Budak Nakal reggae sampai pagi

Muzik Indie sangat mendapat tempat di kalangan anak muda dan mula untuk mendapat tempat di dalam media arus perdana. Penulis BASKL sempat berbual dengan vokalis kumpulan Budak Nakal Hujung Simpang, sebuah kumpulan muzik indie yang sedang meningkat naik dengan genre reggae dan ska.

Oleh AZUWAN AHMAD

Budak Nakal Hujung Simpang (BNHS) mungkin sebuah kumpulan muzik reggae yang masih asing di arus perdana. Namun, bagi underground scene BNHS adalah sebuah nama yang popular dan sedang meningkat naik. BASKL sempat berbual-bual dengan vokalis BNHS yang dikenali sebagai John Bear, 35 untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kumpulan muzik tersebut.

Menurut John kumpulan muzik ini bukan sebuah kumpulan yang baru, malah penubuhannya dalam dunia seni sudah lebih 8 tahun. “Ia bermula sebagai sebuah kumpulan muzik projek pada 2014 untuk bermain di dalam sebuah majlis yang mempunyai tema 90-an. Haziq adalah ahli kami yang satu-satunya ada daripada mula sampai sekarang. Hanya pada tahun 2015, ketika saya dijemput untuk membuat opening act untuk Noh Hujan di UiTM barulah saya mengumpul sebuah band secara penuh yang dianggotai oleh saya, Amir (gitaris), Shufrin (pemain bass), Akem (pemain saksofon), Sam (pemain cahoon) dan Rushdan (pemain keyboard).”

Foto: Vokalis BNHS, John Bear kini sedang menghabiskan pengajian PHD-nya dalam ilmu keris.

Jika diamati, lagu-lagu yang dihasilkan BHNS mempunyai cerita nya sendiri atau paling tidak sebuah pesanan. Antara lagu yang paling melekat di hati penulis adalah Syair Perang Si Nakal. Lagu yang mempunyai bunyian yang menarik dan lirik yang membuat kita melompat bersemangat. Penulis bertanya kepada John yang berpengaruh besar dalam mengolah lirik BNHS, dari mana mereka mendapat inspirasi dalam membuat lagu?

Katanya, “Saya mengira diri saya sebagai tukang cerita. Saya mahu bercerita tentang hal-hal yang saya lihat atau perhati. Inspirasi saya juga datang dari rasa ingin melawan penindasan terhadap perkara-perkara kecil yang orang tidak terlalu peduli seperti ketidakadilan layanan terhadap kumpulan muzik indie yang sering tidak mendapat peluang yang secukupnya.”

Reggae sebenarnya adalah sebuah genre muzik yang tidak terlalu popular di negara ini. Oleh kerana itu menjadikan BNHS sebuah band yang agak berani dan unik. John menjelaskan sebab mengapa mereka memilih genre Reggae adalah kerana setiap anggota kumpulan mereka bermain alat muzik yang spesifik dan mempunyai selera muzik yang berlainan. Reggae adalah medium untuk mereka meluahkan minat dan cara muzik mereka yang berbeza-beza serta semua orang di dalam kumpulan ini boleh disatukan. Hal tersebut memudahkan mereka untuk mengolah muzik walaupun John akui pada awalnya mereka mahu bermain muzik Jazz.

Penulis ingin kongsikan sebuah rangkap di dalam lagu yang paling BNHS sering nyanyikan serta diibaratkan sebagai lagu “cari makan mereka” yang berjudul Terbang. Penulis merasakan ia mempunyai makna yang mendalam;

saat mata lebih lemah merah bergaya
saat rasa bertukar sayang penuh dada
lalu ku bersuara jawab ku seribu rahsia
siapa yang bertahta cinta ataupun cinta

jiwa ku tenang
fikiran lapang
terbang
terbang

video: Lagu ‘Terbang’ persembahan BNHS

Menurut John, di dalam rangkap tersebut ia bercerita mengenai seseorang yang terperangkap dalam dua hal yang dia sayangi atau cintai. “Kerana itulah adanya sebuah kata-kata laluku bersuara, siapa yang bertakhta cinta ataupun cinta. Anda tidak boleh membandingkan sebuah kecintaan dengan kecintaan yang lain. Pilihan yang sukar dan sukar dijawab tersebut membuatkan anda ingin terbang dan menyerahkan segala persoalan kepada Sang Pencipta dengan harapan anda akan bertemu dengan jawapan yang hakiki,” jelasnya.

Kelainan yang paling jelas mengenai BNHS berbanding kumpulan muzik yang lain adalah jumlah mereka yang ramai dan kepelbagaian instrumen muzik yang dimainkan di dalam muzik mereka. Tambah John, “Showmanship kumpulan ini juga unik. Selalu kalau kita tengok, vokalis sahaja yang memberikan tenaga dalam persembahan tetapi di dalam BNHS, semua ahli juga memberikan tenaga di dalam persembahan. Pemain-pemain instrumen. juga turut melompat ketika persembahan. Kami mempunyai genre muzik yang unik serta bunyi kami sendiri. Ini adalah salah satu cara untuk kami mengekalkan keaslian.”

Sebagai sebuah kumpulan muzik indie, pencapaian terbaik yang pernah dicapai oleh BNHS adalah bermain di Bali Reggae Festival di mana ia adalah festival reggae terbesar di Asia selaku main act dan membuat persembahan di Esplanade, Singapura. Selain daripada itu, BNHS sering dijemput untuk stesyen TV dan radio untuk rancangan mereka dan yang paling membanggakan adalah mereka pernah memasuki pencalonan di dalam acara Muzik-Muzik. Namun bagi John, ada lagi perkara yang lebih besar daripada itu. Tegasnya, “Pencapaian paling besar BNHS adalah kami masih bersama selepas 7 tahun ditubuhkan. Itu yang yang paling penting dan yang paling terbaik walaupun setelah banyak perkara yang kami harungi. Ia tidak memecahkan kami.”

Bercerita mengenai projek album, BNHS telah pun menerbitkan album mereka yang pertama Bumantara pada tahun 2018. Mereka sedang dalam proses untuk menerbitkan album yang kedua. John sangat bersyukur kerana pembikinan album kedua nya mendapat bantuan daripada CENDANA. Jelasnya, “Recording dan pembikinan album memang dibantu oleh CENDANA. Kami mendapat sejumlah wang dan dengan wang itu kami dapat menghasilkan album yang kedua serta digunakan untuk merangka siri jelajah kami.”

Video: Persembahan BNHS di RIUH SHOW.

Ditanya mengenai harapan dan penerimaan orang ramai khususnya di Malaysia terhadap muzik indie, John menjawab “Jika satu kumpulan muzik indie diberi peluang yang sama banyak dengan penyanyi mainstream dengan maksud high rotation play di radio arus perdana, ia akan membuka peluang  dan mata orang-orang yang sering mendengar muzik di arus perdana untuk mengetahui lagu-lagu baru. Masalahnya sekarang adalah, lagu-lagu indie tidak mendapat peluang yang sewajarnya. Jika lebih banyak peluang diberi, lebih ramai lah orang di dalam masyarakat yang boleh menerima muzik indie.”

Jika anda berminat untuk mendengar lagi lagu daripada Kumpulan Budak Nakal Hujung Simpang ini, anda boleh melayari akaun Youtube BNHS dan jika anda mahu mengikuti perkembangan terbaru mereka, boleh sahaja pergi ke laman sosial Instagram kumpulan tersebut di @budaknakalhujungsimpang.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites