Kepelbagaian seni di RIUH X JAKM Kelantan

Oleh DANIAL FUAD

Negeri Kelantan cukup sarat dengan kepelbagaian budaya dan seni kraf yang unik disebabkan kedudukan mereka yang berjalan dengan wilayah-wilayah selatan Thailand yang dahulunya dikenali sebagai Negeri Patani Darul Salam. Kelantan mempunyai hubungan yang akrab dengan Kesultanan Melayu Patani. Budaya Kelantan sangat unik dengan asimilasi di antara Melayu, Siam dan Islam.

Bagi berkongsi sejarah dan keunikan budaya-budaya yang terdapat di Kelantan ini, MyCreative Ventures (MyCV) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) mengadakan pesta kebudayaan sepanjang tiga hari RIUH X JAKM Kelantan yang sarat dengan aktiviti seperti bengkel, pameran dan persembahan bermula hari ini (22 Julai) sehingga 24 Julai dari 10pg hingga 9mlm dan bertempat di Gelanggang Seni, Kota Bharu.

Seni Persembahan

Dengan barisan seni persembahan yang cukup jitu sepanjang tiga hari yang dibawakan oleh PUSAKA, JKKN Kelantan, Pe-zapin Johor dan BaiZam Generation seperti Tarian Mak Yong, Silat Jawi, Rebana Ubi, Tarian Terompah dan macam-macam lagi. Selain itu, terdapat juga persembahan Tarian Inai, sebuah tarian yang berkait dengan Mak Yong dan juga Silat Jawi yang juga berasal dari negeri ini. Selain itu, antara persembahan yang sangat sinonim dengan Kelantan adalah wayang kulit dan juga dikir barat.

Seni muzik juga tidak ketinggalan dalam pesta ini di mana persembahan rebana ubi bakal dilangsungkan. Rebana ubi merupakan sejenis gendang yang sering dipalu setiap kali tamat musim menuai dan juga acara perkahwinan.

Tidak hanya menumpukan sepenuhnya kepada budaya seni Kelantan, terdapat juga pelbagai jenis persembahan negeri lain seperti persembahan Sape’ dari Sarawak, paluan gendang daripada Punjabi Dhol dan Bhangra dari Selangor, Tarian Terompah dan Zapin dari Johor, Tarian Piring yang terkenal di Negeri Sembilan dan Perlis dan juga Dondang Sayang dari Melaka.

Aktiviti Lain

Bagi yang ingin lebih mendalami seni-seni lain, pihak penganjur bersama Pertubuhan Kraf Malaysia juga ada menyediakan pelbagai bengkel dan pertandingan buat semua. Bengkel yang seiring dengan persembahan adalah Silat Jawi, Rebana Ubi, Dikir Barat, Sape’, Punjab Dhol dan Bhangra dan juga Dondang Sayang.

Di samping itu, terdapat juga bengkel Anyaman Kelantan, bengkel membuat wau dan juga bengkel menghasilkan Tembikar Mambong serta demonstrasi sulaman Kelingkan yang menggunakan logam pipih bersadur emas, perak serta tembaga.

Tambahan daripada barisan aktiviti yang sarat disediakan oleh pihak penganjur, terdapat beberapa aktiviti yang berlangsung sepanjang hari seperti pameran wau dan gasing, sudut aktiviti kanak-kanak, pelbagai gerai jualan kraf, mewarna batik dan macam-macam lagi. Sehubungan itu, orang ramai dijemput untuk menyertai program Mewarna Batik Kolektif JAKM.

RIUH X JAKM merupakan sebuah pesta meraikan kebudayaan Kelantan dan sebuah usaha daripada MyCV dan K-KOMM untuk memajukan budaya seni kreatif dan kraf di Malaysia yang telah banyak terkesan sepanjang pandemik COVID-19 yang melanda negara. Dengan usaha ini, diharapkan lebih ramai pengusaha kreatif dapat bangun semula dan orang ramai juga dapat mengetahui lebih mendalam tentang kebudayaan Kelantan.

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia atau JAKM bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri kita, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob pada hari Sabtu, 23 Julai jam 10pg. Jadi bagi anda yang berada di sekitar Kota Bharu, jemput datang dan memeriahkan lagi acara ini. Untuk maklumat lanjut berkenaan jadual bengkel dan persembahan anda boleh rujuk pada gambar di bawah atau melayari laman Instagram RIUH dan juga K-KOMM.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites