BASKL bersua dengan dua orang pereka fesyen tempatan, Rico Rinaldi dan Nazifi Nasri yang datang dari era fesyen berbeza untuk memahami uniknya rekaan dan selok-belok kerja di bawah nama masing-masing.
Oleh NABILA AZLAN
Mustahil untuk para penggemar fesyen untuk tidak mengenali nama Rico Rinaldi (kiri di gambar utama) dan Nazifi Nasri! Tampil di pentas industri menggunakan nama sebenar, kedua-duanya cemerlang dengan cara yang tersendiri. Lihatlah sahaja beg tangan, busana, kasut dan aksesori yang direka khas mengikut musim dan apresiasi perayaan. Walaupun kelihatan mempertaruhkan rekaan yang simple, Rico dan Nazifi teliti dalam menghiasi setiap produk dengan corak identiti masing-masing. Jom kenali mereka berdua dengan lebih lanjut melalui soalan-soalan santai yang kami lontarkan!
Apakah latar belakang pelajaran anda?
Rico Rinaldi (RR): Saya merupakan graduan Diploma in Fashion & Retailing di Universiti Lim Kok Wing.
Nazifi Nasri (NN): Diploma in Business Studies di UiTM Melaka, kemudian Bachelor of Business Administration (Hons) Transport di UiTM Puncak Alam.
Sudah berapa lamakah anda berkecimpung dalam industri ini? Bagaimanakah pengenalan anda kepada dunia fesyen?
RR: Dah lebih kurang 15 tahun sejak permulaan karier saya, sekarang saya memang fashion designer sepenuh masa. Kalau tak jejakkan kaki ke universiti, saya mungkin takkan tahu kewujudan kerjaya ni!
Waktu kecil dulu, ibu saya ada membeli satu mesin jahit untuk mengisi masa lapang. Sudahnya, dia tak gunakan pun, dan dia letakkannya di bilik saya. Saya pun mula bereksperimen – mula menjahit projek kecil-kecilan seperti bekas pensel dan baju anak patung. Bila dah di kolej, saya jahitkan pula baju kurung untuk rakan-rakan.
NN: Jenama saya, Nazifi Nasri dikeluarkan pada tahun 2014. Pada mulanya, ia berfokuskan kepada kasut lelaki seperti sandal yang minimalistik, klasik namun ternyata selesa tidak kira masa dan ketika. Hari demi hari, niche ini kami kembangkan melalui pengenalan beberapa koleksi kasut wanita terhad, serta aksesori unisex, termasuklah beg harian dan aksesori kulit bersaiz kecil (small leather goods). Impian jenama ini adalah untuk membawa stail klasik dan minimal ini ke mata ramai melalui bahan (material) yang sesuai.
Saya peminat besar kasut sandal sejak di universiti! Saya sebagai pembeli tegar yang memakainya setiap hari ke kelas berasa pada satu masa bahawa saya patut mengeluarkan sendiri sandal dengan harga yang berpatutan, berbanding terus membeli sandal mahal di butik.
Apakah yang memberikan anda kepuasan dalam mencipta? Apakah misi utama anda?
RR: Fashion design merupakan salah satu subjek yang amat saya minati, sejak dulu lagi. Saya terpesona dengan dunia ini, dan dengan jiwa saya yang amat suka berbisnes, semestinya nak lihat sejauh mana potensi saya untuk melangkah lebih jauh di dalam arena saya. Impian saya, untuk lontarkan idea bahawa kerjaya dalam fashion design boleh menjadi karier yang hebat.
NN: Walaupun produk saya dijual pada harga yang berpatutan, proses pembuatan amatlah berharga kerana saya menitikberatkan serratus peratus hasil kerja tangan, termasuk pembuatan beg dan sandal.
Apakah antara cabaran yang menemui anda apabila pertama kali menjejakkan kaki ke dalam dunia fesyen?
RR: Saya menetap dan membesar di Kajang. Dahulunya, hab fesyen tertumpu di bandar Kuala Lumpur. Butik dan studio pertama saya pula di Kajang, dan bagi saya jauh dari pusat – kadangkala sukar juga untuk orang menemui saya. Tetapi saya percaya, dengan kualiti kerja yang elok, orang tetap akan ‘jumpa’ kita akhirnya.
NN: Jenama saya awalnya tidak diterima di kedai-kedai semasa awal kerjaya. Saya juga kekurangan tenaga kerja, semuanya saya lakukan sendiri. Boleh saya katakan one-man-show brand!
Nyatakan serba sedikit tentang etos rekaan anda – tanpa mengambil kira bentuk ciptaan, apakah kriteria lazim yang ada di setiap satu produk yang anda keluarkan?
RR: Saya suka silhouette yang ringkas, tetapi ada statement dalam stail ringkas ini. Saya sebenarnya amat suka manik dan perincian. Malah ada yang mengenali saya melalui kerja manik pada awal kerjaya!
NN: Rekaan saya berprinsip polos atau bersih – simple dan minimal tanpa corak pelbagai.
Apakah antara cara lazim anda merealisasikan sesuatu produk dari peringkat pertama (cetusan idea) sehingga ia disiapkan?
RR: Saya suka mulakan rekaan dengan pemilihan bahan (material). Dari situ, saya akan mulakan lakaran. Saya ada satu kotak besar penuh dengan contoh material untuk saya pilih dan padankan (mix and match) – inilah cara saya untuk memulakan koleksi baru. Beg ke, baju ke, saya pasti akan gunakan kaedah ini.
NN: Bagi saya, proses mengemudi idea artistik kepada co-creator amat mencabar. Saya akan cuba menyampaikan idea saya melalui gambar-gambar dan lakaran awal. Jika gagal, idea ini boleh bercambah menjadi sesuatu yang lain. Memang menguji aturan tenaga, masa dan wang.
Seingat anda, apakah antara produk terawal yang dihasilkan di bawah jenama anda sendiri?
RR: Saya rasa tak ramai orang tahu, sewaktu zaman kolej, saya banyak jahit beg saya sendiri. Beg tote kulit yang bagus, dan saya sebagai orang yang selalu mencuba nasib dalam pertandingan reka cipta fesyen selalu mempertandingkan beg-beg rekaan saya. Kalau nak diikutkan, item yang paling dekat dengan permulaan karier saya adalah beg – senang untuk saya bermain-main dengan material, buckle dan sebagainya.
NN: Sandal lelaki! Saya cuba untuk mencipta sesuatu yang ringkas, namun sesuai untuk setiap fungsi atau suasana – dan ya, saya berjaya. Saya memakai sandal ini ke kelas setiap hari tanpa gagal sebelum saya mula menjualnya. Walaupun kelihatan santai pada pendapat saya, pensyarah saya seolah-olah memberikan ‘lampu hijau’ untuk saya terus memakainya ke kelas sebab ia nampak formal juga pada masa yang sama!
Dari manakah datangnya sumber inspirasi anda untuk terus berkarya?
RR: Bila range pun sudah berkembang, inspirasi boleh datang dari mana-mana sahaja. Yang penting, koleksi yang dikeluarkan mestilah ‘dekat’ dengan designer itu sendiri. Pengalaman travel saya, contohnya sewaktu mencari fabrik sesuai, kadang-kadang bercambah menjadi koleksi tersendiri. Kalau dag terjatuh hati dengan sesuatu lokasi atau tempat, susah untuk buang dari ingatan – sampailah berjaya diproses menjadi produk.
NN: Orang ramai merupakan inspirasi saya. Saya suka memerhatikan gerak-geri manusia di bandar – perangai mereka, stail mereka. Berdasarkan pemerhatian inilah saya cuba mencipta atau memproses sesuatu reka bentuk.
Ada apa-apa nasihat untuk pereka fesyen muda yang sedang mencari identiti mereka di luar sana?
RR: Kenali dan kuatkan DNA anda – walaupun ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun lamanya. Seimbangkan ilmu design anda dengan selok-belok bisnes, kerana susah kalau anda dah cipta sesuatu yang gemilang tapi tak berpotensi menemui pelanggan yang akan meminatinya. Kenal pelanggan dan target market anda!
NN: Jangan sesekali mengikat diri anda kepada hanya satu perancangan, sentiasa ada Pelan Kedua! Jadi diri anda sendiri dan yang penting, percayalah kepada rekaan yang anda bawakan.
Lihat lagi rekaan Rico Rinaldi dan Nazifi Nasri melalui laman web rasmi mereka.