Dunia seni dalam talian: Norma baharu atau syok sendiri?

Oleh MIMI SALLEH untuk Lensa Seni

Pada hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan suasana negara sunyi umpama dilanggar garuda. Jalan raya kosong tanpa kenderaan yang kebiasaannya bertali-arus. Taman-taman permainan sepi tanpa manusia. Ketika itu. terbayang di fikiran saya semua projek seni yang terpaksa dibatalkan. 

“Di mana aku nak cari duit?” Itu yang bermain di fikiran. Beberapa minggu saya kebingungan. Kusut memikirkan kelangsungan hidup.

Pada waktu yang sama satu kaji selidik telah dijalankan oleh Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) yang menunjukkan 93% penggiat seni (termasuk kru) terjejas pendapatan akibat penangguhan projek atau pembatalan kontrak berkaitan seni, dengan lebih 30% responden menyatakan mereka mengalami kerugian mingguan lebih RM5,000 dan lebih 83% responden menyatakan kerisauan mereka dalam aspek penjanaan pendapatan masa depan. 

Malah, kerisauan ini bersifat universal. Gail Harrity, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Muzium Seni Philadelphia turut mengakui waktu pandemik ini adalah waktu yang mencabar. Kenyataan beliau ini merupakan sebahagian daripada diskusi atas talian beberapa pihak pengurusan tertinggi institusi seni di Amerika Syarikat. 

Orang ramai mula memperkatakan dunia dalam talian sebagai norma baharu. Bermula April 2020 beberapa galeri seni di Kuala Lumpur mengorak langkah menganjurkan sesi lawatan maya (virtual tour). Antaranya Artemis Art, Segaris Art Center, G13 Gallery, Muzium Kesenian Islam Malaysia dan Jabatan Muzium Malaysia. 

Dunia seni kian mekar dengan pelbagai siri pameran, persembahan seni dan perkongsian daripada para penggiat seni. Saya juga tidak melepaskan peluang menghasilkan pelbagai kandungan video (sehingga Disember 2020 lebih 50 video dimuatnaik ke YouTube dan lebih 30 siri Facebook Live disiarkan). 

Namun, pendapatan daripada anjuran bengkel dalam talian tidak menentu. Adakala saya boleh tersenyum lebar tetapi ketiadaan projek seni secara tetap menyukarkan perancangan belanjawan. Perkara ini menimbulkan satu persoalan: adakah aktiviti seni dalam talian ini satu norma baharu atau sekadar syok sendiri si penggiat seni untuk menyibukkan diri pada kala tiada ‘job’?

Saya berpeluang menemubual Mohamad Safran Nawi, Pegawai Kebudayaan, Cawangan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang juga Pegawai Projek Panggung Seni Tradisional (PST). 

Persembahan tari klasik India Bharatanatyam sempena program Panggung Seni Tradisional

PST merupakan salah satu medium persembahan kesenian tradisional yang dipentaskan secara berjadual di Kuala Lumpur. Ia telah dimulakan pada tahun 2013 di Taman Budaya Kuala Lumpur. Apabila sambutan semakin meningkat, PST dipersembahkan di MATIC (Malaysia Tourism Centre), yang mempunyai kapasiti 400 orang penonton. Persembahan selama dua malam berturut-turut itu memberi peluang kepada penggiat seni daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), pelajar Institusi Pengajian Awam (IPTA) dan agensi kementerian untuk turut terlibat.

“Apabila PKP dikuatkuasakan, kami terfikir mengenai arkib rakaman PST yang lalu. Inisiatif telah diambil untuk menayangkan semula rakaman dari tahun 2013 hingga 2019.” kata Mohamad Safran. 

Dia mengakui, pada awalnya matlamat mereka sekadar mahu bereksperimen melihat sambutan penonton dan pada masa yang sama membina kesedaran mengenai JKKN, Facebook Page PST dan acara-acara seni yang telah dianjurkan. Tanpa disangka-sangka siri acara seni dalam talian yang disiarkan di Facebook Page PST mendapat sambutan luar jangka. 

Apabila Mohamad Safran berkongsi statistik capaian video-video tersebut, saya terpaksa bertanya dua kali (kerana terperanjat mendengar data yang disebutkan).

Pakyong (Raja Besar) dalam persembahan Makyong Raja Tangkai Hati sempena program Panggung Seni Tradisional

“Sebanyak 64,118 engangements untuk video rakaman tahun 2013 hingga 2019 yang kami muat naik bermula Julai hingga September 2020. Shares paling tinggi ialah persembahan Mak Yong yang dimuat naik pada 11 Ogos 2020 iaitu 319 shares dan Main Puteri (rakaman pada tahun 2014) telah mendapat 11,000 views.”

Menurutnya lagi, sebelum pandemik, setiap kumpulan yang membuat persembahan diberi modal permulaan (seed money) dan pendapatan daripada jualan tiket. Apabila pandemik COVID-19 berlaku, kaedah bayaran diberi mengikut persembahan seni yang dijadualkan. 

“Apakah faedah mendapat tontonan tinggi jika gagal menjana pendapatan?” Soalan yang saya pendamkan kini terluah.

Mohamad Safran tidak terus menjawab. Dia mengangkat cawan dan menghirup perlahan. Saya melihat jam di dinding. Waktu menghampiri tengah malam. Temubual secara Zoom yang dijangka tamat dalam masa 30 minit berlarutan ke satu jam. 

“Walaupun kumpulan seni itu hanya menerima token, tetapi impak capaian meluas. Jika dahulu di MATIC, maksima kehadiran ialah 800 orang. Kini, dalam masa enam bulan, jumlah capaian melebihi 350,000 dan nama kumpulan-kumpulan penggiat seni semakin dikenali.

Persembahan Opera Cina Teochew program Panggung Seni Tradisional

“Misalnya persembahan Boneka Teochew oleh Opera House dan Pertubuhan Belia Dramatis Pulau Pinang. Bahasa Teochew tidak ramai yang tahu berbanding bahasa Mandarin, Hokkien atau Kantonis. Sebelum ini, persembahan mereka menerima sambutan suam-suam kuku. Semenjak ditayangkan semula dalam talian mereka mula dikenali (persembahan mereka pada 25 Disember 2020 memperolehi lebih 130 shares),” jelasnya.

Semenjak Julai 2020 bukan sahaja jumlah pengikut Facebook Page PST meningkat dari sekitar 1000 orang ke 4902 orang, lebih mengagumkan apabila ia menjangkau sehingga ke 30 negara dengan Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand sebagai negara teratas. 

Persembahan Keroncong program Panggung Seni Tradisional

“Saya pernah dihubungi beberapa pelajar Sarjana Lanjutan mengenai persembahan yang ditonton di PST. Mereka tidak menyangka JKKN mempunyai koleksi persembahan seni yang dicari-cari. Ini menunjukkan persembahan seni dalam talian bukan sekadar hiburan tetapi ia turut menyumbang pada sudut ilmiah,” jelas Mohamad Safran lagi.

Pandangan tersebut memberi perspektif menarik bahawa norma baharu dunia seni adalah proses simbiosis di antara dunia teknologi dan dunia seni serta keupayaan si penggiat seni menyesuaikan dirinya secara proaktif dan inovatif. Namun, kini muncul persoalan-persoalan lain. dakah norma baharu dalam talian ini akan diteruskan selepas vaksin COVID-19 ditemui? Adakah dunia seni sudah bersedia menukar model perniagaan yang selama ini mengharapkan kehadiran fizikal penonton ke model perniagaan maya yang berpaksikan teknologi?

Mungkin jawapan tersebut ada pada kata-kata Martin Luther King, Jr iaitu “Kita mesti menerima kekecewaan, tetapi kita jangan sesekali kehilangan harapan (We must accept finite disappointment, but we must never lose infinite hope).”

Gambar utama merupakan persembahan Dondang Sayang dalam program Panggung Seni Tradisional

Mimi Salleh merupakan peserta PROGRAM BIMBINGAN MENTOR & PENULISAN SENI CENDANA 2021

Pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini adalah milik pengarang sendiri dan tidak mewakili pendapat CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan dari sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, kelalaian, dan/atau pelanggaran harta intelek yang disebabkan pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, di platform CENDANA atau di platform pihak ketiga.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites