Ayuh ke Melaka untuk RIUH NAU! hujung minggu ini

Edisi kali ini di Dataran Pahlawan, Melaka ini ada bermacam-macam acara menarik. Marilah bersama-sama me-RIUH-kan suasana di sana!

Oleh NABILA AZLAN

Nak ke mana pada hujung minggu ini? Kalau niat di hati nak menjamu selera dan jiwa, kenapa tak ke RIUH saja? Datanglah beramai-ramai ke Dataran Pahlawan, Melaka bermula 5 Ogos hingga 7 Ogos 2022.

Seperti edisi-edisi yang sebelumnya pada tahun 2022, misalnya RIUH BAH! di Sabah, RIUH EK! di Johor dan RIUH X JAKM Kelantan, edisi kali ini iaitu RIUH NAU! di Melaka merupakan sebahagian daripada siri program Kembara RIUH Keluarga Malaysia yang diusahakan oleh MyCreative Ventures, selaku agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM). Ekspedisi 14 lokasi di serata tanah air ini diadakan untuk merancakkan pelbagai jenis perniagaan tempatan.

Sesuai dengan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-65 pada bulan ini, RIUH NAU! yang bertapak di Melaka diadakan bukan sahaja demi menyemarakkan lokasi setempat melalui hasil kerja kreatif artis-artis tempatan, tetapi untuk mewujudkan rasa bangga sebagai rakyat terhadap kecantikan dan keunikan tanah air kita. Buat yang belum tahu, Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah merupakan Bandar Warisan Dunia (World Heritage) seperti yang diisytiharkan oleh UNESCO sejak tahun 2008. Di sinilah terletaknya pelbagai binaan ikonik seperti Istana Melaka, Bangunan Stadhuys dan pastinya juga, Kota Melaka.

Apa yang menanti anda di RIUH? Selain menikmati persembahan istimewa dari barisan artis yang terdiri daripada Amy Search, Ruffedge, MonoLoque, Merakki, Insomniacks dan banyak lagi, anda juga dijemput untuk merasai sendiri pengalaman membuat kasut manik dan jubin seramik Baba Nyonya. Ingin menari? Ada juga tarian tradisi Melayu, Portugis, Chetti, Cina dan Joget buat anda semua!

Lihat dulu gambar di bawah untuk mengetahui senarai penuh persembahan live, bengkel seni dan gerai-gerai jualan sebelum merancang perjalanan anda. Jumpa anda di sana!

Maklumat lanjut ada di Instagram @riuhinthecity!

Anda juga boleh klik di sini untuk melihat aktiviti riuh yang lalu di RIUH x JAKM Kelantan.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites