Kenali John Ang, pengumpul tekstil yang terjatuh hati dengan Dunia Melayu

Oleh NABILA AZLAN

Walaupun sibuk mengatur segalanya demi kelangsungan pameran ini, John Ang, 66, sempat duduk sebentar bersama kami untuk bercerita tentang selok-belok hidupnya yang membawa kepada Splendours of Malay World Textiles (Kemegahan Tekstil Dari Dunia Melayu). Pameran besar-besaran yang bertempat di Menara KEN, TTDI ini memaparkan 700 helai tekstil, di mana setiap satunya datang dari koleksi peribadinya!

Nak mencapai simetri, bukannya mudah! Contoh ‘bilik koleksi’ yang ada di pameran ini

700 ternyata bukan angka yang sedikit! Buat pengetahuan anda, Ang sebenarnya telah menyusun lebih kurang 900 helai tekstil lama untuk dipamerkan. Disebabkan kekangan ruang dan peluang, dia memutuskan untuk meneruskan ‘textile show’ ini dengan 700 helai sahaja dari koleksi besarnya. Siapakah dia dan dari mana datangnya minat ini?

“Tekstil Melayu seakan hadir dengan kecantikan yang sukar diungkap. Cantiknya bukan seperti bunga peony yang mendambakan perhatian, ia lebih seperti bunga orkid yang anggun, lembut.”

John Ang

Kata Ang, “Saya kagum dengan perkembangan budaya campuran sejak kecil lagi.” Dia dilahirkan di Chicago, Amerika Syarikat. Ibunya datang dari keluarga tradisional Cina, manakala bapanya mempunyai darah Peranakan – kedua-duanya berasal dari Singapura dan berpendidikan Barat (Britain dan Amerika Syarikat). “Sejak kecil, saya memang suka mengumpul. Mula-mula setem, kemudian syiling, penutup botol dan cengkerang. Apabila meningkat dewasa, saya teruskan dengan perabot Cina dan tekstil,” katanya. “Dari dulu sampai sekarang, tekstil boleh membuatkan hati saya berkobar-kobar. Amat berbeza dengan hasil seni yang lain.”

Dia mempunyai ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang Sejarah Seni Asia (Asian Art History) dari University of Michigan. Sebagai seorang ahli sejarah seni (art historian), dia menyatakan hasrat hatinya untuk mendalami kisah kepelbagaian budaya, terutamanya budaya sendiri. “Hari demi hari, saya semakin tertarik dengan apa yang digelar sebagai ‘oriental’. Terus terang, dari dulu lagi ibu bapa saya tampak kurang berminat dengan selok-belok asal-usul mereka. Minat saya pula membuak-buak, namun yang membataskan pembelajaran saya adalah bahasa pengantarnya,” sambungnya.

Koleksi tekstilnya dimulakan dengan tekstil Cina Peranakan yang juga cinta pertamanya. Ini diikuti pula dengan koleksi jubah imperial Cina sebelum dia memiliki tekstil dunia Melayunya yang pertama pada tahun 2014. “Saya sedang sibuk dalam kolaborasi bersama Muzium Tekstil Ratu Sirikit (Queen Sirikit Textile Museum) untuk sebuah simposium antarabangsa berkenaan tekstil dari Asia Tenggara – ketika itulah seorang pengunjung dari Indonesia memberikan saya gambar sehelai tekstil. Dua bulan kemudian, saya masih memikirkannya. Ia kelihatan sangat istimewa dan seingat saya, ia langsung tidak kelihatan seperti sesuatu dari dunia Melayu, tetapi Kemboja,” ceritanya. “Kerana perasaan ingin tahu, saya menyatakan hajat untuk membelinya buat koleksi saya, namun ada yang menempahnya lebih awal. Berkat kesabaran saya, dua bulan selepas itu saya berjaya memilikinya dengan harga USD 5,000!”

Salah satu cara Ang untuk menyelidik kisah di sebalik mana-mana tekstil adalah dengan menyelidik bukan sahaja cara ia dihasilkan, tetapi cara pemakaiannya. Bahagian kain tenun pertama yang dimilikinya itu tidak ubah seperti corak kain Kemboja, walaupun ia agak pendek untuk dijadikan chong kraben (seluar lebar tradisional Kemboja, Laos dan Thailand) – namun, ia sama panjang dengan ukuran biasa kain sembilan hasta dari Dunia Melayu. “Ukuran kain tiga meter ini memang tidak cukup untuk dibuat seluar, tetapi elok panjangnya sebagai selendang atau kain sarung,” kata Ang lagi. Bermulalah pengembaraannya untuk mengenal tekstil dari dunia Melayu!

“Saya berjaya memeta perjalanan orang Melayu melalui jalan dagang Kemboja. Oleh sebab orang Kemboja bukan rata-ratanya pelayar, semestinya warga yang membawa tekstil ini ke sini adalah orang Champa. Ia memang masuk akal, kerana orang Champa ada di serata kepulauan Riau. Mereka juga ada di Pontianak (bandar di Kalimantan) dan Kelantan. Kan ada Pengkalan Chepa di Kelantan! Bukti mereka yang berdagang dengan warga Kelantan memberikan laluan sejarah yang tidak saya jangkakan.”

Kata Ang, “Saya teruskan pembelian tekstil saya untuk menjejaki lebih banyak cerita. Pengembaraan saya ini membawa diri ke pelosok dunia, saya dapat berjumpa dengan orang dari pelbagai asal-usul. Menjejaki Dunia Melayu amat menarik, bayangkan wujudnya bermacam-macam amalan budaya (mengikut tempat dan perpisahan laut) namun terdapat sejenis keseragaman antara kesemuanya. Inilah yang dinamakan ‘cara Melayu’ merangkumi selera dan stail orang Melayu. Tekstil-tekstil yang didagangkan dulu menempa dunia Melayu!”

“Anyaman mungkin kegemaran saya kerana kualitinya yang agak rustik (kedesaan). Seperti konsep wabi sabi oleh orang Jepun, perubahan bentuk semulajadi tikar anyaman misalnya, ada kecantikannya sendiri walaupun kadangkala bentuknya tampak kurang tersusun.”

Splendours of Malay World Textiles yang disusun atur konsepnya dalam tempoh tiga tahun ini menunjukkan keagungan tekstil dari dunia dan nilai versatil warga Melayu. Sifat ketersambungan (connectivity) ini mengukuhkan nama orang Melayu di alam dagang sedunia pada satu ketika dahulu. Tekstil yang dieksport dari negara luar diguna pakai dalam cara tersendiri dan atas sebab inilah, corak tekstil di pelbagai negara direka dan dikeluarkan mengikut cita rasa orang Melayu. Tidak percaya? Cetakan Manchester (Manchester prints) dari England pada tahun 1920-an mungkin dipakai secara meluas sebagai baju kurung oleh orang-orang terdahulu.

“Tekstil orang Melayu turut merangkumi pengaruh labuci (sequins) dari Perancis, sutera dari China dan benang emas dari India. Seluruh dunia tidak melepaskan peluang untuk berdagang dengan orang Melayu. Sayangnya jika tiada yang mengetahui cerita dagangan ini yang meletakkan budaya Melayu di tangga teratas,” kata Ang lagi.

Harapannya yang sudah mempelopori lebih 200 pameran kebudayaan amat tinggi. Saya harap cerita-cerita ini sedikit sebanyak mengukuhkan silaturrahim sesama kita,” tambahnya.

“Kata sesetengah orang Melayu, ‘Apa yang orang Cina ini buat? Takkanlah dia pula nak bercerita kepada kita tentang budaya kita sendiri!’”

Apabila ditanya sama ada dia pernah ditegah dalam ekspedisinya, dia mengiakan. “Saya faham, ada orang Melayu yang tidak suka mendengar cerita seakan-akan mereka ‘menciplak’ budaya asing. Ada yang menolak ‘evolusi budaya’ ini mentah-mentah. Tidak mustahillah saya akan ditegah dalam perjalanan ini. Namun pada pendapat saya, saya ingin menunjukkan yang sebaliknya. Saya rasa orang Melayu patut bangga dengan perkembangan artistik ini, di mana mereka berjaya menginterpretasikan karya luar dalam cara tersendiri,” jawabnya. “Tidak sepatutnya orang Melayu bersifat defensif selepas mengetahui kekuatan mereka, aset budaya ini sangat mengujakan.”

Jelas Ang, ada segelintir rakan-rakannya yang berbangsa Melayu menzahirkan rasa waswas terhadapnya. “Fikir mereka, apalah mungkin motif saya di sebalik penguraian ini tetapi bila mereka lihat ekspresi kagum saya terhadap tekstil cantik dari dunia Melayu, segalanya berubah!” Dia sering bertanya kepada rakan-rakannya itu tentang apa yang mungkin dikategorikan sebagai kontroversial atau samar-samar, dan apa yang elok untuk dikongsi demi mengelakkan konflik pada masa akan datang.

Ang gembira dapat bekerja bersama Pat Ibrahim selaku koreografer dan Bihzhu sebagai pengurus produksi untuk projek besar ini

Ada intipati budaya yang dia dapati sukar untuk dibuktikan, kerana peralihan sesetengah maklumat masih bergantung kepada cara penceritaan mulut ke mulut (verbal atau word of mouth). Ang sebagai pengkaji yang arif dalam seni sejarah sudah biasa berhati-hati dalam membentangkan kajiannya.

“Tekstil-tekstil ini mampu merapatkan jurang sesama manusia. Ada pereka yang terputus hubungan dengan budayanya sendiri,” katanya. Pentingnya arkib dan pendokumentasian budaya untuk kelangsungan asal-usul. Bukan itu sahaja, evolusi budaya dapat dijelaskan tanpa kekeliruan.

Harapnya, semua peminat tekstil, seni, sejarah dan budaya dapat hadir ke pameran ini untuk berkongsi ilmu dan pendapat. Ang sendiri akan terus sibuk selepas tamatnya sahaja pameran Splendours of Malay World Textiles kerana dia akan bertapak di Menara KEN sehingga tahun depan untuk mempamerkan susunan tekstil yang lebih menyeluruh – antaranya koleksi besar songket, limar, sulaman dan batik.

Splendours of Malay World Textiles dipamerkan di Menara KEN, TTDI dari 24 Julai hingga 30 Oktober 2022. Bayaran masuk bermula RM20 seorang. Beli tiket anda di sini! Ikuti John Ang di Instagram.

Gambar utama memaparkan ‘Bilik Sulaman’ di pameran Splendours of Malay World Textiles.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites