Jangan terlepas menonton filem ‘Rahsia’ 2023!

Filem Rahsia 2023 hasil ‘reboot’ sebuah filem pada tahun 1987 yang memenangi Anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-7 telah selamat dan sedang ditayangkan di pawagam tempatan di sekitar anda. BASKL telah diberi peluang menonton filem ini.

Oleh AZUWAN AHMAD

Filem Rahsia 2023 sudah mula ditayangkan di pawagam tempatan sejak 10 Ogos yang lalu. Ketika artikel ini ditulis, sudah lima hari tayangan berlangsung tetapi kutipan filem ini belum pun mencecah RM 2 juta. Jumlah ini dikira agak perlahan berbanding dengan kualiti cerita filem ini yang secara keseluruhan dihitung sebagai sangat bagus bagi kategori genrenya. 

Shamyl dan Othman Hafsham, 2 pengarah untuk 2 generasi filem Rahsia

Rahsia 2023 yang diarahkan oleh Shamyl Othman, anak kepada pengarah Othman Hafsham ini diterbitkan oleh Astro Shaw. Ia dibintangi oleh nama-nama besar seperti Nabila Huda, Marsha Milan, Eman Manan dan Fikry Ibrahim. Mewakili pihak Astro Shaw, Raja Jastina Arshad mengatakan antara sebab mengapa filem ini dipilih untuk dibikin semula dengan nafas baru atau ‘reboot’ adalah kerana ia ‘cult classic’ yang mempunyai pengikutnya sendiri serta jalan ceritanya yang masih relevan sehingga kini. Kalau anda belum mengetahui, Filem Rahsia pada 1987 adalah filem pertama bergenre seram yang memenangi Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM).

Filem ini berkisahkan Ramlah, seorang suri rumah tangga, pulang bercuti ke rumah ayahnya yang merupakan seorang ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Karim sempena menyambut ulangtahun kelahiran beliau. Dia pulang  bersama-sama suaminya Hamdan, seorang pensyarah, serta dua anak kecil mereka, Marina dan Saiful. Namun, keadaan bertukar menjadi keruh apabila anaknya Saiful tiba-tiba hilang sewaktu mereka berkelah di tepi pantai. Pelbagai usaha yang dilakukan untuk mencari anaknya dengan bantuan pihak polis. Sepanjang pencarian, Ramlah membongkar satu-persatu misteri yang menyelubungi keluarganya sehingga menyebabkan anaknya hilang. 

Filem ini difahamkan selesai penggambarannya tiga tahun lepas, satu hari sebelum perintah kawalan pergerakan yang pertama bermula. Ini bermakna filem ini diperam dalam tempoh waktu yang agak lama juga. Lagu tema utama untuk filem ini dilantunkan oleh Najwa Mahiaddin berjudul Alunan Lara

Lakonan Mantap 

Nabila Huda dalam filem ini sememangnya menunjukkan lakonan berkelas tinggi hasil daripada pengalaman bertahun-tahun dalam industri. Jalan cerita yang bergerak dengan dia sebagai watak utama sememangnya layak untuk diberikan anugerah. Watak Ramlah yang dipegangnya di sepanjang cerita menuntut emosi naik-turun yang sangat memenatkan. Nabila di dalam sidang media tayangan perdana juga mengungkapkan dia sendiri penat menonton saratnya emosi Ramlah. Sudah tentu lakonan seperti ini tidak boleh dipegang oleh pelakon biasa yang tidak dalam penghayatannya. Lakonan emosi ini sudah tentu memberi perbezaan kepada plot utama filem ini yang bermotif seram. Anda yang menonton pasti akan memberikan simpati kepada Ramlah yang menghadapi kemelut kekeluargaan sama ada dari ayahnya atau suaminya sendiri. 

Di samping itu , penulis ingin memberikan pujian kepada beberapa pelakon yang lain di dalam filem ini. Penulis ingin bermula dengan pelakon legenda hidup, Eman Manan. Anda yang boleh menghargai lakonan seperti Eman, pasti mengerti bahawa sukar untuk menggantikan pelakon seperti dia. Malah, penulis merasakan meletakkan Rashidi Ishak sebagai Eman di waktu muda agak janggal dan tidak kena. Bagi filem ini, Rashidi seolah tidak dapat menampung keamatan watak Tan Sri Karim di waktu tua serta sukar untuk percaya mereka adalah orang yang sama. Ada satu babak sewaktu Eman Manan ingin menyalakan rokok tetapi didatangi oleh cucu-cucunya, dengan segera dia membuang atau menyimpan rokok itu. Di situ kelihatan wataknya sebagai seorang datuk yang sangat penyayang dan prihatin walaupun betapa teruk olahnnya di belakang orang-orang. 

Aloy Paradoks sebagai ketua penyiasat polis bagi kes kehilangan Saiful juga sangat tidak mengecewakan. Penulis sebagai peminat Aloy merasakan dia berjaya mengimbangi keseraman filem ini dengan sedikit ‘comedy relief’. Pemilihan loghat Perak olehnya yang penulis tidak tahu sama ada arahan pengarah atau bukan mendekati rasa realiti dengan maksud kejadian ini benar-benar berlaku serta hidup. Seorang lagi yang harus penulis sebut juga adalah pelakon yang pernah menjadi jiran penulis, Mislina Mustafa. Sudah lama tidak muncul di khalayak ramai terutama di skrin, dia mempamerkan betapa ilmu lakonan itu harus ada dalam diri seorang pelakon. Wataknya yang hanya muncul dalam satu babak sebagai bomoh memberikan kesan yang lebih menyeramkan kepada jalan cerita. Tahniah kepada produksi kerana memilih pelakon-pelakon yang baik untuk filem ini. 

Jalan Cerita

Anda boleh mengharapkan perbezaan yang ketara antara filem 1987 dan di tahun 2023. Penulis skrip filem ini Alfie Palermo mengatakan bahawa boleh dikira 70% jalan cerita yang baru lain dari filem asalnya. Penamat cerita ini juga berbeza dengan filem asal (anda kena tonton sendiri).  Apa yang menarik hati penulis ialah ada konflik kekeluargaan yang perlu diselesaikan di atas elemen-elemen seram dihidangkan oleh filem ini. Kita akan selalu takut dengan perkara yang kita tidak fahami. Apabila cinta dan kasih sayang mula menguat antara kita, tidak ada perkara yang mistik atau ghaib yang mampu menandingi. 

Secara keseluruhan anda tidak akan boleh duduk diam ketika menonton filem ini kerana sepanjang cerita sentiasa ada kejutan seram mendadak atau ‘jump scare’. Penulis sarankan anda beli minuman dahulu kerana menonton filem ini akan merenggut tenaga anda. Sebenarnya, filem seperti ini memang sudah didahului oleh negara jiran kita ,Indonesia mengambil contoh filem Pengabdi Setan atau Qudrat. Ia adalah sesuatu yang segar untuk kelompok filem negara kita selepas deretan filem seram Pierre Andre. 

BASKL ingin mengucapkan tahniah kepada barisan produksi dan pelakon untuk filem ini kerana berani membikin semula filem dengan alur baru yang mungkin tidak ada ‘topper’ atau tandingannya. Penulis juga menyeru kepada orang ramai dan peminat filem tempatan untuk menyerbu pawagam terdekat untuk menonton filem ini! Kudos! 

Anda boleh mendapatkan tiket untuk menonton filem Rahsia di GSC atau di TGV.

Ikuti kisah-kisah menarik yang lain di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites