Menjelajah latar fotografi Malaysia di Malaysian Photobook Exhibition

Zontiga dengan kerjasama Photobook Club Kuala Lumpur mempamerkan lebih 50 jenis buku foto untuk tatapan orang ramai.

oleh DANIAL FUAD

Buku foto merupakan suatu yang tidak asing lagi bagi pengamal fotografi. untuk memahami sedikit sebanyak sejarah buku foto, Anna Atkin merupakan jurugambar pertama yang menghasilkan buku foto berjudul Photographs of British Algae: Cyanotype Impressions pada tahun 1842; lebih kurang 15 tahun setelah penemuan teknologi fotografi oleh Nicéphore Niépce.

Ramai jurugambar memilih kaedah buku foto ini untuk menyatakan idea mereka secara menyeluruh. Ini kerana fotografi bersifat pegun dan sukar untuk menceritakan sesebuah perkara dengan hanya sekeping gambar. Dengan penghasilan buku foto, jurugambar mempunyai ruang yang lebih besar untuk meluahkan apa jua perkara yang mereka hajati.

Pada zaman analog dahulu, kita sering mencuci gambar kerana itu sahaja cara yang kita ada untuk melihat gambar yang telah diambil. Namun begitu, semenjak kehadiran fotografi digital, semakin kurang orang mencuci gambar kerana semuanya boleh dipaparkan melalui skrin sahaja. Jadi, pengamalan buku foto ini boleh dikatakan sebagai ganti kepada album gambar zaman dahulu di mana kita menyusunnya sendiri di dalam album yang dibeli.

Untuk meraikan fotografi dan juga buku foto, Zontiga dengan kerjasama Phobookclub Kuala Lumpur (PBKL) sedang mempamerkan lebih dari 50 jenis buku foto hasil kerja jurugambar-jurugambar Malaysia. Berjudul Malaysian Photobook Exhibition, buku foto yang dipamerkan merangkumi koleksi peribadi Zontiga dan PBKL serta pinjaman daripada beberapa penyumbang yang lain.

Kepelbagaian idea dan tema dapat dilihat dalam pameran ini, di mana ia disertai oleh barisan jurugambar seperti Ismail Hashim, Soraya Yusof Talismail, Puah Chin Kok, Zarina Holmes dan Steven Lee antaranya. Selain daripada itu, terdapat ramai lagi jurugambar yang mempamerkan buku foto mereka seperti Alvin Lau, Fitri Jalil, Hafiz Hamzah dan Jefrrey Lim.

Dengan menulusuri bertingkat-tingkat buku foto yang ada di sini, membolehkan para pengunjung lebih faham latar fotografi di Malaysia ini. Uniknya fotografi sebagai sebuah seni merupakan sesuatu yang sukar diterima di Malaysia pada dekad yang lampau, kerana rata-rata minat masyarakat seni lebih tertumpu kepada catan. Kini fotografi lebih diterima dalam konteks seni halus di mana terdapat jurufoto seperti Ismail Hashim dan Eric Peris mempamerkan karya mereka di samping pengkarya catan Malaysia.

Di sini jugalah kepentingan buku foto sebagai pintu masuk fotografi ke dalam latar seni halus. Dengan menghasilkan buku foto, idea jurugambar akan lebih kukuh diluahkan dan lebih mudah untuk dipamerkan. Mengambil contoh, salah satu buku foto yang dipamerkan adalah hasil Soraya Yusof Talismail berjudul Brehi. Mungkin dengan beberapa gambar sahaja, ia tidak dapat menyampaikan mesej yang kuat berbanding dengan buku yang dihasilkan olehnya dan suaminya tentang seni persembahan di Kelantan.

Seperkara lagi, dengan melihat kepelbagaian topik yang wujud dalam buku foto yang dipamerkan ini menunjukkan bahawa fotografi dalam konteks seni halus tidaklah perlu selalunya topik yang mendalam. Sebagai contoh, buku foto oleh William Sim yang berjudul T(in)y hanyalah kumpulan gambar-gambar objek kecil sekitar kita yang tidak mendapat perhatian. Buku Latihan oleh Alvin Lau pula mengandungi gambar-gambar hasil karyanya sepanjang praktisnya.

Bukan sahaja kepelbagaian topik, malahan kepelbagaian kemasan juga mencerminkan kreativiti jurugambar-jurugambar ini mempamerkan idea mereka. Terdapat kemasan daripada kilang yang sangat profesional hasilnya hinggalah kepada kemasan yang lebih intim dengan hasil buatan tangan. Seperti yang boleh dilihat dalam buku foto Akmal yang berjudul Passport Malaysia dimana ia telah dijilidkan dengan kemasan tangan sahaja manakala The Perspectiva Collective Council telah menjilidkan buku foto mereka Perspectiva Collective Zine Vol. 1 seakan tesis.

Malaysian Photobook Exhibition merupakan sebuah insiatif yang sangat bagus oleh Zontiga dan juga PBKL sebagai sebuah tinjaun latar fotografi di Malaysia ini. Seiringan dengan pelancaran pameran ini, pihak penganjur juga telah melancarkan Malaysia Photobook Archive di mana terdapat lebih kurang 90 jenis buku foto. Arkib ini dibuka buat orang ramai untuk mendalami kerencaman budaya buku foto di Malaysia ini.

Pameran Malaysian Photobook Exhibition ini bakal berakhir pada Sep 18 ini dan terdapat dua bicara seni yang akan berlangsung pada hari terakhir pameran tersebut oleh Steven Lee tentang kepentingan buku foto di era ini. Manakala bicara yang kedua pula melibatkan beberapa jurugambar dalam pameran ini untuk membincangkan buku foto mereka.

Maklumat lanjut berkenaan pameran ini dan pautan untuk pendaftaran bagi bicara seni boleh didapat di laman sesawang Zontiga ini. Zontiga dibuka dari jam 12tgh – 6ptg untuk hari Isnin – Selasa dan 12tgh – 7mlm untuk hujung minggu manakala mereka tutup pada hari Rabu dan Khamis.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites