Pengisian warisan dan budaya sempena majlis memperingati negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj

Negarawan yang tidak asing lagi di arena tempatan, Tun Dr. Ismail Al-Haj bin Dato' Haji Abdul Rahman disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur pada tahun 1973.

Oleh NABILA AZLAN

Kira-kira 10 ribu orang termasuk jemaah Menteri Kabinet hadir ke majlis istimewa Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj: Tonggak Perpaduan Negara di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semalam (2 Ogos 2023). Majlis ini turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil.

Majlis anjuran Kementerian Komunikasi dan Digital dengan usahasama gugusan kementerian dan agensi kerajaan seperti Majlis Bandaraya Kuala Lumpur, Arkib Negara dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) ini mengumpulkan koleksi ucapan, cebisan kejayaan dan memorabilia Tun Dr Ismail sepanjang hayat negarawan itu. Ia wajar untuk setiap lapisan masyarakat mengenal sosok tubuh figura ini dalam menghayati jasanya untuk Malaysia!

Tun Dr Ismail menghembuskan nafasnya terakhir pada 2 Ogos 1973 meninggalkan visi, misi dan semangat yang utuh demi kemajuan bangsa dan negara. Dia yang pernah menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri (kepada Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak pada tahun 1970) juga merupakan wakil Dewan Negara yang pertama. Seorang bekas Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan, dia meninggalkan legasinya dalam pelbagai bentuk – selain menitikberatkan sistem tadbir urus yang dinamik sepanjang kerjaya politiknya, dia tidak lelah menzahirkan aspirasi dan harapan terhadap warga belia, wanita dan seniman tanah air.

Sempena memperingati beliau, satu bingkisan seni sempat dibawakan oleh MyCreative Ventures sebagai simbolik pengekalan warisan dan budaya sesuai dengan hasrat negarawan ini.

Majlis ini dimuatkan dengan susunan persembahan tradisional seawal 10 pagi, di mana para hadirin disajikan dengan persembahan muzik oleh Alun Tradisi dan Persatuan Ghazal Johor Malaysia, seni Selampit, Silat Tongkat dan Tarian Mengadap Rebab oleh wakil ASWARA. Pengisian ini diselang-selikan dengan pembacaan petikan amanat Tun Dr Ismail oleh nama-nama yang tidak asing dalam dunia penulisan dan penerbitan tempatan iaitu Fazleena Hishamuddin dan Mosyuki Borhan yang dibawakan khas oleh Jurnal Svara. Buat pengetahuan pembaca, Jurnal Svara turut menampilkan penulis Wani Ardy untuk membaca petikan Jurnal Svara Isu 6 yang sesuai dengan suasana majlis tersebut.

Pelbagai reruai disediakan khas untuk jemputan serta para pengunjung yang hadir di tapak majlis. Hadirin berpeluang menikmati persembahan dari Wayang Kulit Animatronik yang memberikan nafas baru kepada bentuk seni tradisional itu melalui sentuhan teknologi robotik!

Menjelang petang pula, pentas utama menyaksikan deklamasi sajak khas bertajuk Penyusun Rukun Pengukir Harmoni oleh Sasterawan Negara, Dato’ Rahman Shaari. Bacaan ini diikuti oleh ucapan dari para hadirin khas majlis tersebut.

YB Fahmi dalam ucapannya, berkata, “Janganlah kita terlalu leka dengan kesenangan yang dikecapi hari ini. Marilah bersama-sama mengekalkan keharmonian dan perpaduan untuk dinikmati oleh generasi yang akan datang.”

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar sempat mengajak hadirin untuk mengenang bakti negarawan itu. Katanya dalam mengingati Tun Dr Ismail, “Suaranya tegas, peribadi dan sosoknya menentang rasuah dan [menggalakkan] tatakelola yang baik. Kerana itulah dia digeruni rakyat. Marilah kita berdoa semoga semangat ini terpancar dan dihadam terutamanya oleh anak-anak muda. Kita punyai tugas dan tanggungjawab untuk menyelamatkan negara.”

Selepas tamatnya tayangan mini dokumentari mengenai Tun Dr Ismail, pentas menjemput wakil keluarga negarawan itu untuk memberikan sepatah dua kata. Dalam ucapan Puan Kamariah Syakirin Mustafa selaku cucu Allahyarham, dia berkata, “Falsafahnya, prinsipnya, visinya selari pada hemat saya dengan visi yang diperjuangkan kini. Altruismenya meletakkan kepentingan negara di hadapan dan sekaligus membelakangkan kepentingan peribadinya.”

Gambar utama adalah sedutan maklumat di reruai Arkib Negara tentang Tun Dr Ismail

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites