FAZRINA JASMINA
Tiga anak muda. Seorang memetik gitar akustik, salah seorang lagi bermain gitar bass. Sosok tubuh yang ketiga sedang duduk berjuntai di atas bangku tinggi di atas pentas. “Pakaian seragamnya” kuning hitam persis jersi Harimau Malaya, tangannya menggenggam sebuah buku catatan, pemegang mikrofon terletak tepat di hadapannya di atas pentas yang sama. Bertentangan mereka ialah sebilangan kecil penonton yang boleh dihitung dengan jari; tidak sampai 10 orang pun yang tinggal dan rata-ratanya merupakan staf merangkap krew produksi pihak penganjur sendiri.
Sebelum itu lagi, anak muda tadi sering bereksperimentasi dan cuba meneroka bentuk persembahan puisi yang sewajarnya mampu menarik perhatian umum. Puisi-puisi terkumpul yang berjaya dibukukan sebelum ini perlu diketengahkan agar coretan dan nukilan yang terhasil tidak malap dan terbiar tanpa sebarang usaha yang boleh membuatkan ia dikenali dan mendapat tempat dalam kalangan kelompok pembaca baharu.
Bertitik tolak daripada situ, Mosyuki Borhan dan rakan-rakan seperjuangannya, iaitu Lah Fauzi dan Dion telah tampil menawarkan diri untuk turut sama memeriahkan acara Sambutan Tahun Baru 2011 dengan membuat persembahan puisi secara sukarela tanpa bayaran. Agak mengecewakan apabila slot persembahan yang sepatutnya mengambil tempat lebih awal ditangguhkan dari satu jam ke satu jam bagi memberi laluan kepada persembahan-persembahan utama yang lain sehinggalah habis kiraan detik tahun baru yang disudahi dengan nyanyian lagu Negaraku. Orang awam yang pada asalnya membanjiri Lorong Seni Putrajaya sudah tidak kelihatan setelah masing-masing mulai beredar meninggalkan kawasan sekitar pentas persembahan.
“Tak mengapalah. Kita jalan terus. Kita buat sesuatu sebab memang kita nekad hendak buat. Bukan hanya buat persembahan bila ada orang hendak tengok sahaja, sebabnya memang tiada orang,” ujar Mosyuki kepada Lah Fauzi dan Dion sebagai kata-kata pembakar semangat.
Setelah memperkenalkan diri, Mosyuki terus bermonolog sambil diiringi petikan gitar dan bass secara akustik. Persembahan mereka sesekali diselangi dan disahut dengan tepukan serta sorakan kecil penonton yang sedia ada sambil dirakam oleh seorang lagi rakan yang duduk di celahan penonton yang jumlahnya tidak seberapa itu.
“dia lelaki degil terhebat
degil pada dirinya yang mengaku kuat
keringat yang merembes itu bagai ada yang mau dikata
kata-katanya senjata sakti
pesan-pesannya perisai besi,”
merupakan petikan rangkap pertama sajak pembuka tirai persembahan mini tersebut. Sajak berjudul “Lelaki Terhebat” merupakan hasil nukilan Mosyuki sendiri, sebetulnya sebagai “ucapan” sempena hari jadi bapanya yang ke-63 yang sudahpun berlalu beberapa bulan lepas.
Tidak cukup dengan itu, persembahan Mosyuki dan rakan-rakan disambung dengan “Tumpahnya Darahku”, sajak yang diinspirasikan oleh kemenangan berprestij Piala AFF Suzuki 2010 yang dikecapi oleh pasukan bola negara pada tahun terbabit. Sahutan dan sorakan kian jelas apabila sajak kedua ini dilontarkan menerusi gaya yang bersahaja tetapi bernada sinis pada rangkap-rangkap tertentu.
“kalau ada tangan-tangan celaka menepuk tampar dari belakang
–tepiskan
kalau ada mulut-mulut puaka melancang kata mencarut bahasa
–pekakkan
sukan bola itu kan penyatu bangsa
tapi kita dikerdil-kerdilkan
kita kan harimau Malaya, jangan gentar sakti sang naga, apatah lagi gadangnya garuda
di bumi ini
di tanah ini
siatkan tubuhku, lapahkan isinya
ceraikan jiwaku, dari nadinya
tumpahnya darahku
sang harimau Malaya
aku bangga.”
Dengan berakhirnya persembahan pada malam tahun baru 2011 di Lorong Seni Putrajaya itu jugalah kenangan dilakar dan nama Mosyuki mula bertapak tatkala dia mula mengorak langkah untuk terus mara ke hadapan. Pada besoknya, rakaman video tersebut telah dimuatnaik menerusi saluran YouTube rakannya sebagai modal kandungan bagi meraih tontonan umum memandangkan pada waktu itu Mosyuki sendiri tidak memiliki akaun YouTube atas namanya.
Dari situ, bermula dengan sekadar 700 lebih tontonan di YouTube pada 1 Januari 2011, sedikit demi sedikit Mosyuki mulai mengumpul lebih ramai pengikut dan hasil kerja seninya berjaya meraih perhatian umum. Makin ramai yang mendekati, mengenali dan seterusnya menghubungi Mosyuki bagi menjemputnya mewarnai lagi pentas seni persembahan puisi tempatan dan antarabangsa, khususnya dari negara seberang (sebahagian besar intipati cerita dan jatuh bangun perjalanan seni serta kerjaya profesional Mosyuki ada saya coretkan menerusi artikel Bahagian I)
Itu cerita sedekad yang lalu.
Pada awal tahun ini, iaitu malam 9 Februari 2020, pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) yang ke-34 telah menjadi medan pertaruhan sketsa tanpa suara yang dilakonkan Mosyuki bersama rakan-rakannya sebaik sahaja tampil di atas pentas AJL untuk slot persembahan nyanyian kumpulan Drama Band.
“Sebelum AJL, saya ada berkongsi pentas dengan Drama Band. Waktu itu saya berpuisi secara theatrical. Beberapa minggu selepasnya secara kebetulan Drama Band memang mencari bakat untuk buat silent acting di pentas AJL. Mereka terus tawarkan peranan tersebut. Ini benda baru buat saya dan sememangnya saya suka untuk mencuba,” ujar Mosyuki apabila ditanya bagaimana tercetusnya idea dan kolaborasi berkenaan.
Mesej penting yang sebenar-benarnya ingin dikongsi menerusi persembahan tersebut ialah agar setiap penonton, khususnya di kalangan warga maya, lebih berhati-hati dan berwaspada; jangan terlalu cepat untuk menilai atau melabel karakter seseorang dengan sewenang-wenangnya, di samping menyiasat atau mengesahkan dahulu sesuatu maklumat atau perkara sebelum tersilap langkah menyebarkan hal yang tidak sahih. Tambahnya lagi, “Sebab itu saya tak berdialog sewaktu persembahan, terserah kepada penonton untuk ambil iktibar daripada gerak-geri saya atau reaksi orang sekeliling.”
Menurut Mosyuki, lakonan mute adalah lebih sukar untuk dipersembahkan kerana tidak didokong oleh dialog atau percakapan. “Saya perlu hafal setiap beat atau rentak supaya jalan cerita saya sampai tepat dan seiring dengan muzik yang dimainkan. Yang paling sukar, saya kena yakinkan penonton untuk faham cerita melalui mimik muka dan perilaku sahaja. Setelah diberi rujukan, saya kaji sendiri ciri-ciri yang patut ada pada watak yang ingin dilakonkan secara mute tadi. Saya selesa dan berpuas hati melakukannya.”
Kredit Gambar Instagram @khazwanitabrani @gphustler_ @aqoimran
Fazrina Jasmin merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA-ASWARA 2020-2021