Pada jam 10.10 pagi, 27 September 2023, penyanyi-penulis dan seniman pelbagai-disiplin asal Ipoh, Mohd Jayzuan mengeluarkan single pertama Sanglirsari diambil daripada album keempatnya berjudul Senandika yang dijangka keluar dalam bentuk fizikal pada 2024.
Single keluaran bersama kolektif artis-‘kengkawan’; Projek Rabak dengan usahasama jenama gaya hidup; FK Sneakers dan penerbitan lagu oleh Taja Archive Publishing ini mengembalikan Jayzuan bermain muzik secara berkumpulan dipenuhi gitar, bass, drums, organ, papan kekunci, brass dan alatan-alatan lain dengan bantuan pemuzik multi-instrumental; Adink Permana merangkap penerbit bersama. Proses rakaman turut dibantu oleh Lisa Fuad, bintang indie pop/shoegaze yang sedang meningkat naik di Malaysia bersama bandnya; FUAD.
Jayzuan dan Adink mula berkenalan sejak 2009 dan sebelumnya mereka pernah bekerjasama di album ketiga Jayzuan, Filokalis (2021). Ditanya kenapa memilih bekerjasama lagi dengan Adink, Jayzuan menjawab, “Kimia pola fikir kami selari, kalau Tom Waits ada Kathleen Brennan, Nick Cave ada Warren Ellis, saya pulak ada Adink Permana. Lagipun, lebih menarik berkarya dengan kawan yang tahu apa keresahan terbuku di dalam saya, kami bukan bikin muzik je, kami malah banyak berbual tentang hidup yang sadis dan banal.” Tambahnya lagi, “…Saya tahu dan jelas bunyi atau permainan bagaimana yang dimahukan, tapi disebabkan saya ini bukanlah pemuzik sangat, jadi Adink banyak tolong paterikan benda-benda terutama berkaitan skill dan teknikal. Saya ada visi dan Adink adalah mahaguru penuh kemahiran.”
“Kita teman lama, lebih banyak berbagi cerita, muzik mengikuti proses bincang-bincang itu,” apabila ditanya tentang kerjasama kali kedua mereka kepada Adink, pemuzik Jakarta, kini menetap di Kaherah, “…Sanglirsari muzik genius tak kompleks, membawa ke alam rasa untuk bukan hanya mendengar, tetapi melihat muzik dan mendengar warna.”
Menurut Lisa pula, “Lagu Sanglirsari ini boleh digambarkan macam prosa klasik Melayu yang dilirikkan dengan bunyi kontemporari dan Jayzuan berjaya mencetuskannya dengan luar biasa.” Lisa yang kali pertama bekerja dengan Jayzuan dan Adink juga menambah, “Khalayak patut mendengar Sanglirsari kerana ia seolah langkah ke hadapan mencipta satu genre baru.”
“Saya hanya nak tulis lagu-lagu Melayu stailo, yang rugged. Pop dari Asia Tenggara, dalam kepala, saya daulatkan ia sebagai Pop Tenggara.” Jayzuan sering berpameran di luar negara dan karya-karya seni kontemporarinya selalu bermain dan meneroka tema Melayu dan Malaysiana. “Melayu ni besar, bukan hanya di Malaysia, jadi saya cedok daripada Melayu belah sana sikit, belah sini sikit, belah sinun sikit, sambil-sambil nak kenal asal sendiri dan cuba hasilkan bunyi dipinjam daripada semangat-roh Alam Melayu yang berlemparan di serata dunia, terutama Asia Tenggara.”
Disoal adakah akan mula berpanggung semula setelah sekian lama tidak berpentas, dia menjawab, “Itu nawaitunya, rindu nak berdendang, nak berkongsi cerita-rasa dengan kawan-kawan di luar sana secara langsung,” sambil tersenyum menyambung, “Sejak 2011 saya lebih fokus pada karier sebagai seniman kontemporari dengan kolektif Projek Rabak, pameranlah, kurasi festival dan hal-hal lain berkaitan seni-budaya. Sekarang, Rabak dah boleh bergerak secara auto-pilot, jadi memang cadangnya nak sarung topi bermuzik dan melolong semula.”
Rakaman Sanglirsari dijalankan di Moonjabé Studio, Kaherah, Mesir dijuruterakan Adink Permana dan The Archive Studio, Damansara Perdana, Malaysia dioperasikan Hazeeq Azhar. Manakala adunan awal dan akhir (mixing dan mastering) dibikin di Sine Studio, Jakarta, Indonesia oleh Dzulki Sunarya.
Kata Izzat Amir, wakil FK Sneakers, padat, “Falsafah cinta Jayzuan berbeza, Sanglirsari bukti puitis metafora matang tanpa perlu ada satupun perkataan cinta dalam liriknya.”
Sanglirsari kini boleh dihayati di laman-laman streaming seperti Spotify, Apple Music, Amazon Music, YouTube, Deezer, Anghami, Tidal dan YouTube Music.
Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah: