Ing-kar-i Menelusuri Realiti Alam Pekerjaan

Dilema pekerja kolar putih dizahirkan melalui Ing-kar-i dipersembahkan oleh MyDance Alliance dengan kerjasama Rimbun Dahan

oleh MIMI SALLEH

Masih ingatkah kali pertama kita menghadiri temuduga kerja? Seterusnya, bulan-bulan awal menjadi budak baharu di tempat kerja dan mengangkat darjat majikan menjadi raja. Setiap arahan menjadi titah di atas batu gemala. Setiap hari, mentera ‘saya yang menurut perintah’ menjadi pujukan pada hati untuk gigih bekerja dari jam 9 pagi ke 5 petang. Akhirnya selepas beberapa lama mula terasa diri umpama robot, kakak tua dan zombi. Idea disekat, pergerakan dikawal dan seluruh raga seperti dipenjara. Rutin menjadi sengsara. 

Itulah gambaran video pergerakan dan tarian bertajuk Ing-kar-i di saluran YouTube Rimbun Dahan.   Ia merupakan projek di bawah program Dancing In Place 2021 kerjasama di antara Rimbun Dahan dan MyDance Alliance. 

Pada permulaan video kelihatan seorang wanita berada di dalam bilik tertutup dengan perabot seperti sebuah pejabat. Dia memperkenalkan diri sebagai Shanti dan mengakhiri dengan kata-kata, “I listen to instruction well, and I follow order properly.”  Seterusnya seorang pemuda memperkenalkan diri dalam Bahasa Melayu sebagai Syafik dan mengakhiri dengan kata-kata, “Aku suka menerima nasihat dan menurut perintah.” Ketika ini, kita boleh mengagak apa senario yang ingin dipersembahkan, dan jawapannya diberikan oleh pemuda bernama Douglas yang mengakhiri pengenalan dirinya dengan kata-kata, “I listen to instruction well, and I follow order properly. That is why you should hire me.”

Ironik apabila mendengar dialog setiap watak pada awal tarian. Masing-masing cuba menonjolkan diri mereka yang terbaik di hadapan penemuduga, namun yang penting bagi majikan adalah dialog terakhir iaitu janji untuk menerima nasihat dan menurut perintah (I listen to instruction well, and I follow order properly).

Seterusnya kita boleh melihat tiga watak ini melalui babak gerak tari yang seragam, pekerja yang mengikut dengan tertib segala arahan sepanjang tempoh percubaan (probation period). Tiba-tiba pergerakan seperti terkena gencatan elektrik dan dalam tiga minit terakhir kita boleh melihat watak-watak itu seperti hilang punca. Ia adalah detik kesedaran hakikat alam pekerjaan. 

Saya tertarik pada sarung tangan putih yang dipakai hanya sebelah oleh ketiga-tiga watak. Di akhir babak, Syafik melemparkan sarung tangannya, manakala Shanti dan Douglas meneruskan pergerakan sebelum lampu digelapkan. 

Menonton video berdurasi kurang sembilan minit itu, terasa tidak puas apabila tiada interaksi  sesama penonton dan artis. Kita terpaksa akur, ini kelemahan persembahan secara maya. Namun, di sebalik kekangan tersebut ia juga memberi peluang kepada saya menghubungi koreografer dan pengarah video iaitu Douglas Philip Labadin yang turut memainkan watak Douglas. Dia kini berada di Bangkok, menyambung pelajaran di peringkat ijazah sarjana. 

Labadin mengakui persembahan maya ada keterbatasan dalam melahirkan pergerakan dan menzahirkan emosi para penari berbanding di hadapan penonton. 

“Sebelum ini, apabila ada penonton, saya suka mendengar interpretasi mereka terhadap apa yang mereka tonton,” kata pemuda Sabah ini. 

Saya tertanya-tanya mengenai ejaan perkataan ingkari. Mengapa perlu diletakkan sempang?

“Itu stail saya menulis tajuk setiap karya yang dihasilkan. Namun, pada masa yang sama kita boleh baca selapis lagi makna iaitu persoalan adakah kita ingkar pada arahan majikan atau ingkar pada prinsip dan identiti diri sendiri (pada huruf i) apabila menuruti arahan tersebut,” jelas Labadin. 

“Apakah pula signifikan sarung tangan putih yang dipakai sebelah sahaja? Adakah itu inspirasi daripada Michael Jackson?” Tanya saya dan disambut dengan gelak kecil daripada si pengarah. 

“Karya ini saya melihat berputar pada isu hubungan majikan dan pekerja dalam dunia korporat. Lazimnya pekerja yang berkemahiran tinggi adalah mereka yang terpelajar, namun akibat budaya kerja yang menekankan pada ‘saya yang menurut perintah’, para pekerja ini terpaksa akur tanpa membantah. Ini dilema pekerja kolar putih yang dilambangkan melalui sarung tangan putih itu,” terang Labadin.

“Adakah memakai hanya satu sarung tangan itu juga menunjukkan pilihan yang ada di tangan para pekerja ini, sama ada memilih untuk menuruti arahan atau mengingkari perintah tersebut?” Tanya saya berkongsi pendapat. 

Labadin tersenyum sebelum membalas, “Ya, itu satu intepretasi yang boleh dibuat. Saya membiarkan beberapa perkara terbuka untuk dibincangkan. Misalnya, secara halus saya memasukkan beberapa ciri pekerja kolar putih pada setiap watak. Antaranya pekerja yang berkerja keras, pekerja yang ikut-ikut sahaja dan pekerja yang sentiasa mencari peluang. Semasa menonton video itu boleh nampakkah ciri-ciri tersebut?” Labadin pula yang menanyakan saya soalan dan ini buat saya berfikir seketika. 

Watak Syafik di akhir babak ternyata pekerja yang tidak mahu terikat dengan arahan apabila  mencampakkan sarung tangan ke lantai. Dua lagi ciri, saya gagal meneka watak yang mana, ini perlu ditonton semula. Malah, Labadin turut berkongsi mengenai inspirasi kepada para penari untuk menghidupkan pergerakan. Dia meminta para penari untuk mengikut ciri pergerakan beberapa jenis binatang. Walaupun menurut Labadin inspirasi itu hanya untuk para penari menghidupkan watak, namun cara itu menzahirkan personaliti unik pada watak yang dibawa. Ini untungnya dapat berbual langsung dengan koreografer dan pengarah ingkar-i. Saya peroleh elemen menarik belakang tabir persembahan. 

Karya pergerakan tari ing-kar-i ini bagi saya sebuah karya yang ringan. Tiada falsafah berat yang perlu dihadam atau difikirkan secara analitikal. Namun, apabila kita membincangkan erti ingkar dalam konteks pekerja kolar putih dan sejauh mana ia menyumbangkan kepada indeks kebahagiaan Malaysia sebagai sebuah negara membangun, maka itu akan menjadi satu diskusi yang menarik. Adakah realiti alam pekerjaan menyumbang pada visi itu? Masyakarat yang harmoni serta sihat mental dan fizikal menjurus pada pembentukan negara yang berdaya maju. Namun, dilema sarung tangan putih juga adalah hakikat realiti yang harus kita selami.

MyDance Alliance adalah penerima geran Program Pembiayaan Organisasi Seni tahun 2019 di bawah Cultural Economy Development Agency (CENDANA).

Gambar adalah dari koleksi peribadi Douglas Philip Labadin.

Mimi Salleh merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA_ASWARA 2020-2021.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites