‘Tebus’ kini boleh ditonton di Prime!

Filem Tebus sudah boleh ditonton di Prime Videos sejak 31 Ogos. BASKL hadir bersama ketika pelancaran filem tersebut satu hari sebelum rasmi ditayangkan.

Oleh AZUWAN AHMAD

Pada 30 Ogos 2023, bertempat di GSC The Starling Mall, Damansara telah diadakan tayangan perdana filem berjudul Tebus. Filem ini secara rasminya mula ditayangkan di platform penstriman  filem digital, Prime Videos pada Hari Kebangsaan Malaysia. Pelancaran yang dihadiri oleh wakil media dan peminat filem tempatan itu juga turut mengundang Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS),  Datuk Kamil Othman. 

Filem Tebus dibintangi oleh Aedy Asyraff, Ahirine Ahirudin, Iedan Aedan, Azhan Rani dan Jay Iswazir. Ia mengisahkan tentang seorang pengawal keselamatan lakonan Aedy yang menculik pewaris empayar barangan kemas, Ana lakonan Ahirine demi mendapatkan organ jantung yang dijual di pasaran gelap untuk adiknya yang sakit. 

Filem ini adalah arahan Jason Chong. Jason, 43 adalah sutradara sama yang mengarahkan filem Ular (2013) dan Belukar (2010) serta pernah berjaya memenangi anugerah Cerita Asal Terbaik di Festival Filem Malaysia 2017 menerusi skrip tulisannya buat filem Adiwiraku. Dia juga sebelum ini pernah berlakon dalam beberapa drama tempatan. 

Jason Chong bersama para pelakonnya.

Secara keseluruhan, filem yang menelan belanja pembikinan sebanyak RM 2 juta ini mengangkat tema kasih sayang kekeluargaan walaupun dibalut dengan separa aksi. Hal yang paling menarik bagi penulis sebelum kita menuju ke arah penceritaannya adalah keseluruhan penggambaran filem ini dilakukan di negeri Sarawak. Secara jujurnya, ini adalah ruang lokasi yang masih belum diterokai sepenuhnya oleh rumah produksi filem terutamanya daripada Semenanjung Malaysia. Kalau anda tonton filem ini, ada beberapa babak yang menunjukkan ‘gahnya’ lokasi penggambaran seperti babak Ana yang membawa kereta secara liar di kawasan Padang Merdeka Kuching. 

Di dalam filem ini, memang tidak dapat dinafikan lakonan Azhan Rani, Jay Iswazir dan Marissa Yasmin sangat meyakinkan sesuai status mereka sebagai pelakon yang jauh lebih senior berbanding dua pelakon utama filem ini. Namun begitu, watak-watak mereka sudah biasa bagi pelakon-pelakon senior ini dengan maksud ia tidaklah begitu mencabar bagi mereka. Kenyataan ini penulis catat walaupun secara peribadi penulis merasakan premis cerita agak besar untuk ditampung oleh produksi ini jika ingin menggelarnya sebagai sebuah filem aksi. Harapan penulis sebelum menonton sebenarnya adalah filem ini menjamu lebih banyak aksi mengenangkan premisnya yang agak gelap.

Lakonan Aedy dan Ahirine juga boleh dikategorikan baik namun tidak mencabar. Aedy yang mempunyai wajah yang kacak dan tubuh yang sasa sememangnya menjadi tarikan kepada penonton-penonton bagi filem ini. Namun jika dibandingkan Aedy yang sering juga membintangi drama-drama petang tempatan dengan dua pelakon yang lebih senior seperti Zul Ariffin dan Remy Ishak di dalam filem Sangkar, Aedy di dalam filem ini masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan kerana sudah pasti wajah ini di masa akan datang akan lebih banyak memenuhi layar perak. Ahirine pula setelah Gadis Jolobu tahun lalu barangkali tampil lebih baik sedikit di dalam Tebus kerana ia membabitkan banyak babak aksi dan Ahirine sememangnya boleh melakonkan watak-watak sedemikian. Namun, dia juga masih mempunyai ruang yang banyak untuk memperbaiki kemahiran lakonannya walaupun untuk filem ini wataknya tidak memerlukan penghayatan yang terlalu berat. 

Ahirine mampu bawa watak aksi.

Jason ketika bercakap dengan media mengatakan bahawa konsep dan sebahagian jalan cerita yang diketengahkan menerusi filem yang disokong oleh Kerajaan Negeri Sarawak itu sangat dekat dengan dirinya.”Sebenarnya konsep filem lebih kepada kasih sayang dan secara peribadi, sebahagian jalan cerita yang diketengahkan berkaitan dengan kehidupan peribadi saya. Seperti dalam filem Tebus, saya juga berdepan beberapa isu membabitkan bil perubatan dan sebagainya. Jadi, dalam situasi ini kita akan berfikir sama ada akan melepaskan orang disayangi atau tidak,” katanya. 

Filem ini dihasilkan dengan Bantuan Kewangan oleh Film in Malaysia Incentive (FIMI)  dan rebat tunai (cash rebate) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Tebus boleh ditonton di Prime Videos dengan langganan bulanan RM 25. Penonton juga boleh menikmati 7 hari percubaan tontonan secara percuma.

Ikuti kisah menarik yang lain di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites