Adiguru CENDANA: Che Mohd Zailani Che Moh

Pak Mat Jedok adalah salah seorang guru Main Puteri terkenal yang berpengalaman di negeri Kelantan. Ikuti secebis bingkisan kisah Adiguru yang telah aktif bermain persembahan tradisional ini selama lebih dua dekad.

Oleh AZUWAN AHMAD

Che Mohd Zailani bin Che Moh yang juga dikenali sebagai Pak Mat Jedok atau Abe Mat dalam kalangan orang-orang kampungnya di Tanah Merah, Kelantan telah aktif membuat persembahan Main Puteri sejak tahun 1999 sebagai Tok Puteri. Pada tahun 2009, dia telah menubuhkan Persatuan Warisan Main Puteri Pak Mat Jedok Negeri Kelantan dan telah merawat pesakit di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selatan Thailand. Dia juga telah membuat persembahan di Black Box di Publika sempena Malam Pusaka pada tahun 2016 selain aktif mengajar anak muda tentang seni permainan tradisi ini.

Buat pengetahuan anda, Main Puteri dikenali dalam kalangan rakyat Kelantan sebagai upacara penyembuhan tradisional di mana bomoh, pesakit dan pihak yang terlibat mampu berubah medium dan mengambil bentuk roh ‘Puteri’ untuk mewujudkan sebuah permainan atau persembahan. Ia telah sekian lama menjadi terapi jiwa untuk mereka yang mengalami kemurungan atau depresi.

Bomoh yang dibantu oleh minduk iaitu orang yang pandai mengenai roh serta kumpulan pemuzik seolah-olah dapat membina satu rangka konsep di sekitar orang yang dirawat, seterusnya merungkai misteri gejala penyakitnya supaya kesihatannya dapat dikembalikan. Pada masa yang sama, sang bomoh berupaya menarik sukma diri pesakit untuk keluar dari kemurungan dan meningkatkan rasa sayang kepada diri pesakit. Penglibatan ahli keluarga dan rakan-rakan yang hadir dapat meningkatkan dan mempercepatkan proses untuk pesakit kembali kepada keadaan yang normal dan sihat semula.

Keluarga Pak Mat Jedok sudah lama merawat pesakit melalui Main Puteri

Pak Mat sudah mendiami Kampung Jedok sejak lahir dan dari sebelah keluarganya, dia merupakan keturunan ketujuh yang tinggal di kampung tersebut. Apabila bercerita tentang permulaan penglibatannya dalam seni persembahan Main Puteri ini, Pak Mat berkata sejak dia berumur 22 tahun lagi, dia memang sudah mahir dan mula menjadi ketua dalam kumpulan persembahan untuk mengubati orang-orang sakit. Cerita Pak Mat, “Tapi zaman tu belum ada lagi kamera, gaji orang bermain Main Puteri ini pula hanya 2 ringgit semalaman. Andai kata pesakit itu sembuh, ahli keluarganya akan sangat baik dengan kita.” Menurutnya, Main Puteri ini kalau ada yang mahu bertahan, haruslah berbaik dengan orang ramai; kalau tidak, yang sakit tidak sembuh, yang sihat pula akan marah melihat kita. 

Antara pertanyaan lain yang ditujukan kepada Pak Mat adalah sekiranya salah satu perkara yang menarik minatnya untuk mula bermain seni ini adalah bunyi-bunyian atau lagu di dalam persembahan tersebut. Jawab Pak Mat, dia berniat untuk membantu orang lain yang memerlukan rawatan. “Mengenai muzik atau lagu; ada tak apa, tak ada pun tak apa. Keturunan saya dari dulu memang tok bomoh. Nak main seni ni kena sabar. Kalau orang kata kita nyanyi tak sedap, kita tak boleh marah,” kata Pak Mat.  

Gaya Pak Mat Jedok beraksi

Dalam merawat pesakit, penting untuk Tok Bomoh dan pesakit untuk mempunyai keserasian, jelas Pak Mat. Namun, tidak penting sekiranya pesakit itu kenal Tok Bomoh atau tidak. “Kalau pesakit dan Tok Bomoh tidak mempunyai keserasian, keadaan akan menjadi sukar. Sebab itu selalunya kita akan tanya nama dia, nama ibu dia dan asal-usul dia,” cerita Pak Mat. Untuk bermain Main Puteri, dia mengatakan pertama sekali, seseorang itu harus belajar dan mempunyai tingkat kesabaran yang tinggi. “Tok Main Puteri lagi susah keadaannya daripada anak murid. Sebagai contoh, kalau seorang guru Muay Thai mahu melepaskan ilmunya, dia boleh menjadikan anak buahnya sebagai teman bermain atau sparring. Tapi kalau guru Main Puteri, bagaimana? Boleh bengkak perut kalau tak lepas ‘angin’. Kalau nak ubat diri sendiri kena buat ritual puja ‘angin’”, ceritanya. 

Dalam Main Puteri ini, amat penting untuk memahami ‘angin’ yang mempengaruhi kelakuan atau jiwa rasa pesakit yang mendapatkan rawatan. Menurut Pak Mat, ‘angin’ ini yang selalu memberi rasa yang tidak baik kepada diri. Untuk mengetahui sama ada seseorang pesakit itu mempunyai ‘angin’ yang tidak baik, pesakit haruslah diperiksa dahulu. “Lain-lain pengamal menggunakan cara yang berbeza untuk mengesan ‘angin’. Kalau saya sendiri, saya menggunakan beras. Beras adalah semula jadi. Jadinya kita kerana beras,” jelasnya. Bercakap tentang tempoh masa pengubatan dalam ritual Main Puteri pula, Pak Mat memberitahu dia pernah bermain dari jam 9 malam sehingga 11 pagi esoknya dan hanya berhenti untuk solat Subuh.

Pak Mat berasa sangat gembira dengan program Adiguru dan menzahirkan rasa syukurnya atas bantuan yang sampai dengan program tersebut. “Saya sangat menyokong program ini dan sangat berterima kasih dengan geran yang diberikan. Saya dan anak-anak buah saya sangat berpuas hati. Sudah lama saya bergiat dalam permainan Main Puteri, namun ini kali pertama saya menerima dana sebesar ini. Saya dapat membaiki alat-alat persembahan saya dan kelas-kelas mengajar pun tidak tergendala,” katanya. 

Che Mohd Zailani Che Moh merupakan penerima dana Adiguru CENDANA fasa pertama dalam seni Main Puteri. Program Adiguru CENDANA dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.

Ikuti kisah-kisah menarik yang lain di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites