Etika (tak bertulis) ke galeri seni

‘Bolehkah memakai selipar ke galeri?’, ‘Adakah galeri hanya untuk golongan elitis?’, ‘Boleh bawa kanak-kanak ke?’ dan ‘Boleh ke untuk kita ‘selfie’ di galeri seni?’. Adakah ada etika atau peraturan tertentu yang wajib dipatuhi ketika melawat ke ruang-ruang kesenian ini?

Tulisan oleh AMIR AMIN | Gambar oleh Amir Amin, Balai Seni Negara dan Google

Rata-rata rakan dari Twitter selalu mengajukan soalan tentang etika ke galeri seni. Adakah ada etika atau peraturan tertentu yang wajib dipatuhi ketika melawat ke ruang-ruang kesenian ini? Soalan- soalan sebegini sering kali diajukan. Bunyinya agak melucukan, tetapi itulah yang selalu ditanyakan terutama dalam laman sosial seperti Twitter dan Facebook. 

Mengapakah hal ini terjadi? Adakah kerana terdapat jurang yang terlalu lebar antara orang awam dan seni? Mungkin, tetapi apa yang boleh diperhatikan adalah, kini rata-rata orang awam mula menunjukkan minat lagi-lagi dengan kehadiran galeri seni di ruang awam seperti dalam pusat membeli-belah. Selain daripada itu, dengan penganjuran program kesenian seperti Bakat Muda Sezaman 2021; Seni di Lokasi membuatkan minat orang ramai makin meningkat. Seni bukan dilihat sebagai satu komoditi elitis sebaliknya lebih dekat dengan rakyat. 

Berbalik kepada soalan yang diutarakan seperti wujudkah etika untuk ke galeri seni? Jika diamati dengan lebih dekat, peraturan yang wujud di galeri seni ialah “Dilarang menyentuh karya” (namun ada kelonggaran untuk peraturan ini), “Dilarang makan dan minum” dan “Dilarang menggunakan flash ketika mengambil gambar”. Ketiga-tiga peraturan ini diterima pakai untuk kesemua galeri seni. 

Namun, terdapat beberapa peraturan ‘tidak bertulis’ yang wajar dijadikan pendoman untuk kita semua ketika melawati galeri seni.   

  1. Dilarang Menyentuh Karya

Ia merupakan satu peraturan penting ketika melawat mana-mana galeri, tetapi terdapat kelonggaran pada peraturan ini. Ada sesetengah karya yang perlu disentuh bagi menjayakan karya tersebut. Jika tiada sebarang deskripsi berbunyi, “silalah berinteraksi (sentuh) karya”, anda sebagai pelawat perlu elakkan dari daripada menyentuh karya tersebut. 

Penakluk Ekonomi Sejagat, Amar Shahid

Kenapa karya-karya seni ini dilarang untuk disentuh? Kerana sesetengah karya yang dipamerkan sangat rapuh. Jika karya tersebut rosak dan anda ditangkap, kemungkinan besar untuk anda membayar ganti rugi kepada artis yang mana, ia bukanlah satu jumlah yang sedikit.

Meeting I oleh Jee Mei-Jane yang retak
Karya yang dicabuli di Bakat Muda Sezaman 2019
  1. Perlahankan Suara Anda

Jika anda amati suasana sesebuah galeri, ia sangat menenangkan serta mendamaikan. Kebanyakan galeri terutamanya institusi seperti Balai Seni Negara (BSN) dan Galeri Ilham, memberikan satu suasana yang sunyi dan tenteram. Ramai pengunjung hadir ke galeri bagi menikmati karya-karya seni dalam suasana sebegini. Selain daripada suasana yang tenteram ini, ada sesetengah karya yang menggunakan audio, baik dari pembesar suara atau menggunakan fonkepala. Untuk menikmati karya-karya sebegini, ruang galeri perlu berada dalam keadaan yang sunyi bagi memberikan pengalaman yang optimum. 

Karya Pembukaan oleh Mohd Fuad Arif

Namun harus diingat, yang ini adalah galeri dan bukannya sebuah perpustakaan, kita masih lagi boleh berborak dan berbincang tentang pameran tapi tidaklah berborak seperti di kedai mamak. Perbincangan hangat tentang pameran ini, boleh dilakukan di kedai mamak seusai pulang dari galeri tersebut. 

  1. Jangan Berdiri Terlalu Dekat (Atau Lama) Dengan Sesebuah Karya

Anda boleh menikmati karya tersebut dengan melihat bagaimana hasil kerja seseorang artis – sapuan berusnya, perincian hasil kimpalan dan gurisan dalam karya cetakan, asalkan anda tidak menganggu orang lain. Jika terlalu lama mengamati dan membelek-belek sesuatu karya, acapkali kita akan menganggu orang lain yang ingin menikmati karya tersebut. Tetapi peraturan ini lebih tertakluk jika kita melawat pameran ketika acara perasmian. Jika pada hari-hari biasa yang mana rata-rata galeri sunyi sepi tanpa pengunjung, anda dialu-alukan untuk menikmati karya itu selama mana pun, asalkan, tidak menyentuh karya tersebut. 

Bagaimana pula untuk kita tahu jarak yang bersesuaian antara kita dan karya? Ada sesetengah galeri akan meletakkan penghalang sebagai panduan, jarak maksimum antara anda dan karya. Namun jika tiada penghalang diletakkan, pastikan terdapat jarak yang mencukupi untuk mengelakkan anda daripada terjatuh ke atas karya tersebut.  

Penghalang pada karya

Hal ini pernah berlaku di mana seorang kanak-kanak berusia 12 tahun ini tersadung dan tertumbuk karya Paolo Porpora yang bernilai USD 1.5 juta. 

Kanak-kanak berusia 12 tahun ini tersadung dan tertumbuk karya Paolo Porpora yang bernilai USD 1.5 juta.
  1. Buat Sedikit Kajian Tentang Galeri dan Pameran

Jika ini merupakan kali pertama anda melawat sesebuah galeri tersebut, adalah baik jika anda membuat sedikit carian menggunakan Google tentang galeri tersebut. Tidak semua galeri mempunyai waktu operasi yang sama. Seperti contoh, ada galeri yang memulakan operasi seawal jam 10.00 pagi manakala ada sesetengah galeri bermula jam 11.00 pagi. Ada pula galeri yang buka setiap hari, dan ada juga yang tutup pada hari Isnin. Jadi, semak terlebih dahulu di laman sesawang galeri tersebut. 

Selain daripada waktu operasi, anda boleh juga menyemak etika dan peraturan ke galeri (jika ada), seperti contoh tentang etika pemakaian dan kemudahan serta fasiliti yang disediakan. Ini amat penting untuk diberi perhatian terutama buat orang kelainan upaya (OKU) – sama ada ruang galeri itu boleh diakses menggunakan kerusi roda dan sebagainya. 

Etika Galeri National Gallery Singapore
  1. Hormat Karya Seni, Galeri dan Artis

Galeri tidak pernah mahu menakutkan anda kepada seni, sebaliknya mereka lebih berterima kasih dan amat menghargai anda, para pelawat yang datang meraikan dan merayakan karya-karya seni dan para artis ini. Jadi anda sebagai pelawat perlulah menghormati karya-karya seni ini dengan melakukannya sepertimana yang perlu dilakukan. Bukanlah menghormati atau menyanjung karya terlalu tinggi tetapi memastikan ia dipamerkan dengan sempurna untuk dinikmati oleh semua.

Harga bukanlah perkara tuntas dalam sesebuah karya, sebaliknya ia hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan karya seni tersebut. Para pelawat perlu sedar tentang kerumitan proses penciptaan sesuatu karya seni. Bukan sahaja ia memerlukan pelaburan wang yang tinggi, sebaliknya pelaburan masa dan juga emosi seseorang artis. Apabila para pelawat tidak menghormati karya-karya artistik ini dan menganggapnya sebagai sesuatu yang remeh, ia amat menyedihkan buat para artis. 

Cara terbaik untuk memberikan lebih pendedahan kepada orang ramai tentang seni adalah dengan merakyatkan seni; menjadikan seni lebih dekat dengan rakyat dan bukannya seperti stigma yang sentiasa kedengaran dikaitkan dengan budaya elitis dan mahal. Seni adalah dan hak untuk semua. Seni wajar diraikan oleh semua tanpa mengira status quo seseorang. 

Amir Amin merupakan salah seorang peserta program CENDANA ARTS WRITING MASTERCLASS & MENTORSHIP PROGRAMME 2021. 

Jika anda ingin membaca artikel lain yang menarik daripada peserta program ini, anda boleh klik di LENSA SENI dan dapatkan maklumat terkini mengenai program menarik anjuran CENDANA.

Pandangan dan pendapat yang dinyatakan dalam artikel ini adalah kepunyaan penulis sendiri dan tidak mencerminkan pandangan CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan daripada sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, dan/atau pelanggaran hak harta intelek yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, sama ada di laman web ini atau mana-mana platform lain yang dihoskan oleh CENDANA atau jika pendapat/pandangan tersebut diterbitkan semula pada platform pihak ketiga.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites