Kaki Seni Junior sebuah platform kreatif kanak-kanak

Jom menerokai minda kreatif anak-anak dengan Kaki Seni Jr. Penulis BASKL kali ini membawa anda ke majlis pelancaran laman sesawang mereka untuk sama-sama kita mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Jika kita lihat pada kamus Bahasa Melayu, kanak-kanak membawa maksud budak kecil yang tidak berdosa. Ini memberi erti bahawa seorang anak kecil masih mentah dan giat menerokai alam dunia yang penuh duri dan ranjau. Apabila terjatuh atau tersungkur, mereka akan terus bangun dan memecut semula bersungguh-sungguh dek kerana semangat yang membara untuk terus belajar sesuatu yang baharu. 

Kanak-kanak pada zaman digital ini amat bertuah kerana terdapat pelbagai aktiviti serta program yang menarik yang disajikan untuk mereka terokai dan mencari minat masing-masing. Baru-baru ini, sebuah NGO yang tidak asing lagi dalam dunia seni iaitu Persatuan Kaki Seni telah melancarkan sebuah platform baharu mereka iaitu Kaki Seni Junior yang dikhaskan buat kanak-kanak di Malaysia untuk menceburi dan mendalami pelbagai aktiviti seni yang menarik. 

Pelancaran platform Kaki Seni Junior di Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun, Taman Tun Dr Ismail

Bertempat di Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun di Taman Tun Dr Ismail, Kakisenijunior.com telah dilancarkan pada 28 Feb yang lalu. Acara ini telah dihadiri oleh wakil-wakil dari Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni & Warisan Malaysia, rakan-rakan program serta ketua-ketua komuniti daripada pelbagai latar belakang. 

Kaki Seni Junior merupakan sebuah platform atas talian yang memberi peluang kepada ibu bapa dan guru untuk mendapatkan akses kepada kelas-kelas seni yang dibawakan oleh tenaga pengajar dari dalam industri seni sendiri. Projek ini dibiayai oleh Yayasan Sime Darby di bawah tonggak Seni dan Budaya mereka. 

Melalui platform Kaki Seni Junior ini, secara tidak langsung ia akan memberi sokongan kepada para seniman. Mereka akan dapat membuat kelas mereka sendiri dengan harga yang mereka tetapkan serta membuat promosi kepada pelanggan yang ada. 

Laman web Kaki Seni Junior telah diaktifkan secara kecil-kecilan pada bulan Jun tahun lalu. Melalui pelancaran ini, pihak Kaki Seni juga telah bekerjasama dengan lebih 100 penggiat seni yang telah berdaftar sebagai penyedia perkhidmatan di bawah Kaki Seni Junior bagi mengendalikan kelas kreatif, serta menambah baik laman web tersebut.

Presiden Kaki Seni Low Ngai Yuen turut berkongsi, “Dengan permulaan fasa kedua Kaki Seni Junior pada bulan November 2021, pengguna kini boleh menempah kelas kuliah, iaitu gabungan lebih daripada satu kelas atau menempah pelbagai jenis kelas gabungan pada satu kadar yang lebih rendah.” Low juga berkongsi bahawa mereka amat positif, ibu bapa serta warga pendidik kreatif akan lebih terbuka kepada kelas secara fizikal kerana SOP yang ketat dipraktikkan. 

Terdapat empat jenis kategori kelas yang ditawarkan oleh Kaki Seni Junior, antaranya adalah Seni Persembahan, Seni Tradisional, Seni Visual dan Kemahiran Hidup dan Motivasi. Melalui kelas-kelas ini, kanak-kanak berpeluang untuk menceburi dunia seni dan mungkin boleh mencetus minat yang tidak pernah diketahui oleh dirinya sendiri atau para guru serta ibu bapanya. 

Turut memberi sepatah dua kata pada acara pelancaran tersebut adalah Dato’ Azmir Merican, Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Berhad dan wakil Sime Darby. Beliau berkata, “Pandemik ini telah memberi kesan besar kepada industri seni Malaysia dan sumbangan Yayasan Sime Darby ini tepat pada waktunya untuk membantu menghidupkan kembali industri ini.” Azmir juga telah berpesan, “Kita semua harus bekerjasama dalam memastikan kelestarian industri seni dan platform ini berterusan. Tahniah kepada Kaki Seni Junior!”

Ikuti Kaki Seni di Twitter dan Instagram. Untuk maklumat lanjut, layari laman web Kaki Seni Junior atau hubungi Shufitri Shukardi (Pengurus Kandungan Digital) atau e-mel terus ke shufitri@kakiseni.com.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites