Dendang Perantau: Haffendi Anuar

ADRIANA NORDIN MANAN

Merantau mengajar kita untuk lebih menghargai asal-usul. Buat Haffendi Anuar, karyawan seni dari Kuala Lumpur yang diumumkan pemenang dua anugerah ternama di Sekolah Kesenian Ruskin, Universiti Oxford, baru-baru ini, keinginan untuk mengetengahkan kesenian di sebalik objek budaya tanahair menghasilkan arca dan karya seni campuran menggunakan objek seperti kain pelekat. 

Sepanjang berkelana di United Kingdom, pengalaman sebagai seniman migran mencetuskan pelbagai idea tentang gagasan yang ingin Haffendi ketengahkan. Lembaran baharu yang dicitakan lebih jelas, ihsan persoalan yang digarap selama setahun pengajian di program Sarjana Seni Halus di Ruskin. 

Falsafah teras adalah perlunya warga bekas tanah jajahan menyumbang kepada wacana seni di bumi bekas penjajah, dengan niat memperluaskan lingkungan. 

“Berbanding London misalnya, bila melihat suasana di Oxford, kurangnya kepelbagaian etnik sangat ketara. Di komuniti majoriti berkulit putih seperti di sini, ada seakan hak istimewa untuk tidak mendalami atau mempersoalkan sejarah United Kingdom sebagai kuasa penjajah. Sejarah itu tidak perlu diendah sedangkan banyak kekayaan yang dilihat di senibina dan struktur fizikal setempat misalnya, ialah hasil kerahan tenaga rakyat di tanah jajahan masa lalu,” kata Haffendi ketika diwawancara di pelantar Zoom.

Tersemat di hati, ditatap di seni. Begitu peranan budaya dalam kerjaya Haffendi. Yang diketengahkan pula, objek harian yang dikaitkan dengan budaya Melayu khususnya.

“Archive Study – Midday & Sunset”  ialah koleksi karya yang diumumkan pemenang Hadiah Vivian Leigh kelolaan Muzium Ashmolean, muzium seni dan seni bina di Universiti Oxford. 

Karya olahan fotograf koleksi peribadi dihasilkan sebagai bahan rujukan apabila merancang pameran. Gambar keluarga diambil dan imej dipadam sehingga yang kelihatan cuma cebisan kain pelekat. Tidak lagi menunjukkan kain yang melitupi badan, imej yang diolah seperti bentuk bersegi yang menyerupai arca. Pada masa yang sama, permukaan rata imej mirip lukisan. Berpandukan imej olahan, terbentuk pula arca bertajuk “Pangkor,” di mana kain pelekat seakan ‘berdiri’ dan menyelubungi ruang kosong di tengah. 

“Pangkor”, 2020 – Gambar ihsan Haffendi Anuar dan Richard Koh Fine Art, Singapura/Kuala Lumpur

“Ketika membayangkan pameran di galeri kiub putih, saya tertanya bagaimana jika saya gantung sahaja kain pelekat di dinding?”

Di sebalik pertanyaan adalah ikhtiar memenuhi ruang seni dengan objek budaya masyarakat bekas jajahan. Selain kain pelekat, buaian rajut juga antara pilihan untuk dipamerkan. Kedua-duanya berkait rapat dengan imej ‘pribumi malas’ yang digemari golongan penjajah.

Namun, tidak semua dilihat melalui kerangka sindiran atau sangkalan naratif lapuk. Di gambar keluarga yang diolah, ada imej datuk dan nenek yang sudah pergi buat selamanya. Dengan memadam imej arwah, terasa diri memadam memori yang dikongsi. Lebih-lebih lagi apabila kehilangan nenek masih dirasai, kerana arwah baru meninggal dunia di Malaysia ketika cucu berada jauh di perantauan dan terbatas oleh perintah kawalan pergerakan.

Anugerah kedua yang dimenangi Haffendi di Oxford adalah Hadiah Emery, anjuran Galeri Seni Pembroke JCR. Dipilih daripada kelompok pelajar tahun akhir program seni halus peringkat sarjana dan sarjana muda di Ruskin, Haffendi diumumkan pemenang berkat praktis seni yang “memiliki kedalaman berlapis dalam membentuk karya media campuran,” umum penganjur. Campur aduk unsur tulisan dan arca diangkat sebagai ciri istimewa karya Haffendi yang membentuk perhubungan saling mempengaruhi yang dinamik antara unsur dua dan tiga dimensi.

Berkongsi maklumat persiapan pameran di Galeri Pembroke yang merupakan antara ganjaran kemenangan Hadiah Emery, koleksi fotograf masyarakat di pantai timur Semenanjung Malaysia yang kini menjadi koleksi milik Muzium Pitt Rivers, muzium antropologi dan arkeologi di Universiti Oxford menjadi antara tumpuan.

“Apabila saya meneliti imej komuniti dalam gambar, saya tertanya bagaimana kehidupan mereka agaknya? Gambar itu sudah lama dan diambil oleh pegawai pentadbiran penjajah Inggeris yang berkecimpung dalam fotografi pada masa lapang.”

Menatap imej masyarakat dari budaya sendiri mirip melihat cermin, kongsi Haffendi. Apabila sebahagian imej dilitupi pita pelekat sebagai proses kajian, pandangan ke arah lensa kamera semakin nyata. Pastinya ketika menangkap gambar, pandangan yang dilemparkan diolah oleh jurufoto untuk memenuhi “renungan penjajah.” Ekspresi muka terpegun dan seolah-olah gusar didatangi orang berbangsa asing dengan kamera berteknologi canggih adalah contoh renungan ini. 

Di mana bumi dipijak, di situ identiti direnung. Pada Haffendi, mahu atau tidak, di mata penduduk setempat identiti perantau tidak mungkin lekang daripada bertaut di negara asal. 

“Di sini, saya diingatkan yang saya orang Malaysia pada setiap masa. Mengingati kenalan di Malaysia yang membuat pengisytiharan kendiri bahawa mereka bukan sosok tipikal orang Malaysia atau kelompok etnik yang ditetapkan, teringin saya membalas dengan berkata bila di negara orang, percayalah tak ada hujah yang boleh menidakkan identiti anda sebagai orang Malaysia semata-mata,” seloroh Haffendi.

Usai setahun pengajian dan kini dengan sekalung anugerah dalam genggaman, ke mana langkah sang perantau seterusnya? Cita-cita adalah untuk bertapak sebagai karyawan seni di United Kingdom dan Malaysia serta Asia Tenggara umumnya. Membahagikan masa di studio di London dan Kuala Lumpur selain mendalami perhubungan dengan galeri di kedua-dua lokasi menjadi sasaran.

Di London, cabaran kerjaya yang mendatang adalah perlunya menonjolkan diri sebagai karyawan Malaysia dan bukan karyawan dari kelompok besar karyawan Asia Tenggara. Matlamat untuk mendapat perhatian rangkaian galeri di sana menggesa usaha sebegini. 

Namun, kurang tepat jika dikatakan Haffendi masih tidak dikenali di dunia seni London. Pada 2017, Haffendi diumumkan pemenang bersama komisyen arca di Stesen Jana Kuasa Battersea, projek hartanah yang diterajui konsortium syarikat besar Malaysia. Arca bertajuk “Machines For Modern Living” kini bertapak di lokasi projek di wilayah barat daya London. 

Pemandangan instalasi “Machines for Modern Living” di Stesen Jana Kuasa Battersea, London; 2017
Gambar ihsan Haffendi Anuar, Stesen Jana Kuasa Battersea dan Yayasan Arca Cass. Jurugambar: Thierry Ba

Rancangan di Malaysia pula adalah untuk terus bergiat di dunia seni tempatan serta serantau. Pada jangka masa panjang, tertanam niat untuk turut mengajar dan menjadi kurator yang memperkenalkan karyawan Asia Tenggara ke United Kingdom. Perantau, pemastautin atau anak jati sekadar pendamping gelaran utama Haffendi Anuar sebagai insan seni. 

Adriana Nordin Manan merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA-ASWARA.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites