BASKL Pergi Perak: 3 dapatan menarik di Galeri Rumah Lat, Batu Gajah

Pengalaman kali pertama BASKL ke Galeri Rumah Lat di Batu Gajah, Perak ini menghadirkan rasa kagum dan seronok dalam mempelajari bibit-bibit kehidupan Seniman Diraja Datuk Mohd Nor Khalid (Lat).

Oleh NABILA AZLAN

Kalau bukan kerana kunjungan saya ke Galeri Rumah Lat baru-baru ini, saya mungkin tak akan tahu tentang kerjaya awal Datuk Mohd Nor Khalid (Lat) sebagai seorang wartawan di meja jenayah! Para pembaca sudah semestinya mengenali gerangan Datuk Lat, kartunis negara yang amat sinonim dengan karya-karya seperti Kampung Boy, Mat Som dan Keluarga Si Mamat. Galeri Rumah Lat sarat dengan info mengenai jalur kerjaya Datuk Lat, kisahnya membesar sebagai seorang yang berseni sejak di bangku sekolah, serta pencapaian dirinya sehingga kini.

Dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada 8 Julai 2023, Galeri Rumah Lat dibuka kepada umum keesokan harinya. Sejak awal Julai tahun ini, sudah lebih 62 ribu pengunjung telah melawat galeri ini. Dijaga megah di bawah tadbir urus Lembaga Muzium Negeri Perak, galeri ini turut memaparkan Rumah Bumbung Lima atau Rumah Limas, sesuai dengan kehidupan awal Datuk Lat yang membesar di Batu Gajah.

Galeri ini merupakan hentian wajib bukan sahaja buat kartunis baharu, atau peminat Datuk Lat sama ada bergiat di dalam dunia seni atau tidak, tetapi juga seluruh lapisan masyarakat.

Di sini kami tampilkan tiga dapatan menarik di Galeri Rumah Lat yang wajib anda teliti sewaktu berada di sini:

1. Evolusi dan gubahan tema kartun selama berkarya

Buat pengetahuan anda, Datuk Lat pernah bekerja sebagai pemberita di Berita Harian sebelum ditukarkan ke meja Jenayah di The New Straits Times (NST). Mula dikenali sebagai kartunis editorial di NST melalui sirinya yang digelar Scenes of Malaysian Life, beliau diterbangkan ke St. Martin’s School of Art di London di atas biasiswa NST untuk mempelajari seni lukis manusia.

Gemar ‘meminjam’ ragam manusia dalam projeksi seninya, Datuk Lat memuatkan pelbagai aspek dalam kehidupan seharian. Menjadikan pengalaman hidup sendiri sebagai inspirasi seni, lakarannya turut menyentuh gambaran permainan kanak-kanak di kampung, hari-hari di sekolah dan persahabatan yang tidak mengenal latar belakang dan budaya. Lukisan Datuk Lat yang turut diangkat menjadi siri animasi – misalnya komik Kampung Boy (1979) yang ditransformasikan kepada siri 26 episod dan ditayangkan melalui siaran Astro – mencerminkan norma masyarakat yang mungkin berbeza dengan apa yang kita lalui pada hari ini. Lawatan anda ke galeri ini akan turut membawa anda melihat karikatur satira beliau yang menggambarkan wajah-wajah yang anda kenal!

2. Kehidupan Datuk Lat, dulu dan sekarang

Tertera di teks di dinding: “Mohd Nor bin Khalid merupakan nama sebenar yang diberikan oleh bapanya Khalid bin Mohd Noh dan ibunya Hajah Noor Azian binti Haji Said. Lat adalah singkatan kepada ‘Bulat’, nama timangannya yang diberikan semasa kecil lagi.”

Galeri Rumah Lat dihiasi dengan foto-foto lama beliau – sekitar lawatan wartawan, gambar di majlis persandingannya dengan isteri, Datin Faezah Ahmad Zanzali, potret keluarga dan sebagainya. Melalui koleksi foto ini, pengunjung dapat menelusuri kehidupan awalnya sebelum bergelar kartunis negara. Untuk memudahkan aliran info, galeri ini sedia menyusun semuanya dalam bentuk garis masa yang mudah dibaca dan diikuti.

3. Kolaborasi unik Datuk Lat dengan jenama terkenal

Sebahagian daripada perjalan membawa coretan kehidupan anak Malaysia ke mata dunia melalui lukisannya, Datuk Lat turut menghiasi permukaan pelbagai produk! Kolaborasi dengan jenama seperti dUCk, Ayam Brand dan Cadbury secara tidak langsung melakarkan rasa gembira, langsung mendekatkan kita dengan bingkisan nostalgia.

Sudahkah anda menjejakkan kaki ke Galeri Rumah Lat atau anda bakal merancang perjalanan anda ke sana tidak lama lagi?

Menurut Datuk Lat ketika ditemui pada 15 Oktober 2023 di festival seni Garden of Arts yang bertempat di Kellie’s Castle, Batu Gajah: “Rumah [di Galeri Rumah Lat] sama seperti rumah di mana saya separa dibesarkan. Saya tak duduk lama di sana (Batu Gajah), sebab keluarga kami selalu merantau. Kalau tengok Kampung Boy, kehidupannya pun di merata-rata tempat; di Kepala Batas, bandar Alor Setar, Muar, Kluang (1955) dan Mentakab (1957) di mana pada waktu itu saya berada di Darjah Satu.”

Galeri Rumah Lat beroperasi dari hari Ahad sehingga Selasa, dari jam 10pg ke 4ptg. Ia ditutup setiap hari Isnin. Kemasukan adalah percuma sehingga harga tiket dikemaskini dan diberitahu kelak.

Lawatan ke Galeri Rumah Lat ini merupakan sorotan TravelPerakLah 2024 bersama Tourism Perak dan Gaya Travel Malaysia dalam mempromosikan tempat-tempat menarik di sekitar negeri tersebut sempena Tahun Melawat Perak 2024!

Gambar oleh Gaya Travel Malaysia/Abdul Hafiz Rahim dan Nabila Azlan

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites