RIUH EK! Bersama Unifi Memacu Ekonomi Kreatif Johor di Ayer Hitam

RIUH EK! bakal berlangsung daripada 3 hingga 5 Mac 2022 di Arena Warna, Ayer Hitam, Johor

Oleh DANIAL FUAD

RIUH merupakan sebuah cabang daripada MyCreative Ventures, sebuah agensi kerajaan di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM). Menumpukan lebih kepada komuniti kreatif, RIUH menyediakan pentas bagi para peniaga yang terlibat dengan industry kreatif. Bermula pada tahun 2017, RIUH telah berjaya melakukan beberapa acara di sekitar Lembah Kelang seperti di River of Life, Sentul Depot dan juga Gasket Alley.

RIUH kembali lagi buat edisi 2022 dengan meluaskan capaian mereka yang pada awalnya tertumpu dalam kawasan Lembah Kelang, ke seluruh negeri.

“Untuk tahun 2022 ini, kami sasarkan sebanyak 22 edisi RIUH di mana 14 akan dilangsungkan di negeri di seluruh negara dan lapan lagi di Lembah Kelang,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures, Junady Nawawi.

Edisi pertama jelajah RIUH ini bakal diadakan di Ayer Hitam, Johor. Dengan kerjasama gerakan kreatif anak muda, JOHO dan juga Unifi sebagai penaja utama, RIUH mempersembahkan RIUH EK! yang akan berlangsung selama tiga hari dari 3 hingga 5 Mac di Arena Warna. Menggunakan slanga tempatan, RIUH EK! akan memperkenalkan pelbagai jenis aktiviti seperti gerai-gerai jualan, bengkel kreatif, pameran seni dan persembahan muzik. Junady juga memberi komen berkenaan pemilihan isi kandungan acara RIUH, “Kami sesuaikan acara-acara mengikut selera setempat di mana isi dan kandungannya terdiri daripada barisan artis dan penggiat setempat yang sama ada berpusat atau pun berasal daripada Johor.”

Terdapat pelbagai aktiviti yang telah dirancang oleh pihak penganjur selama tiga hari ini di mana para pengunjung boleh menyertai bengkel-bengkel kreatif seperti Bengkel Membuat Sabun oleh Blossom de Art Craft Academy, Bengkel Indigo Tie Dye oleh Miss Ireen Handmade dan juga Bengkel Membuat Lilin Aromatherapy oleh The Zero. Bengkel-bengkel tersebut akan dijalankansebanyak beberapa kali dalam masa sehari dan para pengunjung boleh melihat jadualnya untuk maklumat lebih lanjut.

Selain daripada itu, para pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai jenis juadah makanan di gera-gerai yang terlibat. Peniaga seperti Brotani yang menyediakan produk berasaskan nenas, kafe seperti LAPO? dan Kite and Angle; juga tidak dilupai peniaga berkaitan kopi seperti Kopi Dua Darjat, Kopi Kampung Selatan dan Kopi Pagi akan terlibat sama dalam memeriahkan lagi acara RIUH EK! ini.

 “Harapan kami adalah untuk menyediakan peluang penyertaan untuk mereka menggiat semula dan bantu merancakkan semula sosioekonomi industri kreatif, ujar Junady dan terdapat peniaga industri kreatif juga yang terlibat sama melalui gerai pop-up yang disediakan oleh pihak penganjur. Sebanyak 18 peniaga yang akan mempersembahkan hasil kerja mereka dan di antaranya adalah Anna Nursery, Deep Faith Co., Mikano Claytive dan SocksMePlease.

Di samping pelbagai aktiviti dan juga gerai yang terdapat di RIUH EK!, para pengunjung juga akan disajikan dengan pelbagai persembahan muzik yang akan berjalan sepanjang hari. Terdapat pelbagai jenis muzik untuk semua latar masyarakat akan dimainkan oleh kumpulan seperti Pentarama, Budak Nakal Hujung Simpang, Rainbows in Attic dan bermacam lagi. Apa yang paling menarik sekali adalah, pihak penganjur dapat menjemput pemuzik rock kapak lagenda Malaysia, Search sebagai headliner yang akan membuat persembahan pada hari pertama RIUH EK!

Tidak dapat dinafikan bahawa kes COVID-19 di Malaysia semakin meruncing sehingga mencecah lebih 20 ribu kes harian. Namun begitu, pihak penganjur telah mengambil langkah berjaga-jaga yang sangat mantap dan para pengunjung tidak perlu risau akan pematuhan SOP bagi RIUH EK! ini. Menurut Junady, “Tahun lepas, kita berjaya jalankan dua edisi RIUH! pada waktu Raya dan juga Krismas mengikut SOP yang ditetapkan dan Alhamdulillah tiada isu yang timbul daripada situ dan pendekatan tersebut kita akan diguna pakai untuk edisi RIUH EK! di Ayer Hitam ini.”

RIUH EK! akan bermula pada hari Khamis, 3 Mac dan pintu akan dibuka pada jam 2ptg dan akan berakhir pada Sabtu, 5 Mac dengan persembahan terakhir pada jam 8:45mlm. Tapak acara adalah di Arena Warna, Ayer Hitam. Maklumat lanjut berkenaan RIUH! dan juga untuk maklumat acara akan datang boleh dapati di sini.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites