GSC meningkatkan kesedaran kesihatan mental melalui bakat muda

Sebuah festival filem yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran terhadap kesihatan mental dikalangan anak-anak muda.

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Golden Screen Cinemas (GSC) telah menganugerahkan hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 dan juga sebuah geran berjumlah RM30,000 untuk menghasilkan sebuah filem pendek mengenai kesihatan mental kepada Saudara Ahmad Shah, juara kategori belia pada Youth Mental Health Film Festival bulan lalu. 

Sejak tahun 1949, Amerika Syarikat telah mengiktiraf bulan Mei sebagai satu bulan yang khas untuk mempertingkatkan tahap kesedaran kesihatan mental kepada masyarakat secara umum. Melalui Akta Kesihatan Mental Nasional yang digubal pada tahun 1947 menerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Mental Health America yang menjadi tonggak kepada penggubalan akta yang cukup bermakna ini. 

Pasukan Halfway Down bersama CEO GSC Puan Koh Mei Lee & COO GSC Encik Tung Yow Kong

Beralih kepada kemajuan terhadap kesedaran kesihatan mental di negara kita pada hari ini, pada bulan Mei yang lalu GSC dan juga Centre for Mental Health and Wellbeing (CMHW) di HELP University telah mengadakan majlis tayangan dan pemberian anugerah buat Youth Mental Health Film Festival. Festival filem sesi 2021-2022 ini merupakan siri yang kedua selepas kejayaan pada sesi pertama mereka pada tahun 2020. 

Tema untuk festival filem kali ini adalah “Heart and Mind” di mana mereka menggalakkan penyertaan daripada sekolah menengah dan juga para belia daripada dalam dan luar negara. Matlamat pada festival filem ini adalah untuk menginspirasikan perkongsian idea dan mengiktiraf kesihatan mental sebagai satu isu global.

Sameer Monn filem Blue bersama Puan Sue Jen Cheong Pengarah Eksekutif MMHA

Ketua Pegawai Eksekutif GSC, Puan Koh Mei Lee turut berkongsi bahawa festival kali ini juga bertujuan untuk mencungkil bakat pembuat filem dikalangan belia dan anak muda. Lee juga berkata “kita ingin memberikan peluang kepada mereka untuk mempertonton karya yang dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kesihatan mental.” 

Terdapat empat kategori yang telah dipertandingkan pada festival filem kali ini iaitu Belia Antarabangsa, Sekolah Menengah (Malaysia) dan Belia (Malaysia). Bagi kategori Belia Antarabangsa, tempat pertama adalah milik filem Scroll Alice karya Céline Ufenast, seorang wanita muda yang membesar di Switzerland namun kini menetap di London, UK. 

Bagi kategori Sekolah Menengah (Malaysia) pula dimenangi oleh adik Sameer Monn dengan karyanya Blue yang berkisahkan tentang kehidupan seorang yang menghidapi masalah kemurungan dan sering berasa lemah untuk menghadapi dunia luar. 

Juara kategori Belia (Malaysia) pula adalah Filem Halfway Down oleh Ahmad Shah. Filem pendek ini menceritakan tentang kehidupan Aish, seorang anak muda yang tinggal bersama dua ibubapanya namun sering dibelenggu pelbagai jenis masalah sehinggakan Aish timbul keinginan untuk membunuh diri. 

Adlin Norafiqah Mohamed filem Dear Kakak bersama pegawai daripada Naluri

Sebuah lagi anugerah khas juga telah diberikan bagi mesej kesedaran kesihatan mental yang luar biasa. Anugerah ini telah diberikan kepada Adlin Norafiqah Mohamed dengan hasil karyanya Dear Kakak.

Apabila ditanya tentang perasaan anak-anak muda ini melihat karya mereka di layar pawagam yang unggul seperti GSC, mereka berkata perasaan keterujaan itu tidak dapat digambarkan. Juara Ahmad Shah dalam ucapan kemenangannya yang cukup beremosi pula telah menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan-rakannya yang telah banyak membantu dalam usaha penghasilan filem Halfway Down.

Ini adalah filem pendek Blue (Juara Kategori Sekolah Menengah Malaysia) dan Halfway Down (Juara Kategori Belia Malaysia) pada Youth Mental Health Film Festival tahun 2021-2022.

Buat anda yang mempunyai keluarga atau kenalan yang sedang menghadapi masalah kesihatan mental, bantulah mereka dan pimpinlah mereka untuk mendapatkan bantuan serta pertolongan yang terbaik buat mereka. Kita tidak tahu, mungkin bantuan itulah yang membuatkan keluarga atau rakan kita mengubah hidup mereka. Jika kita mempunyai pilihan, pilihlah untuk bersikap baik hati dengan seikhlas yang kita mampu.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites