Perginya Yusof Gajah ikon seni Malaysia tiada ganti

Seniman terkenal dan pembuat ilustrasi buku kanak-kanak Yusof Gajah telah meninggal dunia pada umur 68 tahun.

Oleh DANIAL FUAD

Pagi ini, dunia seni Malaysia telah dikejutkan dengan berita yang sangat mendukacitakan, Mohd Yusof Ismail atau lebih mesra dikenali sebagai Yusof Gajah (68) telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 9 Mac 2022. Yusof sangat terkenal dengan seni naifnya yang berpusatkan gajah sebagai subjek utamanya semenjak dari bermula kerjaya seninya pada awal tahun 1970-an.

Lahir di Johol, Negri Sembilan pada tanggal 10 Feb 1954, Yusof mendapat pendedahan awal terhadap seni semasa beliau berada di Singapura diantara tahun 1965 – 1969. Beliau amat tertarik dengan gajah oleh kerana sifat kegergasian yang ada pada binatang tersebut berbanding dengan dirinya yang pada ketika itu sangat kecil.

Pada awal 70-an, Yusof telah menyambung pelajaran buat pertama kalinya di Sekolah Seni Rupa Indonesia, Yogyakarta di mana pada mulanya beliau telah dihantar ke sana untuk belajar pertanian sebelum menukar ke bidang lukisan. Seterusnya, beliau melanjutkan lagi perjalanan akademiknya di Akademi Seni Rupa Indonesia (kini dikenali sebagai Insitut Seni Indonesia) juga di Yogyakarta. Semasa di Indonesia, beliau bertemu dengan mentornya, seniman sohor Indonesia, Pak Widayat.

Walaupun telah melukis gajah dari awal kerjayanya, nama gajah hanya mula melekat pada dirinya ketika beliau berada dalam kolektif Anak Alam. Pada ketika itu, terdapat dua orang Yusof dalam kolektif itu dan beliau telah dipanggil Yusof Gajah oleh Mustaffa Ibrahim pada mulanya agar senang untuk membandingkan antara kedua Yusof (di mana yang keduanya adalah seniman abstrak Yusof Othman atau juga dikenali sebagai Yusof Volkswagen).

Yusof sangatlah aktif sebagai seorang seniman dan pelbagai pameran telah beliau sertai semenjak dari mula kerjaya beliau. Sejurus pulang daripada Yogyakarta, beliau merasakan bahawa garapan tentang proses seni masih rendah. Melalui Anak Alam, beliau mendapat fahaman lebih mendalam bagaimana sesebuah proses seni dijalankan melalui interaksi rentas bidang antara pelukis dan penyair di sana. Selain daripada pameran dalam Malaysia, beliau juga telah mempamerkan lukisan beliau di negara seperti Thailand, Indonesia, Jepun, Norway dan Sweden. Karya Yusof juga pernah dikumpul oleh Yang Di-Pertuan Agong yang Ketiga Belas, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billal Shah.

Karya seni naifnya sangatlah bersesuaian untuk kanak-kanak, maka selain daripada aktif menghasilkan lukisan, beliau juga sering menghasilkan buku ilustrasi kanak-kanak. Terdapat lebih daripada 15 judul buku telah Yusof hiasi dengan karya-karyanya. Kehandalan imaginasi Yusof juga telah dipamerkan melalui siri buku Elephabet beliau; huruf-huruf roman yang telah diolah semula menggunakan motif gajah.

Kanak-kanak sangatlah rapat di hati Yusof di mana pada tahun 1980-an, ramai dapat menatap wajahnya di RTM melalui rancangan Kerengge. Semasa di Anak Alam, beliau juga sering mengajar lukisan untuk kanak-kanak di Muzium Negara dan di Pustaka Bimbingan Kanak-kanak. Di sini jugalah Yusof telah bertemu dengan Pustakawan, Alimah Salam di mana selepas itu mereka menubuhkan Kumpulan Boneka Pustaka Bimbingan.

Yusof juga amat aktif bersama kanak-kanak sehinggalah ke penghujung hayatnya di mana kita boleh melihat beliau bersama isteri merangkap pengurusnya, Zakiah Mohd Isa menerima kunjungan daripada Rumah Anak Yatim Soleha untuk belajar melukis.

Ramai orang di dalam latar seni Malaysia amatlah terkesan dengan pemergian Yusof Gajah. Sumbangan beliau sangatlah besar terhadap pembangunan latar seni kita dan telah menginspirasikan ramai orang untuk menceburi bidang seni. Buku-buku ilustrasinya juga telah mengisi masa lapang ramai kanak-kanak. Kini legasinya disambung oleh anak perempuannya, Jaja Yusof yang banyak melukis kucing!

Kami dari kumpulan editorial BASKL mengucapkan salam takziah buat keluarga Allahyarham. Al-Fatihah, Mohd. Yusof Ismail, semoga roh Yusof Gajah tenang disana.

Gambar: Facebook

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites