BASKL Pergi Perak: 5 tempat makan untuk menikmati selera tempatan

Makanan sedap apa yang ada di Kuala Kangsar, Ipoh dan Gerik? Liputan tempat makan di Perak ini mengandungi bukan sahaja hentian ‘viral’ yang dikenali kerana dekorasinya, tetapi pilihan juadah yang sedia untuk menggembirakan deria rasa anda.

Oleh NABILA AZLAN

Mustahil untuk jemu dalam jelajah rasa (food hunting) di tempat sendiri, kan? BASKL berkesempatan untuk menjamu selera di Perak Darul Ridzuan – memori hentian sementara kami di bandar Ipoh, Gerik dan Kuala Kangsar ‘dikepilkan’ dengan pilihan makanan sedap. Baca untuk ketahui kafe dan restoran baru kegemaran kami!

Miker Signature

Membuka pintunya pada bulan Ogos 2023, Miker Signature merupakan cubaan kulinari baru yang diterajui oleh Muhammad Shakir Jushaah (39) and Mohd Amzari Zamri (40). Mereka berdua yang juga memiliki jenama Miker Pizza dan Miker & Deme (berkonsepkan ruang makan ‘open air’ dengan hidangan Barat dan fusion) ini mengambil langkah yang berlainan dengan Miker Signature. Restoran yang diselimuti rona hitam, putih dan hijau dengan hiasan rotan dan mural menghidangkan juadah berat berasaskan lauk-pauk yang berlatarbelakangkan rasa lokal dan luar negeri (Asian fusion). Ada masak lemak, bakar, buttermilk, percik dan sebagainya! Kalau teringin, di sini juga ada Lobster Percik Thermidor yang dihidangkan bersama kerabu istimewa.

Pilihan menu kami: Udang Masak Lemak Nogori, Bendi bersama Sambal Nyonya dan Sotong Celup Celup dengan Sos Siam

Lokasi dan waktu operasi: Buka 11pg – 11mlm setiap hari.

Lot F6, Bazar Ipoh (Silveritage), Jalan Sultan Nazrin Shah, Medan Gopeng, Ipoh, Perak

Rumah Makan Rendang Tok Yoep

Kalau singgah ke Kuala Kangsar, kami cadangkan anda makan di hentian klasik yang menyediakan rendang Tok ini! Suasana makan di Rumah Makan Rendang Tok Yoep (yang dahulunya rumah Temenggong ini) tak ubah macam makan di kampung sewaktu hari raya, tambah-tambah pula hidangan lazim yang dipesan adalah lemang, ketupat dan nasi impit untuk dimakan bersama rendang ayam, daging atau kambing yang dimasak di atas kayu api. Rendangnya lembut, dekonya nyaman dan untuk yang kurang menggemari rendang, mereka juga sediakan laksa, roti titab, lempeng, cucur bawang dan sebagainya. Sagu hati berupa kerepek, serunding, dodol dan aneka kuih pun ada untuk dibawa pulang dan dikongsi!

Pilihan menu kami: Set Ayam (Rendang Tok Yoep, Nasi Yoep dan Jelatah), Nasi Impit Kuah Kacang dan Laksa Yoep

Lokasi dan waktu operasi: Buka 8pg – 4ptg setiap hari kecuali Rabu.

134, Jalan Taiping, Kampung Raja Chulan, 33000 Kuala Kangsar, Perak

Karat Cafe

Kafe yang berada di tengah bandar ini merupakan antara yang sering dilawati muda-mudi, tak kiralah yang menetap mahupun melawat Ipoh. Terletak di Greentown, Karat Café yang terletak bersebelahan sebuah lagi kafe popular iaitu Thumb’s Cafe adalah usaha dan idea Pak Tam (Elias Yahaya) merangkap chef di sini. Pengalamannya melancong ke luar negara telah mendatangkan inspirasi yang pelbagai, termasuklah menjadi ilham pembukaan kafe halal di tempatnya sendiri. Menu Karat Cafe terdiri daripada hidangan Barat dan tempatan kegemaran yang senang dinikmati baik hari biasa mahupun hujung minggu.

Pilihan menu kami: Chicken Grilled dan Sup Tulang

Lokasi dan waktu operasi: Buka 5ptg – 1pg setiap hari kecuali Rabu.

135, Jalan Sultan Abdul Jalil, Pusat Perdagangan Greentown, 30450 Ipoh, Perak

Castella Cafe

Tular kerana pengalaman unik pengunjung restoran yang ‘makan dalam air’, tarikan ke Castella Cafe masih hangat sehingga hari ini. Datanglah jika teringin makan dengan konsep duduk di dangau (pondok kecil) di atas sungai. Nasi dan lauk-pauk dihidangkan panas-panas di dalam tabung buluh dan disiapkan mengikut cara masakan tradisional Melayu di kawasan Hulu Perak, dilengkapi dengan sambal. Anda boleh memilih untuk makan nasi putih atau nasi daun bemban dengan pilihan ikan atau ayam bersama sayur-sayuran seperti pucuk ubi, ulam-ulaman dan kerabu kerisik. Kalau nak tahu, kafe ini adalah buah fikiran Mohd Isa Mohammed Ramli (Tok Janggut Putih) yang mulanya dikenali kerana ikan pekasamnya (boleh juga didapati di sini!) Kafe ini turut menyediakan penginapan terhad untuk jika berminat untuk menghabiskan masa yang lebih lama di kawasan sungai.

Pilihan menu kami: Set Tenggalan dan Set Sebarau

Lokasi dan waktu operasi: Buka 11pg – 5ptg setiap hari kecuali Selasa.

Kampung Padang Stang, 33310 Gerik, Perak

Ah Mat Kafe

Kalau tahu tentang pengusaha tempat makan ini, iaitu Nor Sara Mohamad yang merupakan anak kedua direktor/pengarah tersohor, Allahyarham Mamat Khalid – tidak hairanlah mengapa Kafe Ah Mat dipenuhi poster-poster filem dan koleksi tinggalannya! Menggamit memori karyawan itu, Ah Mat Kafe turut menyediakan sajian kegemaran Mamat Khalid sendiri seperti lontong kuah lodeh, mee kari kuah laksa dan nasi goreng Kampung Talang. Nor Sara menguruskan kafe vintaj itu bersama suaminya, Amirul Ariff Abdul Wahab. Bermula dengan berniaga secara kecil-kecilan, kafe ini mula mendapat tempat di hati pengunjung bukan sahaja juadahnya yang sedap, tetapi harganya yang mampu milik. Niat di hati pasangan ini adalah untuk menjamu orang ramai dengan makanan yang dijual dengan harga berpatutan.

Pilihan menu kami: Lontong Kuah Lodeh dan Assam Laksa

Lokasi dan waktu operasi: Buka 9.30pg – 7ptg setiap hari kecuali Isnin.

20, Jalan Che Tak, Taman Jubilee, 30300 Ipoh, Perak

Senarai tempat makan ini merupakan sorotan TravelPerakLah 2024 bersama Tourism Perak dan Gaya Travel Malaysia dalam mempromosikan tempat-tempat menarik di sekitar negeri tersebut sempena Tahun Melawat Perak 2024!

Gambar utama oleh Gaya Travel Malaysia/Abdul Hafiz Rahim

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites