Oleh MIMI SALLEH untuk Lensa Seni
Kami dari dua bidang seni berbeza (jurang usia juga berbeza lebih 2 dekad). Saya dalam bidang penulisan dan kejuruteraan kertas, manakala Phoebe Tsen dalam bidang muzik. Kami dipertemukan apabila terpilih sebagai peserta program Artis di Sekolah anjuran CENDANA. Semenjak hari pertama kursus pada tahun 2018 itu, kami saling mengikuti perjalanan seni masing-masing di instagram. Setiap paparan di instagram memperlihatkan nyala rasa Tsen terhadap muzik.
Tsen terus mengorak langkah. Kerjayanya kini telah berkembang dengan versatiliti sebagai vokalis, pengubah lagu, penulis lirik dan produser. Dia telah menyertai pelbagai acara seperti North Borneo Rainforest Festival dan dicalonkan untuk beberapa anugerah seperti SWOKT VIMA Global Music Awards 2018 Best New Act dan VIMA Global Music Awards 2018 Best Genre-Bender. Baru-baru ini suara Tsen menjadi latar kepada lagu runut drama bersiri Carlo & Malik yang bertajuk “Wake Up Before You”. Bulan ini, Tsen dan seorang rakannya memulakan siri bual bicara di podcast. Ini menimbulkan persoalan: sejauh manakah artis muda boleh menjadikan seni kerjaya sepenuh masa?
Menghubungi Tsen secara whatsapp menjalin satu pengertian mengenai kehidupan seorang artis muda. Menurut gadis kelahiran Kota Kinabalu, Sabah, ini, dia sudah menjadikan muzik sebagai pilihan kerjaya sepenuh masa semenjak dua tahun yang lalu.
“Dari kecil saya suka menulis dan menyanyi. Berbekalkan gitar, semenjak umur 13 tahun lagi saya sudah belajar mengubah lagu dan menulis lirik. Saya masih ingat, pada waktu itu ada satu rancangan realiti pertandingan nyanyian. Ketika menonton siri realiti itu saya terfikir, alangkah bagusnya jika saya boleh menyanyikan lagu ciptaan sendiri,” kata Tsen.
Kepuasan dalam muzik apabila Tsen dan rakannya Elisha Tiga menubuhkan grup muzik yang dinamakan Avery Fos, yang bermaksud cahaya dalam bahasa Yunani.
“Ketika itu, kami belajar di Kuala Lumpur. Kebetulan citarasa muzik kami sama. Hanya sekadar mahu mencabar keupayaan masing-masing menulis lagu, kami tetapkan setiap minggu perlu siapkan satu lagu. Akhirnya cabaran tersebut menjadi pengalaman pertama menghasilkan EP untuk kami,“ kata Tsen.
Dia mengakui, pada waktu itu idea, inspirasi dan penulisan lagu serta lirik berlaku secara organik tanpa sebarang desakan, termasuklah tanpa memikirkan sama ada lagu itu diterima ramai mahupun tidak. Ia sekadar eksperimen dan hasilnya benar-benar menunjukkan ekspresi jujur mereka.
Apabila pandemik COVID-19 berlaku, semua persembahan terpaksa ditangguhkan atau dibatalkan. Rakaman muzik video juga tidak dapat dilakukan. Namun, peluang juga muncul di sebalik chaos pandemik.
“Sebelum pandemik, kami berpeluang bekerja dengan orang yang kami kenal sahaja. Kami tidak menyangka, semasa pandemik ini ramai penggiat muzik yang mahu berkolaborasi. Terdapat peningkatan kuantiti kerjasama sesama artis di dalam mahupun luar negara. Walaupun ada di antara bentuk kerjasama itu dibuat secara pro bono tetapi kolaborasi tersebut menghasilkan gabungan muzik yang lebih dinamik,” jelas Tsen lagi.
Malah pandemik yang pada awalnya dilihat sebagai cabaran terbesar di abad ini membuka satu bentuk pemikiran yang berharapan kepada ramai. Ini dialami oleh Tsen untuk lagu terbarunya bertajuk Dock.
“Cara saya dan Elisha mencipta lagu ialah, tulis sahaja apa yang dirasai pada waktu itu. Apabila timbul projek atau dapat inspirasi, kami akan kembali ke lagu tersebut. Terus-terang, tahun 2020 kebanyakkan lagu kami bernada melankolik, seolah-olah menceritakan perasaan kami pada waktu itu, terasa harapan semakin pudar. Pada tahun 2021 ini, kami mahu bangkit dan mengajak orang ramai untuk merasai harapan baharu. Lagu ini menzahirkan perasaan itu dan kami rasa ia masa terbaik untuk melancarkan Dock,” katanya.
Umpama pelabuhan yang menjadi persinggahan sementara sesebuah pelayaran, Dock diluncurkan pada 26 Februari menuju ke destinasi yang lebih bermakna. Ia boleh didengari di platform seperti Spotify, BandCamp dan Apple Music.
“Dock memberi sinar baru dalam hidup saya sebagai seorang ahli muzik. Ia memberi satu bentuk kesedaran dari mana saya bermula dan ke mana destinasi muzik yang ingin saya capai. Itu yang saya bincangkan dengan Elisha, maka satu cara ialah berkongsi perjalanan itu melalui sesi podcast,” katanya.
Episod pertama podcast The Avery Fos bertajuk “Dock & How It All Began”. Sesi 35 minit itu membawa pendengar memasuki dunia pemuzik muda, bagaimana mereka bermula, cabaran yang dilalui dan realiti pandemik. Perbualan santai tetapi kita boleh mendengar betapa muzik sentiasa menjadi elemen penting dalam persahabatan Tsen dan Elisha.
Melalui perbualan di episod pertama itu, kita juga dimaklumkan kedua-dua sahabat ini kali terakhir bertemu ialah pada tahun 2019, sebelum pandemik berlaku. Ini tidak menyekat proses kreatif Tsen mahupun Elisha yang kini berada di Brunei. Walaupun sempadan memisahkan mereka namun teknologi internet menyatukan lagu dan irama kedua-dua sahabat ini.
Di akhir perbualan, saya bertanyakan pendapat dan nasihat Tsen kepada pemuzik muda sepertinya. Soalan itu tidak dijawab segera.
“Satu perkara penting, usah rasa bersalah untuk beralih arah seketika daripada muzik andai keutamaan itu ialah mencari rezeki untuk keluarga. Pemuzik muda juga usah rasa malu untuk meminta nasihat daripada mereka yang kreatif dan berani menggunakan pelbagai platform untuk penjenamaan diri di media sosial. Pelayaran kita masih jauh,” katanya.
Gambar-gambar adalah dari koleksi peribadi Phoebe Tsen.
Mimi Salleh merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA_ASWARA 2020-2021.
Pandangan dan pendapat yang dinyatakan dalam artikel ini adalah kepunyaan penulis sendiri dan tidak mencerminkan pandangan CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan daripada sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, dan/atau pelanggaran hak harta intelek yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, sama ada di laman web ini atau mana-mana platform lain yang dihoskan oleh CENDANA atau jika pendapat/pandangan tersebut diterbitkan semula pada platform pihak ketiga.