Deepavali di Malaysia!

Dalam mempelajari sekilas sambutan Deepavali di Malaysia – pakaiannya, juadahnya serta amalan-amalan istimewanya, penulis BASKL berbual santai dengan Tanabalan Sinniah (S. T. Bala) dari Persatuan Seni Pentas India.

Oleh NABILA AZLAN

Deepavali (juga disebut Diwali) bukanlah perayaan yang asing di negara kita, namun tidak semua mengambil cakna tentangnya. Pada setiap tahun, satu hari diwartakan sebagai cuti umum di Malaysia sempena sambutannya dan tahun ini, cuti perayaan ini jatuh pada 24 Oktober. Perayaan yang penuh warna-warni ini mungkin kelihatan sama dengan perayaan lain di Malaysia, namun ia ada simbol dan kepentingannya yang tersendiri. Untuk mengetahui sedikit sebanyak tentangnya, kami sempat berbual dengan seorang penggiat seni yang tidak asing dengan seni pentas Tamil dan kecantikan perayaan Deepavali sendiri.

Tanabalan Sinniah (S. T. Bala), 35, merupakan pengerusi dan anak filem (penulis dan pengarah) dari Persatuan Seni Pentas India (PSPI) dan Fenomena Seni Pentas yang bertapak di Kuala Lumpur. Sudahpun mengeluarkan lebih 15 buah teater dan empat buah filem di bawah namanya, teater pertama yang dipentaskan oleh Bala adalah pada tahun 1989 di Panggung Bandaraya. Teater Iruvar (2005) arahannya menjadi salah satu judul yang mengangkat namanya di persada seni selepas produksi tersebut diiktiraf oleh Malaysian Book of Records sebagai teater pertama yang tegar dalam penggunaan duo-wataknya (First Tamil Two-Cast Theatre Play). Dia yang sudah lama bergiat dalam seni pementasan, umumnya teater Tamil berhasrat untuk terus membawa karya anak bangsa ke hadapan melalui kerja-kerja produksinya.

Bala yang sering berulang-alik ke India bagi melancarkan kerja-kerja seninya tahun ini bakal menyambut perayaan istimewa itu di bandar Delhi. Dia yang biasa menyaksikan perayaan ini di kedua-dua buah negara gembira berkongsi ceritanya bersama kami!

Apakah signifikasi sambutan Deepavali?

Deepavali sememangnya pesta penuh cahaya. Menurut teks Sanskrit, ‘Deepa’ bermaksud cahaya atau lampu manakala ‘Avali’ bermaksud garisan. Deepavali, atau ‘susunan dan garisan cahaya’ ini simbolik kemenangan penganut agama Hindu. Buat mereka, hari Deepavali menandakan hari kekalahan syaitan Narakasura yang ditundukkan oleh dewa Vishnu. Kekacauan dan kegelapan yang dipercayai berlaku secara sekian lamanya ini diganti dengan terang cahaya – pentingnya simbol pelita atau lampu-lampu yang dinyalakan pada hari Deepavali, iaitu hari kesepuluh selepas tumpasnya Narakasura.

Berapa lamakah perayaan ini disambut?

Deepavali disambut pada bulan ketujuh mengikut kalendar suria Hindu, yang biasanya jatuh pada bulan Oktober atau November. Kata Bala, perayaan ini mungkin disambut selama beberapa hari (lazimnya 4 ke 5 hari, juga boleh dilanjutkan kepada seminggu) bergantung kepada tempat dan keadaan, dengan hari Deepavali sebagai hari besar atau hari teras. Namun begitu, persediaan menyambut Deepavali akan bermula seawal sebulan sebelum hari perayaan itu sendiri. Salah satu persediaan adalah menyusun dan melengkapi rumah-rumah dengan dekorasi terang seperti kelipan lampu atau pelita. Untuk yang sukakan suasana tradisional, mereka akan menggunakan pelita tanah liat sebagai dekor.

Buat pengetahuan anda, jika ada saudara-mara yang meninggal dunia pada sesebuah tahun, kata Bala, “Keluarga terdekat si mati akan mengelak dari menyambut Deepavali pada tahun tersebut untuk berkabung dan hanya akan meneruskan sambutan pada tahun seterusnya buat menghormati mereka yang baru sahaja pergi.”

Apakah amalan-amalan biasa yang dapat dilihat semasa perayaan ini?

“Pertama sekali sewaktu awal pagi, kami (warga yang menyambut Deepavali) akan mandi menggunakan minyak bijan. Kami akan bangun seawal jam lima pagi untuk menyempurnakan mandian ini. Seingat saya, sewaktu kecil-kecil datuk dan nenek saya yang akan membantu saya dalam memandikan saya dengan mandian minyak bijan ini,” jawab Bala. Gosokan wajib minyak bijan dari hujung kepala ke hujung kaki ini buat seisi keluarga, tidak kira umur, amat bersesuaian dengan khasiat minyak itu sendiri yang baik untuk kesihatan tubuh badan. Minyak bijan sinonim dengan semangat pembaharuan dan selain menyejukkan badan, ia sering dikaitkan dengan penyucian dalaman seseorang individu.

Selepas minyak bijan selesai diratakan ke tubuh badan, kata Bala, “Kami akan memakai pakaian baru untuk upacara sembahyang. Selalunya kami akan membeli baju baru khas untuk merayakan Deepavali. Pakaian baru untuk sambutan ini tidak wajib, tetapi ia sesuatu yang amat digalakkan dan ia mampu mencantikkan lagi sambutan Deepavali anda.”

Sebelum sembahyang di kuil, ahli-ahli keluarga akan sembahyang di kediaman masing-masing terlebih dahulu untuk memperingati ahli-ahli keluarga yang sudah tiada. Hari perayaan ini juga digunakan untuk mengambil restu daripada warga yang lebih tua untuk memperoleh keberkatan. Upacara sembahyang biasanya disambung pula dengan amalan ziarah sesama keluarga dan sahabat handai. Ada yang turut mengadakan rumah terbuka! “Rumah terbuka (open house) ini tidak semestinya berada pada hari Deepavali itu sendiri,” katanya, “Ia juga boleh diadakan beberapa hari selepasnya. Ramai juga orang yang memilih untuk melakukannya pada hari minggu susulan hari Deepavali.”

Sebutkan makanan lazim yang ada di hari Deepavali.

Perayaan ini semestinya sinonim dengan pulut vaji, murukku, kuih loyang dan manisan seperti kuih peneram.

“Pada hari pertama (hari teras) Deepavali, saya dan keluarga saya berpuasa dari memakan segala bentuk daging. Kami sekeluarga vegetarian untuk sehari,” tambahnya. Thosai (tose) dan appam menjadi makanan biasa di hari perayaan buatnya.

Adakah kolam sesuatu yang wajib ada sewaktu perayaan ini?

Gambar oleh VD Photography

Kata Bala lagi, “Kolam (susunan beras berwarna-warni untuk membentuk corak seperti bunga-bunga dan keindahan alam lain) merupakan elemen budaya penting masyarakat India, tetapi ia bukan spesifik untuk Deepavali sahaja.” Kolam, disebut sebagai ‘koh-lem’ yang diperbuat daripada tepung beras boleh disusun dalam mana-mana acara rasmi atau festival besar lain.

“Kami menyusun kolam untuk menjemput dewa kekayaan ke mari,” cerita Bala. Kolam boleh berfungsi sebagai perhiasan kediaman dan pada masa yang sama, suatu bentuk sedekah kepada makhluk kecil seperti semut dan burung-burung yang akan makan binaan kolam ini selepas beberapa hari. “Tetapi sekarang untuk orang yang tidak mahu menyusun sendiri kolam daripada beras mungkin memilih pelekat berwarna sahaja.”

Apakah pakaian lazim sambutan Deepavali?

Pakaian tradisional akan terlihat sepanjang hari – lelaki akan memakai baju vesti dan jippa (kurta). Perempuan pula akan mengenakan sari buat yang sudah berkahwin atau sut baju Punjabi (berseluar) untuk yang belum berumahtangga. Baju-baju lain termasuk sut lehenga (baju bersulam dengan kain kembang) dan pavadai (skirt tradisional panjang).

Gambar-gambar merupakan kurasi Tanabalan Sinniah. Gambar utama oleh Udayaditya Barua.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites