Galeri Khazanah raikan Malaysia melalui karya moden agung seniman tempatan

Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Khazanah Nasional Berhad membawakan Galeri Khazanah – pameran maya (virtual) dan fizikal yang dibintangi oleh kerja halus para penggiat seni tempatan. Semua orang dari setiap lapisan masyarakat dijemput hadir!

Oleh NABILA AZLAN

Apa yang boleh anda dapati di Galeri Khazanah? Ketahui dahulu bahawa pameran istimewa ini diwujudkan dalam dua bentuk, virtual (tekan sini untuk ke galeri maya) dari Julai hingga Disember 2022, dan juga fizikal dari 25 Ogos hingga 4 September di Slate @ The Row, Kuala Lumpur.

Membawa tema Sejenak Bersama: Kembara Seni Merentasi Koleksi Khazanah, galeri ini dibina oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk mewujudkan ‘ruang pertemuan’ untuk semua orang melihat, meneroka dan mengalami sendiri pengalaman dan perasaan sebagai anak Malaysia, dipandu oleh karya dari seniman lokal – yang berpengalaman, prolifik dan baharu.

Dalam memahami struktur belakang tabir susun atur Galeri Khazanah, BASKL sempat berbual dengan Sarah Abu Bakar, perunding seni independen selaku sebahagian daripada kolaborator yang bertanggungjawab dalam menjayakan pameran ini.

Dia juga merupakan seorang penulis dan kurator yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Sarah (37) yang mempunyai minat yang mendalam terhadap seni Asia Tenggara telah menyumbangkan khidmatnya dalam pelbagai sektor, setiap satu melibatkan dirinya secara langsung dalam kerjasama seni professional sejak tahun 2012 lagi. Katanya, “Saya bersyukur atas peluang untuk menyumbang kurasi saya dalam pameran maya pertama Galeri Khazanah ini, di samping barisan kolaborator yang berbakat. Keseluruhan proses mengambil masa yang lama – sejak tahun 2020 tetapi ternyata semuanya membuahkan hasil. Saya hargai tunjuk ajar yang diraih melalui pengalaman ini.” Intipati selanjutnya ada di sini. Lihat juga kolaborator lain di sini.

Pameran maya

Lebih 57 karya seni moden oleh 29 artis dimuatkan dalam siri maya ini. Karya seniman moden seperti Latiff Mohidin, Dato’ Sharifah Fatimah Syed Zubir, M. Zain Idris, Kok Yew Puah, Redza Piyadasa dan ramai lagi dipaparkan buat tatapan semua. Turut sama menghiasi dinding maya ruang pameran merupakan karya artis baharu dalam bentuk seni yang sama, antaranya Azam Aris dan Ajim Juxta.

Setiap karya yang dipilih menyimpan kisah dan naratif yang unik lagi indah. Khazanah sebagai sebuah syarikat korporat yang tegar memelihara aset budaya Malaysia, antaranya dalam bentuk arca dan seni halus dengan merakam perspektif seniman dan seniwati ini agar dapat memberi peluang kepada semua untuk menghayati semangat tersebut.

Dalam menghadirkan suasana yang kekal segar sepanjang lawatan virtual anda, lima bilik bertema ‘dibina’ dengan kerjasama arkitek reka letak maya, Ar. Lam Shen Fei dan jurugambar karya seni digital, Wesley Wong Soo Ming. Keberadaan anda sebagai pengunjung di kelima-lima bilik iaitu Lobi (di pejabat utama Khazanah), Rumah Tradisional, Peranakan, Pavilion dan Bilik Kaca akan diiringi persembahan lagu Lenggang Mak Limah oleh Orkestra Filharmonik Malaysia (Malaysian Philharmonic Orchestra) – digubah oleh Abu Kassim dan Ahmad Muriz Che Rose.

“Reruai maya ini wujud sebagai lambang identiti Malaysia,” kata Sarah. “Ia penting dalam misi membawa sifat negara ini yang kaya dengan seni, budaya dan warisan buat tatapan seluruh dunia.”

Pameran fizikal

Dibawakan khas buat kali pertama secara fizikal dari ruang pejabat dan simpanan seni Khazanah, signifikasi 28 buah karya (dari 57 buah karya dari senarai penuh) yang dibawa ke Slate @ The Row di Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur ini seakan refleksi perjalanan Khazanah yang ditubuhkan pada tahun 1994, iaitu 28 tahun yang lalu. Kata Sarah sewaktu lawatan kami ke ruang pameran tempoh hari, “Semua karya ini tidak pernah dibawa keluar dari pejabat Khazanah! Kali ini, semua lapisan masyarakat boleh menatap setiap satunya secara depan-depan.”

Koleksi Khazanah yang dikumpul mampu menceritakan kembali cabaran positif perkembangan seni dan budaya Malaysia dari lensa seniman. Pada lawatan fizikal anda, jangan lepaskan peluang untuk menikmati corak evolusi seni moden tempatan. Antaranya, ada arca Shiraz 2 (dibina menggunakan keluli tahan karat) oleh Latiff Mohidin, kolaj pop art Two Malay Woman oleh Redza Piyadasa, catan minyak Musim Menuai oleh M. Zain, karya ternama Dato’ Chuah Thean Teng iaitu Carrying Durians, dan banyak lagi!

Bukan itu sahaja, terdapat banyak aktiviti menarik yang disusun buat pengunjung pelbagai usia di ruang pameran. Antaranya, ada perkongsian bersama artis, lawatan berpandu, serta bengkel seni kontemporari buat para pelajar dan kanak-kanak. Lihat senarai penuh aktiviti penyertaan di sini.

Pihak Khazanah menjemput semua, tidak kira umur dan latar belakang, untuk melihat sendiri karya seniman negara menerusi pameran fizikal di Slate @ The Row hingga 4 September 2022. Pameran maya Galeri Khazanah yang pertama ini boleh dilawati hingga Disember 2022. Bahagian kedua galeri ini akan sedia untuk tatapan umum pada awal tahun 2023. Ikuti galeri ini di Instagram.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites