From The Sky, to The Land, to The Sea menggandingkan tiga seniman mujarad muda

Tiga seniman muda menggambarkan apa yang mereka rasa melalui lanskap mujarad

oleh DANIAL FUAD

Lukisan landskap telah dipraktikan dalam latar seni Malaysia semenjak dari awal lagi. Mengambil petikan dari Agnes Aui melalui penulisannya dalam Abdullah Ariff: A Pioneer’s Legacy, antara nama-nama anak tempatan yang tidak asing dan juga perintis bagi cat air dengan lukisan landskap adalah Abdullah Ariff dan Yong Mung Sen. Lukisan Abdullah Ariff dan sezaman dengannya adalah lebih kepada lanskap konvensional di mana mereka lukis apa yang mereka nampak.

Selepas kemerdekaan, terdapat ledakan seniman abstract expressionism yang telah menerima dedahan seni daripada luar negara. Salah satu cabang yang muncul daripada ini merupakan lukisan lanskap mujarad (abstrak). Jika lanskap konvesional melukis apa yang mereka nampak, pelukis lanskap mujarad ini melukis lebih kepada apa yang mereka rasa.

Seniman-seniman seperti Dato’ Syed Ahmad Jamal dengan siri Gunung Ledangnya, Latiff Mohidin dengan siri Pago-pago dan juga Yusoff Osman merupakan antara beberapa nama yang mengamalkan landskap mujarad dalam praktik mereka. Semangat mereka kini disambung oleh seniman-seniman seperti Aely Manaf dan M. Shafarin Ghani pula.

Menulusuri subjek yang sama, Core Design Gallery mempersembahkan tiga seniman muda yang menghasilkan karya lanskap mujarad iaitu Isa Ishak, Loqman Zainal dan Nadzrin Haziq dengan pameran yang berjudul From the Sky, to the Land, to the Sea. “Ketiga-tiga seniman muda ini menawarkan pandangan tentang pemahaman mereka tentang kehidupan yang cenderung dengan penghasilan unsur visual,” ujar penulis pengantar bagi pameran ini, Falil Johari.

Ketika melewati pameran, dapat dilihat kenapa tajuk pameran ini telah disusun sebegitu. Setiap seorang seniman yang terlibat dalam pameran ini mewakili langit, tanah dan juga laut. Karya-karya Loqman dengan tekniknya yang cukup menarik ini dapat ditafsir sebagai gambar-gambar satelit pandangan mata burung. Hasil karyanya seakan menggambarkan benua-benua hasil imaginasinya. Di sinilah terletaknya semangat from the sky tersebut.

Semangat to the land dalam pameran ini telah diwakili oleh Isa, yang mana warna dominan dalam karyanya adalah hijau dan biru. Apa yang membuatkan karya Isa lebih menarik, jika anda lihat dengan lebih dekat, terdapat figura kuda disebalik palitan cat yang kelihatan samar-samar. Bagi Nadzrin pula, beliau banyak menggunakan warna biru dalam karyanya dan di sini ia dapat ditafsirkan bahawa beliau membawa semangat to the sea dalam pameran ini. Selain itu kita juga dapat melihat coretan-coretan warna yang rawak dalam karyanya namun teratur seakan disusun rapi.

Tambah Falil lagi, “Mahupun langit, tanah atau pun laut, seniman-seniman muda ini mengumpul reaksi mereka terhadap alam sekitar mereka dan menjadikan ia sebuah cara untuk mereka meluahkan pemahaman mereka terhadap ciri-ciri alam semulajadi yang tiada tolok banding keindahannya.” Terdapat juga sebuah lukisan dimana ketiga-tiga seniman ini menyatukan gaya mereka dalam sebuah kanvas di mana setiap seorang dari mereka bertanggungjawab terhadap satu lapisan.

Pameran From The Sky, to The Land, to The Sea ini merupakan sebuah inisiatif oleh Core Design Gallery yang diberi nama Platform@Core. “Tujuan utama inisiatif ini dimulakan adalah kerana selain daripada bantuan kewangan, para seniman juga memerlukan bantuan dalam bentuk mempamerkan karya. Jadi kami telah membuat keputusan untuk menyediakan ruang bagi seniman muda untuk lebih meneroka apa yang mereka minat dan memberi bantuan dari segi teknikal dan lain-lain,” ujar Hawa Basery, pengurus bagi inisiatif ini.

Sehingga kini, inisiatif ini telah melakukan enam pameran merangkumi pameran berkumpulan hinggalah ke pameran tunggal semenjak penubuhan mereka pada tahun 2021. “Biasanya kita akan cuba untuk melihat kemampuan para seniman muda ini melalui pameran berkumpulan dulu sebelum kita gilap lebih jitu lagi dan menawarkan mereka pameran tunggal,” tambah Hawa lagi.

From The Sky, to The Land, to The Sea berlangsung sejak 6 Sep yang lalu dan bakal berakhir pada 30 Sep ini. Galeri hanya boleh dilawat melalui temujanji sahaja, jadi bagi yang berminat untuk melewat pameran ini, anda boleh menghubungi Core Design Gallery di +603 5612 1168. Selain daripada pameran ini yang terletak di tingkat dua galeri tersebut, terdapat juga pameran tunggal daripada seniman Ajim Juxta pada tingkat pertama yang berjudul Lamantara.

Galeri yang terletak di No. 87, Jalan Ss 15/2a, 47500, Subang Jaya ini dibuka daripada hari Selasa – Sabtu dari jam 10pg hingga 6ptg dan ditutup pada waktu makan tengah hari dari jam 1tgh – 2ptg. Maklumat lanjut berkenaan pameran ini boleh didapati di laman sesawang mereka dan boleh juga mengikuti mereka di Instagram untuk kemaskini terbaru mereka.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites