Adiguru CENDANA: Noor Azman Norawi

Gendang Melayu Pahang barangkali hampir dilupakan anak-anak generasi kini. Namun, ia tak mematahkan semangat Man Kayan untuk terus menghidupkan semangat muzik tradisional Melayu ini. BASKL mengambil peluang menyiarkan hasil temubual insan yang dipilih menjadi salah seorang Adiguru dalam program CENDANA ini.

Oleh AZUWAN AHMAD

Noor Azman Bin Norawi atau lebih mesra disapa Man Kayan dilahirkan di Temerloh, Pahang pada 13 Mei 1967. Dia mula bermain muzik tradisional semenjak di sekolah menengah lagi.  Pada tahun 2008, dia telah menubuhkan Kumpulan Anak Kayan bertujuan untuk memastikan seni tradisional Pahang seperti lagu rakyat dan Gendang Pahang dipelihara. Di waktu awal penubuhan kumpulan ini, ia terdiri daripada ahli keluarganya; isteri, anak-anaknya dan saudara terdekat. Berkat penubuhan kumpulan ini, lebih ramai orang mula menunjukkan minat terhadap seni tersebut dan mula melatih anak-anak kecil untuk turut serta.

Dia kemudiannya menubuhkan Kelab Serindit Mati Tersepit pada tahun 2018 untuk mengumpul anak-anak yang cenderung kepada aktiviti kesenian sekitar Kuantan untuk dibawa membuat persembahan. Man telah membuat persembahan di dalam dan di luar negera termasuk di London pada 2012 sempena Southeast Asean Night di University of Exeter. Dia juga telah melakukan banyak persembahan di festival seni dan budaya sekitar Indonesia dan Thailand.

Antara pencapaian yang pernah diraih oleh Man adalah, menjadi Johan Pertandingan Gendang Silat Pahang (2013), diangkat menjadi Tokoh Penglipur Lara Dalam Persembahan anjuran Jabatan Warisan Negara (2012) dan dilantik menjadi Tourism Partner oleh World Homestay Organization. Dia juga pernah menjadi Naib Juara dalam Pertandingan Cipta Lagu Pahang pada tahun 2010.

Man akui, dia yang pernah bekerja dengan institusi bank dan pernah menjadi kakitangan kerajaan, pada mula dia memulakan kumpulan seninya, keadaan tidak lah selancar sekarang. Mereka melalui saat pahit dan manis sebelum sampai ke tahap yang membanggakan. “Minat tu timbul kerana hal seperti ini (muzik tradisional) kurang di sekeliling kita. Mahu mengeluh pun tak ada gunanya. Jadi dengan sedikit bakat yang ada, kita bermula lah. Semakin lama waktu berjalan, kita makin diterima,” ceritanya. Man mengatakan bahawa suasana tak seperti dahulu lagi untuk muzik tradisional Melayu mungkin kerana perederan waktu dimana orang-orang sudah tidak mempunyai waktu untuk bergendang.

Man Kayan serius dalam seni gendang Melayu

Baginya, pemain-pemain gendang harus diubah cara pemikiran mereka. Walaupun bermain muzik lama, tetapi penampilan dari segi pakaian harus didandan seperti pemain muzik yang professional apatah lagi bila penonton bukan sahaja dari kalangan warga tempatan, bahkan dari luar negara sudah memberikan perhatian apabila bermain di peringkat yang lebih tinggi. Bermula dari tahun 2018, Man mula membuka sesi pengajaran seni gendang  luar daripada lingkungan keluarganya buat pelbagai peringkat umur kerana merasakan tidak adil kalau ilmu ini beredar di dalam lingkungan keluarganya sahaja.

Man sangat berterima kasih kepada CENDANA kerana membantunya mendirikan sebuah studio latihan kerana dia juga memahami bahawa dia harus menghormati orang sekeliling sementelah latihan gendang hanya dapat dilakukan pada malam hari. Melihat kepada sejarah pembabitannya selepas berhenti daripada pekerjaan makan gaji, Man berasa ada kekosongan dalam hatinya, apatah lagi pada waktu itu dia dapat mengatur waktu sendiri tanpa terikat dengan mana-mana pihak.

“Di Kelantan ada dikir barat, di Pahang ada apa? Walinong Sari itu tarian. Jadi saya dan anak-anak pada waktu itu menggunakan konsep mudik ke hulu belajar dengan orang-orang lama yang ada ilmu Gendang Pahang. Rupa-rupanya, memang ada tokoh yang memperjuangkan seni ini iaitu Dr. Ariffin Said yang di angkat UNICEF sebagai Tokoh Warisan Hidup. Dia hadiahkan buku kepada saya mengenai Gendang Pahang.  Cuma orang Pahang ni kena keluar baru orang kenal dia. Begitu juga Roslan Madun yang bawa lagu rakyat Pahang. Jadi laluan tu jadi lebih mudah,” ceritanya.

Dia percaya dengan semangat kekeluargaan dalam kumpulan muziknya dimana seni masyarakat Pahang ini telah dipelajari 3 generasi; dewasa, remaja dan anak-anak. Cara yang demikian dirasakan dapat mengalirkan ilmu seni supaya tidak putus di samping merapatkan ukhwah. Oleh yang demikian, kita tidak patut memandang remeh pada muzik tradisional sebagai medium penyatuan.

Man percaya dalam mempertahankan seni asli Melayu harus ada tolak ansur.

Ketika ditanya apakah cabaran dalam perjuangan muzik tradisional, Man tidak melihat ada cabaran lain kecuali yang datang pada diri sendiri. “Cabaran yang paling besar adalah hal seperti ini tidak mendatangkan pendapatan yang terlalu besar. Kita masih perlu meneruskan hidup sebagai ketua keluarga. Kalau orang luar diberi persembahan percuma, mesti mereka suka. Kita tak boleh nak demand sebab kita tak tahu bagaimana mereka menilai kita yang mungkin dirasakan pemuzik kampung. Berbeza dengan penyanyi seperti Siti Nurhaliza contohnya”.

“Tapi kalau saya putus asa, maka hilang lah benda ni. Kenapa aku nak buat benda ini? Sebab aku rindu bunyi gendang. Ini adalah warisan Tok Nenek aku,” ujarnya. Man sangat praktikal bila membicarakan tentang perlawanan seni ini. Dia mengatakan bahawa mereka tidak boleh terlalu cerewet, tetapi pada masa yang sama juga tidak boleh terlalu menurut permintaan yang bukan –bukan seperti menyentuh soal keaslian seni gendang ini.

Man menjelaskan bahawa asal usul seni gendang Melayu ini dimainkan dengan mengikut naluri. Oleh kerana itu, acapkali kita menyaksikan pemain gendang menjadi asyik ketika bermain. Ianya lebih kepada luahan dalam hati yang diterjemahkan ke dalam pukulan gendang. Permainan gendang ini tidak sama dengan permainan gitar yang mempunyai kod atau kunci tertentu supaya selari dengan permainan instrumental yang lain.

“Gendang ada pelbagai jenis. Tapi kami hanya fokus kepada 2 gendang iaitu gendang rebana dan gendang acara silat. Gendang silat ini sebenarnya dimainkan juga di acara tarian. Sebab itu kami cuba pecahkan pemikiran ini. Macam busana, orang selalu memikirkan ia bermaksud hanya untuk bersilat. Sedangkan, orang berkahwin pun pakai busana. Itu tujuan penubuhan kumpulan kami. Mengembangkan kembali fungsi gendang secara lebih luas. Itu ada dalam sejarah,” jelasnya.

Permainan gendang ini memerlukan displin yang sangat tinggi, tegas Man. Pemain gendang perlu pintar membezakan antara waktu ketika bermain secara serius dan bergurau santai. “Bakat itu perlu juga. Tapi kalau kita ajar lama-lama dan kita olah pasti boleh bermain. Seperti bermain basikal. Pada saya displin adalah utama dan minat juga harus lebih. Kita juga harus membangkitkan cerita-cerita sejarah Melayu kerana kita bermain seni Melayu. Bila ada rasa bangga dalam diri, maka dia tak akan meremehkan perkara itu, malah akan mempertahankan maruah seni itu sendiri,” sarannya. Menurut Man, gendang-gendang yang dimainkan kumpulannya pula dibeli daripada kawan-kawan yang pandai dalam pembuatannya, disamping membantu industri kraf tersebut.

Antara anak didik Man Kayan

Bila ditanya dengan perubahan dalam permainan seni ini yang pernah dirasinya, dia memberitahu bahawa dia tidak terlalu ambil pusing dengan komen-komen dan pendapat yang tidak berkenaan. Dia bersikap mengambil pendapat yang relevan dan bernas sahaja walaupun ianya datang daripada orang yang sudah pakar kerana baginya dia mungkin belum sampai ke situ. Pendapat yang sedemikian mungkin berguna apabila dia sampai ke kemuncak tersebut. Dia memberi contoh hubungan mak dan anak, “pada waktu Mak marah kita, kita jangan lawan kerana kita belum sampai di tahap menjadi ibu bapa. Kita dengar tapi kita lalui dengan cara kita. Lama-lama kita menjadi matang. Dalam seni ini tidak mengira peringkat usia. Kadang umur yang lebih muda ternyata lebih hebat. Semuanya mengambil masa. Kita bersangka baik”.

Adiguru CENDANA ini mengucapkan syukur mengenai penerimaan orang ramai terhadap bengkel seni yang dianjurkannya. Dia tidak meletakkan had seperti di dalam bilik darjah. Ada kalanya ketika dia membuat persembahan di sekolah atau di institusi pengajian tinggi, dia menyelitkan pesan dan nilai-nilai yang dipanggilnya sebagai perkongsian ketika berkesempatan melakukan demikian. Dia berhasrat untuk melahirkan lebih ramai adiguru untuk kesinambungan seni ini. Apabila bicara tentang masa depan seni ini, dia percaya bahawa segala usahanya pada hari ini merupakan sesuatu yang akan dituai oleh generasi yang akan datang. Dia menggunakan analogi menanam pokok kelapa yang memerlukan waktu untuk tumbuh baik dan hanya akan dinikmati dalam jangka waktu yang lebih panjang.

Dihujung perbualan bersama Man, dia mengambil analogi seniman masyhur, Datuk M.Nasir apabila mengatakan bahawa orang seni jangan terlalu fokus kepada satu perkara atau cabang sahaja. “Kalau kita tengok M. Nasir, dia akan jadi membosankan kalau dia fokus hanya pada nyanyian. Dia melukis, membuat lagu dan berlakon. Begitu juga orang seni yang lain, kena gunakan ilmu yang ada untuk manfaat diri’, katanya. Orang seni harus berbangga dengan apa sahaja seni yang mereka perjuangkan dan harus menolak prasangka yang buruk. “Mereka harus bijak mengendalikan masalah seperti masalah peribadi kerana kita membuat persembahan harus berpenampilan baik. Kita harus bertolak ansur dan menjaga hubungan baik dengan orang lain. Jangan berlagak”, pesannya.

Noor Azman Norawi merupakan penerima geran Adiguru fasa ke-2 dalam Gendang Melayu. Program Adiguru dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites