Malaysia ke German atas semangat koletivism
Oleh DANIAL FUAD
Gotong-royong merupakan suatu yang tidak asing lagi bagi masyarakat Asia Tenggara. Ia merupakan suatu konsep yang telah diamalkan sejak dari dahulu lagi dalam aktiviti seperti amalan rewang semasa kenduri dan angkat rumah. Dalam dunia seni juga terdapat amalan gotong-royong, di mana orang ramai bekerjasama untuk menjayakan projek atau kolaborasi. Konsep DIY ini sering diamalkan oleh pekerja budaya sebagai langkah bagi menangani isu kekurangan dana atau tenaga kerja dalam menghasilkan sesebuah projek.
Semangat inilah yang diamalkan oleh Tindakan Gerak Asuh untuk menjayakan projek terbaharu mereka, JAMu yang bakal dihasilkan di Kassel, German atas jemputan ruangrupa bagi Documenta 15.
Tindakan Gerak Asuh
Tindakan Gerak Asuh (T.I.G.A) diasaskan pada tahun 2008. Pada awalnya kumpulan ini diterajui oleh tiga pekerja budaya iaitu Aisyah Baharuddin, Azliza Ayob dan juga Intan Rafiza. Namun begitu, sejurus selepas penubuhan mereka, Azliza dan Intan terpaksa menarik diri atas dasar kesibukan hal perihal. “Saya meneruskan projek ini kerana idea untuk menghasilkan kumpulan yang dinamik, rentas bidang dan bebas ini sangatlah baik,” ujar Aisyah.
Kolektif ini dicipta dengan tujuan supaya isu-isu masyarakat berkait dengan perihal alam, kesenian dan pendidikan dapat diketengahkan melalui pendekatan pengajaran terutamanya dalam kapasiti pembelajaran melalui bengkel. “Walaupun bengkel dijalankan dalam jangka masa pendek, ia sering memberi kesan jangka panjang kepada peserta,” tambah Aisyah lagi. Projek pertama mereka pada ketika itu merupakan bengkel terapi seni yang dijalankan di rumah perlindungan pelarian Myanmar selama tiga hingga enam bulan.
Kini setelah hampir 15 tahun T.I.G.A. beroperasi, mereka telah menjalankan tiga projek utama iaitu Pusat Sekitar Seni, Kebunia dan Pustaka Karyasama. Walaupun mereka merupakan sebuah kolektif bebas yang tidak mempunyai ahli tetap, tetapi pengurusan mereka boleh dijalankan hasil gabungan seniman, aktivitis dan penulis yang terdiri daripada Aisyah Baharuddin, Iltizam Iman dan Julie Sidek. “Saya sudah beberapa kali bekerja bersama Aisyah tetapi Projek Alir Cahayanya di Batu Pahat yang membuatkan saya lebih berminat untuk menyertai T.I.G.A. dengan lebih mendalam,” ujar Julie.
Gudskul dan Documenta 15
Gudskul: Contemporary Art Collective and Ecosystem Studies merupakan sebuah ikhtiar oleh tiga kolektif seni di Jakarta iaitu ruangrupa, Serrum dan Grafis Huru Hara. Mereka menghasilkan kajian terhadap kolektif di Asia Pasifik dan mempamerkan hasil kajian mereka yang berjudul Sekolah Temujalar di Documenta 15 setelah lima tahun program ini dijalankan.
Documenta merupakan acara kesenian yang dijalankan lima tahun sekali betempat di Kassel, German. Diasaskan oleh pelukis dan professor Arnold Bode, acara ini diadakan bagi membawa German kembali ke dalam dialog seni antarabangsa setelah tamatnya perang dunia kedua. Documenta pertama diadakan pada tahun 1955 dan diadakan di Fridericianum yang merupakan muzium awam dunia pertama; dibina pada tahun 1779. Semenjak dari itu, acara kesenian ini diadakan setiap lima tahun dan dianggap sebagai antara acara kesenian yang penting pernah diadakan.
Ketika Aisyah dan Julie sedang bekerjasama dalam projek Alir Cahaya mereka, Yeoh Lian Heng (pengasas Lostgens’) telah menghubungi mereka untuk mencuba menghantar permohonan untuk menyertai Documenta 15 di mana Ruangrupa merupakan Pengarah Artistiknya.
“Kami juga pada ketika itu sibuk dengan pasca acara Alir Cahaya seperti penghasilan laporan dan penurunan karya maka kami hanya ada beberapa hari untuk menyiapkan permohonan,” kata Julie.
Walau bagaimanapun, mereka tetap mencuba menghantar permohonan mereka hanya dalam beberapa hari daripada tempoh mereka mendapat berita tersebut. “Setelah menjawab soalan-soalan yang dihantar mereka (Gudskul) dan melalui proses temuramah, kami telah berjaya dipilih sebagai salah seorang peserta bagi Documenta 15,” ujar Aisyah.
Pengumpulan Dana dan Semangat Kolektivism
T.I.G.A. merupakan sebuah kolektif bebas dan dana merupakan suatu yang sangat penting untuk menjalankan projek mereka. Mereka harus mencari sendiri dana untuk mereka menjayakan projek mereka yang bakal berlangsung di Kassel kelak. Setelah gagal dalam mendapatkan dana melalui organisasi-organisasi besar, mereka telah membuat keputusan untuk mengusahakan sendiri dana yang diperlukan.
“Dapat ke tak dapat dana itu kami harus pergi ke Kassel dan setelah teman-teman kolektif yang lain mendengar keluhan ini, mereka bersetuju untuk menyertai pengumpulan dana sebagai tanda solidariti,” ujar Aisyah. Dengan itu, beberapa program telah dilancarkan seperti persembahan muzik dan juga bengkel kitar semula yang diadakan di Moutou, KL Jumaat lalu.
Melalui acara itu, mereka telah berjaya mengumpul sebanyak RM6,652 melalui jualan tiket dan juga sumbangan tunai. “Dianggarkan lebih 200 orang yang hadir, melalui penjualan tiket sebanyak 150 tiket, manakala bilangan pengunjung termasuklah pemuzik persembahan dan penanjur,” tambah T.I.G.A.
Mereka masih memerlukan lebih kurang RM2,000 lagi untuk perbelanjaan mereka sepanjang 50 hari di Kassel dan juga pembelian barang untuk pameran. Selain daripada itu, T.I.G.A. juga bekerjasama dengan Boogus Merchandise untuk penjualan t-shirt di mana RM20 untuk setiap jualan diambil sebagai pengumpulan dana. Mereka juga bakal mengadakan sebuah lagi persembahan muzik yang bakal berlangsung di The Wall, Batu Pahat pada Jun 24 (hari ini).
Mengumpul dana merupakan suatu perkara yang sukar terutamanya jika kita bergerak secara bebas dan inginkan kebebasan itu dikekalkan. “Semangat solidariti antara kolektif ini membuatkan kami lebih bersemangat untuk ke Kassel dan semua acara pengumpulan dana ini kita rancang hanya dalam dua minggu sahaja,” tambah Julie.
“Kita tetap akan melakukan yang terbaik mengambarkan Malaysia untuk Documenta 15 ini kerana Fridericianum merupakan muzium dan arkib seni pertama dunia jadi sebagai wakil Malaysia, ia sangatlah besar kepentingannya kerana perkara ini akan dicatat dalam peradaban seni dunia,” tambah Aisyah lagi.
Semoga terus sukses diucapkan kepada T.I.G.A. di mana mereka akan berangkat ke Kassel pada Jun 26 ini. Semangat solidariti yang diberi oleh kolektif seperti Findars, Moutou, Lostgens, Alir Cahaya, The Wall, Kedai Bogus dan Pancung Poster telah sedikit sebanyak membantu T.I.G.A. dalam membawa nama Malaysia ke tanah German. Selain daripada mereka, terdapat juga satu lagi wakil kolektif dari Malaysia, Pangrok Sulap yang telah pergi ke Kassel pada Jun 12 yang lepas.
Bagi mereka yang ingin membantu mereka dalam mengumpul dana, anda boleh menghubungi Aisyah melalui WhatsApp di sini.