Kecerdasan Buatan: Ancaman atau kelebihan?

JKKN telah mengadakan sebuah wacana mengenai kecerdasan buatan pada pertengahan Julai. Wacana dengan topik menarik ini telah menarik minat ramai yang terlibat dengan industri seni kreatif. BASKL turut hadir mendengar dan mengamati isu yang masih baru di Malaysia.

Oleh AZUWAN AHMAD

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah mengadakan sebuah program wacana sekitar isu kecerdasan buatan atau ‘artificial intelligence’ dan cuba mencari jawapan sama ada teknologi ini merupakan satu ancaman atau kelebihan kepada industri seni serta budaya tempatan. Perbincangan ini telah diadakan di Dewan Auditorium Mini, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC) pada pertengahan Julai 2023. 

Bagi anda yang masih belum terlalu mengetahui mengenai kecerdasan buatan ini, ia adalah teknologi digital yang berupaya meniru kepintaran manusia untuk melakukan sesuatu tugasan. Ia boleh dikira sebagai mesin yang dibangunkan untuk menyelesaikan tugasan dengan memahami konsep tugas dan permasalahan. Dari sudut industri seni kreatif, AI berupaya menghasilkan imej gambar, bunyi-bunyian, karya seni seperti lirik serta lagu, juga tulisan yang berupa artikel mahupun skrip. 

Wacana yang diadakan JKKN itu telah menjemput 3 orang panel yang secara relatifnya muda dan mempunyai pengalaman di dalam penggunaan kecerdasan buatan terutamanya dalam penciptaan kandungan digital. Panel tersebut adalah Khairul Ikhwan dari Gig Venture, Adil Hidayat (Pendakwah Teknologi) dan Hazwan Hassan ( Mid Journey Mahir Malaysia). Ketiga-tiga mereka merupakan profesional dalam bidang teknologi ini. Majlis juga membawa Datuk M Nasir sebagai tetamu yang sama-sama mengikuti wacana ini. 

Dari sudut yang positif, JKKN sentiasa proaktif dalam usaha membantu para penggiat seni menghasilkan karya yang selari dengan kemajuan teknologi masa kini. JKKN dalam kenyataannya ingin membantu dalam mewujudkan kepelbagaian kepada penggiat seni dari sudut cara penghasilan karya  seni dengan menggabungkan cara tradisional dan moden, dalam konteks ini kecerdasan buatan (A.I). Malah, kepercayaannya dikuatkan lagi dengan keyakinan bahawa platform ini dapat membantu urusan pemasaran dan pembinaan penjenamaan karya seni masing-masing.

Sememangnya, memang benar A.I mempunyai ciri-ciri positif yang dapat membantu kita menyelesaikan tugasan harian malah, teknologi ini sudah pun berada di tengah-tengah kita selama ini sebelum perbincangan tentang A.I meledak dengan kontroversi. Sebagai contoh, mesin pembersih vakum yang dicipta untuk berjalan secara automatik tanpa perlu kita kawal atau laman media sosial yang anda sering gunakan mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan kandungan menurut perilaku anda ketika melayari laman tersebut. Namun, contoh yang penulis berikan masih lagi teknologi A.I yang terhitung paras rendah. Jika penulis boleh memberi gambaran kepada teknologi A.I bertaraf tinggi adalah seperti kartun Doraemon, makhluk robot yang menyelesaikan masalah Nobita atau Friday, teknologi yang digunakan Tony Stark dalam filem Iron Man untuk membantu tugasnya. Mesin-mesin ini dapat belajar secara mandiri untuk menyelesaikan masalah seharian. 

Menerusi artikel ini, penulis ingin memberikan sedikit buah fikir dan rasa penulis mengenai teknologi dan apa impaknya kepada industri seni kreatif tanah air. Penulis mengakui bahawa ia memang mempunyai sudut yang positif tetapi penulis ingin menegaskan bahawa penggunaan teknologi ini harus diletakkan batas yang jelas. Pembentangan para panel di dalam wacana tersebut membuktikan kemampuan A.I untuk menggantikan beberapa kerja kreatif. Kalau anda pernah mendengar aplikasi Mid Journey dan chat GPT, ia boleh menghasilkan penulisan kreatif, lukisan abstrak dan lirik lagu hanya dengan menaip arahan yang anda mahukan. Malah, ia mempunyai potensi untuk menggantikan pelakon hidup di dalam industri layar lebar. Anda boleh membaca artikel mengenainya di sini . 

ChatGPT semakin popular dikalangan pengguna muda.

Oleh yang demikian, ia menjadi kebingungan serta keresahan pekerja-pekerja industri seni kreatif seperti penulis dan pereka grafik antara contoh-contohnya. Walaupun belum terlalu dalam isunya di Malaysia, kemampuan teknologi ini mungkin merampas peluang pekerjaan mereka. Secara logik akal, teknologi ini masih mampu digapai dengan harga yang murah serta menjimatkan masa berbanding sesuatu tugasan diberikan kepada manusia. Pemilik modal yang memiliki perusahaan pasti akan memilih jalan yang boleh mengurangkan kos operasi mereka untuk mengaut keuntungan semaksima mungkin. Ini lumrah yang tidak dapat dielakkan malah Kementerian Sumber Manusia melalui menterinya seperti dilaporkan Berita Harian berkata seramai 4.5 juta rakyat Malaysia berisiko hilang perkerjaan menjelang 2030 kesan daripada teknologi ini. 

Penulis sendiri merasakan bahawa teknologi ini boleh menjadi malapetaka kepada umat manusia bukan sahaja secara ekonomi malah perkembangan diri sebagai manusia. Benar, ia menjimatkan waktu namun penulis percaya bahawa ia melangkah satu proses yang sangat penting dalam diri manusia iaitu berfikir apatah lagi jika melibatkan industri seni dan kreatif.

Perkembangan manusia melalui proses berfikir adalah penting untuk meneruskan kesinambungan tamadun. Datuk M Nasir yang berada dalam wacana tersebut turut memberikan beberapa pandangan yang penulis nukilkan di sini. Dia mengakui kewujudan teknologi ini namun dalam penghasilan lagu, dia tidak menggunakan sepenuhnya teknologi ini. Penulis percaya bahawa  M Nasir sebagai pencipta ratusan lagu di Malaysia merasakan bahawa pentingnya untuk mempunyai sentuhan ‘jiwa’ yang ada dalam diri manusia dan tidak mengandalkan mesin bagi penghasilan berkualiti. Menariknya, ketika para panel melakukan demo A.I dalam menghasilkan lukisan abstrak, Datuk M Nasir tenang mengatakan, “ Apa yang anda tunjukkan itu adalah commercial art dan bukannya fine art”. Penulis senang sekali memetik Hegel apabila bercakap tentang seni halus, ia adalah mengenai kesedaran mengenai sesuatu subjek. 

Komposer terkenal tanah air, M Nasir turut hadir.

Lewat akhir artikel ini, penulis ingin menganjurkan supaya ada undang-undang yang mengawal perkara yang melibatkan teknologi ini, lebih-lebih lagi di luar Malaysia sudah ada pertikaian di mahkamah mengenai hak cipta dan undang-undang yang melibatkan sektor pekerjaan sebelum ia menjadi tidak terkawal. Seekor labah-labah yang membuat sarangnya dengan cantik dari zaman Nabi Adam akan kekal begitu rupanya. Tidak mungkin tiba-tiba makhluk Tuhan itu berubah fikiran mahu membuat sarangnya berwarna-warni pula. Namun, seorang arkitek yang pada hari ini mereka bangunan dengan buruk sekali belum tentu akan buruk selama-lamanya kerana sifat manusia yang rasional dan progresif. Pendapat anda bagaimana?

Aktiviti-aktiviti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara boleh diikuti di laman sosial Facebook dan di Instagram atau layari laman web mereka di portal.jkkn.gov.my/ms/utama  untuk mengetahui info lebih lanjut mengenai berita terbaru mereka. 

Ikuti kisah-kisah menarik yang lain di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites