Artis mesti berani hasilkan karya yang lantang

Oleh MIMI SALLEH untuk LENSA SENI

Pameran maya Talk To Me  memaparkan 18 orang artis yang sedang membina nama (emerging artists) dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Pakistan yang dikendalikan Stephen Menon sebagai kurator pameran. 

Stephon Menon bukanlah nama asing dalam persada seni halus. Dia pernah menjadi artis residen di Universiti Malaya dan mempunyai pengalaman bertahun-tahun sebagai kurator dan artis pameran di dalam dan di luar negara. Berbual dengan Menon di telefon seperti sudah kenal lama. Sesuai dengan tema Talk To Me, saya ambil peluang berbicara mengenai perbezaan artis di dalam dan di luar negara.

“Kita ambil contoh, daripada 1,000 permohonan untuk menyertai pameran Biennale Seni Cetak di luar negara hanya 80 orang artis akan terpilih. Ini menunjukkan penilaian karya luar negara cukup ketat, dan sehubungan itu, jurang kualiti karya kita masih jauh ke belakang,” jelas Menon.

Menurutnya lagi, sudah sampai masanya ekosistem di Malaysia mengangkat industri kreatif secara berterusan melalui promosi media massa, memberi ruang dan peluang kepada para artis untuk berkarya secara bebas agar mereka berani bereksperimen dengan gaya aliran baharu. 

“Di luar negara media massa memainkan peranan memberi hebahan secara berterusan mengenai dunia seni yang mana memberi impak langsung kepada kualiti karya, mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan para artis, dan membentuk para pengumpul yang berpengetahuan. Ini sekaligus meningkatkan nilai karya di pasaran. Malangnya ini tidak berlaku di Malaysia,” katanya. 

Setakat hari ini harga lelongan tertinggi artis Malaysia ialah Datuk Ibrahim Hussein untuk lukisan berjudul “Calama Desert” bernilai RM918,400. Namun itu masih tidak mampu menandingi nilai lelongan artis-artis dari negara jiran Indonesia yang mencapai nilai lelongan melebihi AS$1 juta.

Lebih menyedihkan apabila ramai artis di Malaysia yang terpaksa menukar gaya lukisan semata-mata mengikut permintaan pengumpul dan kehendak pasaran. Ini turut diakui oleh Menon dan kerana itulah dia memulakan komuniti Art Voice

“Artis yang sedang membina nama perlu ubah cara kerja dan keluar dari zon selesa. Sesebuah karya seharusnya menjadi suara lantang artis dalam meluahkan isu dan pendapat. Justeru, kami memulakan komuniti artis yang saling membantu melalui pameran yang menggabungkan artis dari beberapa negara dan daripada tiga generasi – artis yang sudah lama bertapak, artis yang dikenali dan artis baru,” jelas Stephen lagi. 

Strategi serampang dua mata ini memberi peluang artis yang baru membina nama untuk bersama-sama dalam satu pameran dengan artis bernama besar seperti Amron Omar dan Syed Thajudeen. Berada dalam kelompok artis seni halus dari luar negara juga salah satu strategi meluaskan jaringan di samping mempelajari kepelbagaian disiplin seni.

Berbalik pada pameran Talk To Me, kita boleh melihat artis-artis muda ini sudah berani menonjolkan identiti seni masing-masing. Misalnya, Ong Hieng Fuong dari Malaysia yang berkongsi dua karya menggunakan teknik woodcut print – satu teknik yang memerlukan ketelitian, kesabaran dan mengambil masa lama untuk menyiapkan satu-satu karya. Salah satu berjudul “In the Ward menunjukkan suasana di dalam rumah sakit. Ada elemen innuendo, lucu dan tanda tanya yang ditimbulkan dalam simbol berbentuk teks, wajah binatang dan ekspresi pada setiap karakter. Ong turut memasukkan lapisan demi lapisan elemen budaya yang perlu dirungkai satu per satu,  misalnya, elemen cerita rakyat Cina yang ditunjukkan melalui kepala kuda dan kepala lembu sebagai simbol membawa si mati ke neraka.

Tamaka, seorang lagi artis dari Malaysia telah menghasilkan lukisan pelbagai medium (mixed media) dengan warna-warna yang memberi garis pergerakan seolah-olah hidup. Salah satu karya bertajuk “The Guardian Series : Guarded Sus Scrofa memaksa saya  membuat carian makna Sus Scrofa. Ia adalah nama saintifik untuk babi liar, dan sebaik tahu maknanya, terus saya ternampak pada lukisan itu mata babi liar yang memandang tanpa berkelip. Ini mungkin gambaran senario semasa yang mana ‘babi liar’ ada dalam masyarakat dan ia akan menyondol sesiapa sahaja yang menghalang.

Melihat karya artis dari Pakistan saya tertarik dengan lukisan Amra Khan berjudul “Dilnawaz. Perkataan dilnawaz sering digunakan untuk anak lelaki muslim, bermaksud fikiran yang tenang (soothing mind). Namun, melihat lukisan cat minyak Khan ini kita akan rasa sedikit terganggu dengan idea lelaki muslim memakai pengilat kuku merah dan memakai aksesori wanita. Adakah lelaki itu memandang dirinya di dalam cermin, atau itu wajah kita yang sedang melihat refleksi diri sendiri di cermin?

Artis-artis dari Indonesia kelihatan lebih berani bereksperimen dengan pelbagai campuran medium. Warna dan elemen figuratif yang digunakan menampakkan elemen budaya yang ingin diketengahkan. Artis bernama I Made Santika Putra atau lebih dikenali dengan nama Dek Omo membuat sedikit kelainan untuk karyanya berjudul “Hiraeth”. Menggunakan medium besi tahan karat, resin dan prada emas, karyanya turut mempunyai kedalaman (depth) yang memberi efek bayang-bayang. Hiraeth atau nostagia dalam bahasa Welsh membawa kita mengimbau kenangan lalu yang berakar umbi dalam jiwa. Ini menarik jika dapat dibincangkan.

Sesungguhnya pameran Talk To Me membuka ruang kepada para artis dan hadirin untuk memulakan bicara seni. Sepanjang pandemik ini, dunia seolah-olah tiada sempadan geografi mahupun masa, maka peluang ini adalah masa keemasan untuk kita berkongsi ilmu dan pengalaman seni dalam konteks yang lebih luas. 

Mimi Salleh merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA_ASWARA 2020-2021.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites