yang berkali-kali mengingatkan semula. Sampaikan tidak cukup tidur jugalah sebab hendak siapkan rekabentuk yang diminta oleh pelanggan.
Walaupun boleh buat semua sendiri dan ada projek yang saya bergerak solo menaiki motorsikal, mujur saya ada kumpulan tenaga kerja yang ramai. Ada juga projek yang sudah sediakan segala kelengkapan; saya cuma perlu hadir untuk terus mula melukis sendiri dan siapkan hasil kerja berdasarkan latar belakang dan karakter yang saya sediakan.
Lain-lain bentuk cabaran yang biasanya saudara hadapi sepanjang proses kerja sesebuah mural dan cara menangani cabaran tersebut?
Senang cakap, bukan bisneslah kalau tidak pernah ditipu. Pernah juga berhadapan dengan pelanggan yang tidak jujur; kerja sudah disiapkan, tapi bayaran tertunggak dan tidak diterima sepenuhnya dan pelanggan mendiamkan diri sampai sekarang. Tapi tidak mengapalah. Saya yakin apa yang telah ditetapkan sebagai bahagian saya, itulah rezeki saya – cara dan tempat mungkin berbeza.
Untuk mural yang terhasil khususnya yang melibatkan potret wajah para pemimpin, adakah proses kerjanya sama atau berbeza jika dibandingkan dengan melukis potret wajah di atas kanvas bersaiz piawai atau normal? Bagaimana pula perincian pada riak wajah/anak mata/emosi yang ingin dipamerkan?
Berdasarkan pengalaman, lukisan berskala besar lebih mudah berbanding lukisan pada skala yang lebih kecil yang perlukan berus yang lebih kecil dan perincian pun lebih. Tetapi, impak lukisan besar itu sendiri lebih meluas dan tidak semua pelukis mahir untuk menghasilkan lukisan yang besar-besar.
Mural tidak perlukan sangat perincian, cukup sekadar berjaya menarik perhatian dan nampak menarik apabila dilihat dalam gambar foto. Ini terhasil daripada sisi terang gelap warna dan grid yang digunapakai. Contohnya, lukisan mural pemimpin sebelum ini terhasil di atas contengan. Daripada situ, saya tambahkan garis grid sebagai rujukan sebelum saya masukkan tona warna yang sesuai untuk hasilkan mural.
Asasnya, saya akan dapatkan gambar daripada Internet, jadikan dalam bentuk digital dan olah strok sendiri. Sepanjang saya melukis mural, saya akan merujuk kepada gambar digital yang telah saya olah menerusi telefon bimbit. Teknik ini memang agak renyah tetapi pada saya ini penting sebagai proses belajar saya sendiri untuk menjadi lebih mahir.
Memang ada sesetengah pelukis yang terus melukis mural dengan merujuk kepada gambar asal di Internet secara langsung, tetapi saya mahukan kelainan supaya orang kenal trademark strok kerja tangan saya.
Macam kita menulis tangan; tulisan setiap orang memang berbeza. Sama juga dengan lukisan mural, saya mahu orang kenal hasil kerja tangan saya dengan sekali pandang. Mungkin selepas ini saya tidak perlu lagi tinggalkan tandatangan. Cukup sekadar orang melihat mural dan mereka sudah boleh kenal ini hasil kerja Miey Ali.
Nasihat atau tips yang mungkin boleh saudara kongsikan kepada mereka yang mungkin baru ingin berjinak-jinak atau meneroka seni mural?
Pertama, untuk mahir dalam seni mural, kena faham warna. Kadang-kadang rekabentuk yang diminta pelanggan terdiri daripada banyak warna yang perlu diolah. Jadi, pemahaman itu penting. Perlu belajar asas melukis; hitam putih, tona terang gelap. Ini semua perkara asas yang perlu dikuasai, mungkin perlu bermula daripada asas mewarna melalui teknik pensel warna contohnya.
Macam saya sendiri, saya akan cuba yakinkan pelanggan melalui teknik dan gaya saya. Ada juga permintaan yang mahukan saya hasilkan mural berbentuk karikatur. Tetapi sebolehnya saya akan bertegar untuk kekalkan gaya saya supaya orang kenal dan tahu itu ialah hasil kerja saya.
Saya memang pentingkan kualiti kerja dan memang menjadi kepuasaan kalau hasil itu selari dan sinonim dengan gaya dan teknik saya sendiri, bukannya bereksperimentasi gaya dan konsep yang berubah-ubah atau terlalu bermacam-macam sampai hilang pendirian seni. Yang saya tekankan bukan pada tanda harga dan duit semata-mata, tetapi lebih kepada jati diri dan strategi branding sendiri. Baru datangnya kepuasaan dan apresiasi seni. Saya sukakan cabaran dan kelainan yang mungkin payah atau leceh pada pandangan orang lain.
Pada saya memang ada rekabentuk mural yang mana-mana pelukis yang baru ingin berjinak-jinak pun boleh hasilkan tanpa perlu banyak proses kerja. Yang penting sesuatu hasil kerja saya perlu terjemahan identiti dan gaya Miey Ali untuk saya kekal relevan dalam bidang seni mural tempatan.
Interpretasi sendiri karya seni Miey Ali dalam tiga perkataan?
ArtForLife.
Perancangan terdekat dan jangka panjang, jika ada?
Jadual kerja memang padat bermula bulan November ini. Saya merancang untuk hasilkan video tutorial di saluran Youtube yang sedia ada.
Hasil kerja Miey Ali boleh didapati menerusi www.instagram.com/Miey_Ali dan saluran Youtube MieyAli MURAL
Fazrina Jasmin merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA-ASWARA