30 Mei – 5 Jun

Baskl Picks kembali lagi minggu ini untuk menjamu anda dengan pilihan-pilihan acara seni dan budaya di yang sedang dan akan berlangsung di sekitar anda!

Oleh AZUWAN AHMAD

Sedar tidak sedar, kita sudah pun menghampiri separuh daripada tahun 2022. Banyak perkara yang sudah mula aktif kembali sebagai tanda kita mula bangkit daripada wabak Covid-19. Jalan-jalan bertambah sesak dengan orang yang mula melakukan kegiatan sosial dan ekonomi masing-masing. Kami di BASKL turut merasakan perkembangan ini dan tidak lupa untuk mempromosikan pilihan acara-acara seni dan budaya untuk anda kunjungi!

YOLO: FLOWING FORWARD, A SOLO EXHIBITION BY FARIS RIDZWAN (June 4 to 18)

Faris Ridzwan dengan seni karyanya.

Artis yang sedang meningkat naik, Faris Ridzwan akan mengadakan pameran lukisan solonya bertempat di G13 Project Room, Kelana Jaya. Faris yang merupakan graduan Fine Arts dari Universiti teknologi Mara ini akan mengadakan acara ini sekitar lebih kurang 2 minggu. Faris merupakan seorang artis yang tinggal di negeri selatan tanah air, Johor ketika ini.

Faris, melalui 8 buah lukisan di pameran ini cuba untuk menghadirkan sebuah metofara mengenai falsafah tentang kehidupan atau kelahiran sesuatu yang  baru. Dalam siri kerja yang terbaru ini, dia mengadaptasi sel darah sebagai perkara subjeknya. Dia mengakui bahawa elemen diagramatik dan corak separa sedar menjadi inspirasi dalam kerja-kerjanya. Faris memang dikenali sebagai artis yang sering mencurahkan pengalaman hidupnya dan sentiasa berusaha untuk mendifinisikan makna, budaya dan pencerahan.

Peminat yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pameran ini boleh terus ke laman web G13 Project Room atau hubungi Kenny atau emelkan di alamat info@g13gallery.com.

TEATER “ANTAGONIS” (JUNE 1 to 5)

Revolution Stage, sebuah kumpulan teater Melayu yang sangat aktif dengan seni persembahan teater. Minggu ini mereka bakal menjamu anda dengan sebuah persembahan teater berbentuk monolog berantai yang berjudul Antagonis. Persembahan yang mula dibuka kepada umum mulai Rabu ini, merupakan hasil gabungan 10 orang pelakon yang menghadiri kelas lakonan di Revolution Stage. Teater jenis monolog ini boleh dikatakan sangat jarang dipersembahkan dan buat teater kali ini ianya unik kerana “Antagonis” merupakan hasik kerja arahan 5 orang pengarah yang berpengalaman.

“Antagonis” mengisahkan tentang 5 orang perenang kebangsaan yang terperangkap dalam drama emosi dalam kalangan mereka. Pada suatu hari, seorang daripada perenang tersebut telah membunuh diri dengan cara terjun daripada sebuah bangunan. Tetaer ini mengangkat isu pembulian siber dan depresi. Menurut Adit, penulis “Antagonis”, dia gemar mengangkat isu-isu kesihatan mental dan karyanya pasti sarat dengan emosi yang sangat berat.

Anda boleh menonton persembahan teater ini secara online atau boleh juga menonton secara fizikal. Tiket boleh dibeli melalui laman web Revolution Stage di pautan ini atau anda juga boleh menghubungi Daphne untuk maklumat lanjut. Semua persembahan fizikal mewajibkan penonton untuk lengkap 2 dos vaksin.

ILHAM ART SHOW 2022 ( May 17 to Oct 23)

ILHAM Art Gallery dengan sukacitanya mempersembahkan anda ILHAM Art show 2022, sebuah pameran lukisan yang berlangsung 3 tahun sekali dan merupakan sebuah platform untuk para artis bereksperimen dan membuat karya baru!

Seramai 31 orang artis telah dipilih untuk pameran pada tahun ini. Mereka dipilih melalui 360 permohonan daripada artis seluruh negara dan ditapis oleh panel yang profesional termasuk Zoe Butt, Pengarah Seni daripada Vietnam. Antara nama-nama yang dipilih adalah Eddie Wong, Engku Iman dan Mimi Aslinda. Kesemua artis ini diberikan sebuah geran untuk menghasilkan karya seni bagi tujuan pameran ini.

ILHAM Art Show 2022 merangkumi karya yang meninjau naratif yang kompleks, yang peribadi dan yang berunsur politik, dari segi sejarah mahupun konsep. Karya yang menggabung tradisi dan teknologi, lama dan baharu, menangani pelbagai subjek seperti sejarah yang dipertikaikan, penghijrahan, konsep masa dan dunia khayalan, adat penyembuhan, dan hubungan dengan budaya dan tempat.

Pameran ini sedang berlangsung di Ilham Tower Jalan Binjai, Kuala Lumpur sehingga bulan Oktober nanti. Maklumat lanjut boleh didapati di lama web Ilham Art Gallery. Anda juga boleh mengikuti akaun Instagram mereka.

“IGNITE” SOLO PERFORMANCE FESTIVAL 2022 (June 3 to 5)

Good News Art Space menjemput anda untuk menyaksikan 8 persembahan unik dan merasai emosi serta pengalaman bagaimana 8 orang artis pentas merayakan kehidupan. Mereka ini akan berkongsi melalui pengalaman hidup dan akan menyentuh isu seperti jantina, keluarga, keintiman, kesihatan mental, pekerjaan , bahasa dan agama. Mereka akan bertanya, menjawab, meneroka dan memberikan sepenuh jiwa kepada penonton.

Kebanyakan dari persembahan ini akan menggunakan Bahasa Inggeris dan berdurasi sekitar 1 jam 30 minit. Tiket menonton persembahan yang akan berlangsung di Now Theatre, KL ini boleh dibeli dengan harga serendah RM 68 di sini. Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman media sosial Facebook Good News Art Space.    

LIFE DRAWING BY LE ART SHOP (JUNE 4)

Le Art Shop akan mengadakan sesi melukis figura hidup pada hari Sabtu ini. Anda yang berminat untuk mengikuti sesi ini boleh lah meluangkan waktu bagi menghadiri sesi tersebut yang telah pun dijalankan sebelumnya pada 14 Mei yang lepas. Ini adalah salah satu daripada 5 siri aktiviti melukis figura hidup yang dianjurkan oleh Le Art Shop.

Le Art Shop akan menyediakan peralatan seperti kerusi , meja dan ‘bean bags’ (terhad). Anda digalakkan untuk membawa peralatan melukis dan warna anda sendiri. Peralatan asas seperti pensel, arang dan kertas dapat disediakan untuk anda dengan derma minimum RM 5.

Sesi ini akan diadakan di Sparkles Studio , Plaza Damas, Kuala Lumpur dari jam 2 ptg sehingga 4.30 ptg. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web  Le Art Shop atau boleh bertanya terus kepada staf yang bertanggungjawab iaitu Cassie.

RIUH BAH! by Riuh In The City (JUNE 3 TO 5)

Riuh In the City kembali lagi! Kali ini ianya akan diadakan di negeri di bawah bayu, Sabah! Pesta yang dinamakan Riuh Bah! ini akan menemui anda di Sabah International Convention Centre bermula pada 3 Jun dan tamat pada 5 Jun!

Pelbagai aktiviti yang menarik akan anda dapati di sana. Seperti biasa, akan ada pelbagai jenis produk jenama tempatan yang akan menarik anda untuk membeli! Sudah tentu, gerai-gerai makanan yang menyajikan pelbagai menu juadah juga akan menanti anda. Tidak lengkap sekiranya pesta ini tidak disertai dengan beberapa persembahan yang akan menjamu mata para pengunjung nanti. Temui artis -artis terkenal yang akan membuat persembahan seperti Dato’ Jamal Abdillah, Linda Nanuwil, Syamel, Dato’ DJ Dave dan Wani Kayrie di acara Live at Riuh Bah!

Acara ini akan bermula setiap hari jam 9 pagi dan berakhir pada jam 10 malam. Maklumat lanjut boleh anda dapati di laman web Riuh atau di laman instagram Riuh In The City.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites