Terjemahan Realiti Pesisir Waktu

Oleh Fazrina Jasmin untuk Lensa Seni

“hence begin the steps of withdrawal / mulailah langkah surut itu

those worshipped will be trampled / yang dipuja akan ranap diinjak

charmed by the strangeness of the ocean’s breadth / terpukau oleh keanehan dada-laut

we are tested by aphorisms and the sun / kita diuji oleh pepatah dan matari”

Terjemahan kumpulan puisi Passenger of Time / Pesisir Waktu terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad 2011 (kini dikenali sebagai Institut Terjemahan & Buku Malaysia) merangkumi tiga bahagian karya asal pelukis/penulis tersohor Latiff Mohidin. Bermula dengan Drizzle of Growth / Gerimis Tumbuh yang terkandung dalamnya 15 sajak berkaitan persoalan, lontaran pandangan dan fahaman penulis terhadap kehidupan yang abstrak daripada sudut pandangan mata kasar, ia disusuli dengan 15 sajak berkisar pengalaman kehidupan menerusi I Stand Firm / Aku Tegak Berdiri dan diakhiri dengan 20 sajak bertemakan Passenger of Time / Pesisir Waktu – huraian bicara penulis dalam menyelami realiti sebenar kehidupan.

Ini merupakan kali pertama saya mendalami terjemahan sajak yang terdahulunya memenangi Anugerah Puisi Putra I (1980) anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) tajaan Bank Bumiputera Malaysia Berhad. Harus diakui sepanjang saya meneliti sambil merujuk silang terjemahan yang dihamparkan sebelah-menyebelah pada setiap halaman, ia agak bermain dengan sentimen dan reaksi emosi yang silih berganti pasang surutnya. 

Sebagaimana bait-bait sesetengah sajak yang pada dasarnya membawa maksud yang tepat dan ringkas menerusi tulisan asal, ketepatan liuk lentok dan lenggok bahasa menerusi penyampaian yang bersahaja itu seakan tenggelam apabila terjemahannya disampaikan sedikit meleret dan berbunga-bunga. Begitu juga sebaliknya; terdapat kiasan atau intipati maksud yang tidak dapat dizahirkan secara halus atau puitis apabila diterjemah dan digantikan dengan kosa kata yang lebih ringkas dalam Bahasa Inggeris. Pun begitu, pujian wajar diberi terhadap komitmen yang jelas memperlihatkan usaha memelihara dan mengekalkan konteks ayat agar setiap terjemahan tidak tersasar daripada 

gambaran sebenar tulisan asal. 

Apa yang menarik perhatian di sini ialah bagaimana sajak-sajak yang dihimpun seakan-akan kalis masa depan. Sungguhpun terbitan sulungnya menjangkau hampir dua dekad yang lalu, konteks yang disajikan tidaklah terlalu asing. Sesetengah sajak boleh dihubungkan interpretasinya, serupa boleh menterjemahkan kecelaruan yang sedang kita hadapi buat masa sekarang. Dengan kemelut semasa yang bergolak dari sudut sosial, ekonomi dan politiknya, ketidakpastian hari-hari mendatang yang diselubungi dengan kebimbangan yang tak berkesudahan akibat pandemik yang melanda, dan bagaimana setiap daripada kita dambakan norma kehidupan yang lama dipulangkan kembali pada saat norma baharu itu tidak mungkin dapat dielakkan lagi. Imbangan antara mimpi, harapan, kebenaran dan realiti inilah yang menjentik emosi dan membuai perasaan ditambah pula berselang-seli dengan padanan terjemahan yang mengekor rapat menguatkan lagi konteks maksud yang cuba disampaikan. Pencerminan ini lantas mengukuhkan apa yang dirasa dan difahami itu seolah-olah benar-benar berpaksi kepada pergolakan dan kecelaruan yang masih terjadi pada tika ini.

Tidak dinafikan terdapat beberapa terjemahan sajak yang mampu membuatkan saya tersenyum dan menghela nafas lega tatkala membaca kedua-dua versi, antara lainnya Thickly Wrapped Up / Selubung Tebalnya, The Work of a Poet / Kerja Menyair dan Memorandums I and II / Catatan I dan II. Akan tetapi, terjemahan pilihan saya tetap juga subjektif – alangkan rambut pun tidak sama hitam, inikan pula selera individu. Agak sukar untuk diungkap dan diterjemahkan gambaran perasaan yang saya sendiri alami menerusi retorik bahasa atau justifikasi tulisan semata-mata kerana sememangnya penghargaan mahupun keindahan sesebuah sajak berserta terjemahannya bukan sahaja bergantung kepada gaya penulisan dan penyampaian penulisnya, bahkan turut dipacu oleh interpretasi dan kefahaman kotak minda juga sudut pandangan lensa mata yang merenung, jiwa yang ‘merasa’ dan mainan imaginasi yang terlintas tatkala membaca. Bak kata pepatah, tepuk dada tanya selera.

Pendek kata, karya terjemahan ini boleh dianggap sebagai medium interaksi dua bahasa dalam bentuk natijah penulisan puisi yang tidak terlalu sarat dan agak mudah untuk dihadam. Keseluruhan terjemahannya tidak mengecewakan dan boleh dikatakan agak bagus cuma sahaja segelintir suaipadan terjemahan dan olahan konteks perlu dilakukan dengan lebih teliti agar tidak terasa janggal. Selain itu perlu lebih peka terhadap tatabahasa juga nahu dalam bahasa yang diterbitkan agar kedengaran lebih kemas dan tepat. Sejajar dengan ini, pembaca yang bahasa ibundanya bukanlah Bahasa Melayu turut boleh menikmati keindahan karya puisi tempatan lantas mengenali dengan lebih dekat gaya penulisan yang menjadi ‘tanda dagangan’ Latiff Mohidin. Nilai sastera itu sendiri sudah pastinya dijulang dan dianggap lebih bermakna jika mampu merentas ruang lingkup bahasa juga budaya yang pelbagai, lebih-lebih lagi jika ia mampu mencetuskan dialog atau diskusi santai mahupun ilmiah di kalangan para pembacanya yang bermacam latar belakang dan warna kulit. Mungkin juga menjadi topik ulasan di kedai kopi mahal atau warung mamak (dengan penjarakan sosial tentunya) atau juga membuka ruang komunikasi yang lebih besar lapangannya di media sosial.

“every memory is filled / setiap ingatan telah penuh

flooded by sad whispers / oleh banjiran suara-suara sepi

drowning heartbeat / denyutan yang terpendam

piercing every parched skin / menusuk setiap kulit dahaga

every space is filled / setiap ruang telah penuh

and we wish to return / dan kita ingin dapat kembali

standing in a space yet to be filled / berdiri pada yang belum terisi

but not as before / tapi tidak sebelum ini”

Fazrina Jasmin merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA-ASWARA.

Pandangan dan pendapat yang dinyatakan dalam artikel ini adalah kepunyaan penulis sendiri dan tidak mencerminkan pandangan CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan daripada sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, dan/atau pelanggaran hak harta intelek yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, sama ada di laman web ini atau mana-mana platform lain yang dihoskan oleh CENDANA atau jika pendapat/pandangan tersebut diterbitkan semula pada platform pihak ketiga.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites