Minda seni penyejuk jiwa, penyeri hati

Minda ibarat enjin bagi tubuh badan kita. Tubuh badan kita pula bertindak ibarat rangka sebuah kereta. Baik dan cantik minda kita, maka baik dan cantiklah jua luarannya. Namun kita senantiasa perlu berusaha dengan gigih untuk menajamkan minda, mencekapkan minda dan memberikan ia makanan yang terbaik. Kita haruslah selalu cantik luar mahupun dalam dan seni merupakan antara makanan terbaik untuk minda.

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Garden of the Mind, sebuah pameran seni solo oleh artis tempatan berketurunan Cina bernama Chong Yi Lin. Seniman muda berusia 30 tahun ini dilahirkan di Kuala Lumpur dan telah mendapat Diploma dalam bidang Seni Halus di Dasein Academy of Art, Malaysia. Semasa menjalani pendidikannya di akademi ini, Chong telah mendapat anugerah Top Student Award

Chong Yi Lin, 30.

Selepas meraih segulung Diploma, Chong telah melanjutkan pelajarannya ke Taipei National University of Arts di Taiwan bagi pendidikan Sarjana Mudanya yang juga dalam bidang seni halus. Pada tahun 2019, Chong telah kembali ke tanah air tercinta dan kini bekerja sebagai seorang pereka grafik. BASKL amat bertuah kerana dapat menemu ramah secara eksklusif bersama gadis seni ini sewaktu melawat pamerannya yang diadakan di The Back Room, Kuala Lumpur tempoh hari. Ikuti perbualan penulis BASKL bersama Chong Yi Lin. 

Pertama sekali, BASKL ingin mengucapkan syabas dan tahniah di atas pameran solo anda yang kedua ini. Cuba anda ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang bagaimana tercetusnya Garden of the Mind? Terima kasih. Saya amat teruja dan berbesar hati kerana dapat mengadakan pameran solo saya buat kali kedua ini. Sebenarnya semuanya bermula apabila saya dipilih sebagai salah seorang Residen di Rimbun Dahan, sebuah pusat seni dan kediaman peribadi bagi pasangan suami isteri Dr Hijjas Kasturi yang merupakan seorang arkitek bertauliah dan isterinya Angela. Saya telah menjadi seorang Residen di situ lebih kurang empat bulan pada tahun lepas. 

Rimbun Dahan ini merupakan sebuah pusat seni yang kaya dengan flora dan fauna yang mengelilingi seluruh kawasan itu. Di sini juga terdapat pelbagai kemudahan bagi seorang penggiat seni untuk mendapatkan sumber inspirasi bagi menghasilkan karya-karya baharu mereka. Di sinilah saya menghasilkan semua yang ada pada pameran Garden of the Mind ini. 

“Mind Map” karya pertama Chong Yi Lin sewaktu di Rimbun Dahan.

Apakah karya pertama yang telah anda hasilkan sewaktu berada di Rimbun Dahan? Pertama sekali apabila saya tiba di Rimbun Dahan untuk program Residen, saya telah menghasilkan sebuah peta minda. Peta minda itulah karya pertama sewaktu saya di sana. Melalui karya peta minda ini, saya mendapat gambaran besar dan juga dapat berimaginasi tentang keadaan dan pengalaman saya di Rimbun Dahan ini secara menyeluruh. 

Sewaktu saya di sana, saya telah dapat merasai dan melihat dengan mata saya sendiri bagaimana pokok-pokok bunga, tumbuhan-tumbahan serta semua keindahan alam yang ada ini berubah hari demi hari. Saya telah mengalami sendiri prosesnya itu dan bagi saya, itu merupakan satu perkara yang amat cantik sekali. Pengalaman yang telah saya lalui ini begitu unik dan saya rasa amat bertuah kerana telah mendapat peluang ini. 

Mengapakah anda rasa pengalaman anda di Rimbun Dahan unik. Cuba ceritakan aktiviti anda sewaktu program Residen yang lalu? Sewaktu saya berada di Rimbun Dahan selama hampir empat bulan tersebut, saya telah menetap di sana dan tidak pulang ke rumah. Pada ketika itu, saya menghabiskan masa saya untuk mengumpul khazanah alam yang ada di sekitar kawasan tersebut. Saya mengumpul pokok bunga, akar pokok, daun-daun dan banyak lagi. Pada pendapat saya, hubungan yang terbina di antara manusia dan bahan-bahan semulajadi ini sungguh istimewa. 

Pada pameran Garden of the Mind ini pun, hampir semua yang saya gunakan adalah bahan semulajadi yang saya dapat daripada Rimbun Dahan. Sewaktu program Residen saya yang lepas, hanya ada dua orang artis sahaja yang ada di sana pada ketika itu. Ini secara tidak langsung dapat memberi fokus untuk saya memanfaatkan sepenuhnya empat bulan saya di situ. Saya telah banyak menggunakan masa saya untuk eksperimen. 

Walaupun saya menggunakan bahan semulajadi seperti daun dan bunga, namun bukan semua daun dan bunga dapat mengeluarkan warna. Jadi saya memang perlukan banyak masa untuk mencuba. Apabila saya gagal atau tidak begitu puas hati, saya cuba sekali lagi. 

Antara hasil seni yang telah anda hasilkan adalah menyulam manik pada sapu tangan. Dimanakah anda mendapat ilham untuk membuat karya sebegini? Saya memang minat menyulam manik pada kain seperti ini. Apabila saya menyulam manik pada sapu tangan ini ia seolah-olah memberi gambaran bahawa manik ini dicucuk dengan benang dengan cara yang begitu halus. 

Karya sulaman manik di atas sapu tangan yang unik

Dan untuk membuatkan manik ini kekal pada sapu tangan, kita perlu menyulamnya dengan satu teknik sulaman iaitu memasukkan benang di antara manik dan kain tersebut. Seperti turun naiknya kehidupan. Manik ini, seperti kita, “vulnerable” dengan persekitaran kita dan kita seharusnya menyesuaikan diri kita. Kita sama-sama vulnerable.

Sebelum kita akhiri sesi temu ramah ini, bolehkah anda kongsikan sedikit bersama kami mengenai perancangan anda yang seterusnya? Buat masa ini saya akan memberi fokus kepada projek soft sculpture. Apa yang membezakan soft sculpture dengan yang lain adalah saya akan menggunakan kain untuk menghasilkan arca saya ini. 

Kebiasaanya, kita akan dapat lihat arca dihasilkan menggunakan bahan yang keras atau kukuh seperti batu, kayu atau tanah liat. Namun projek saya yang akan datang ini, saya ingin membuat suatu kelainan dan menghasilkan sebuah soft sculpture.

Terima kasih Chong kerana meluangkan masa anda bersama kami pada hari ini. Anda memang seorang artis yang hebat. Semoga segala impian dan cita-cita anda menjadi realiti pada suatu hari nanti. Sama-sama.

Perbualan BASKL bersama Chong itu menelan masa hampir satu jam. Pelbagai perkara yang telah diceritakan dan dikongsikan oleh Chong. Seolah-olah BASKL telah mendapat sebuah lawatan ekslusif di pameran tersebut sambil mendapat cerita dan latar belakang mengenai karya-karya yang ada. Kaedah dan cara pemikiran Chong memang lain daripada yang lain dan itu yang membuatkan pameran Garden of the Mind ini sebuah pameran yang mesti anda kunjungi. 

Bagi anda yang ingin membuat lawatan ke pameran solo Chong ini, anda bolehlah ke The Back Room Kuala Lumpur yang terletak di Bangunan Zhongshan, Jalan Rotan. Apabila anda tiba di situ, terdapat sebuah tempat letak kereta di sebelah Bangunan Zhongshan dan bayarannya cuma RM5. Ini amat mudah kerana The Back Room hanyalah di tingkat satu bangunan tersebut. 

Sebelum anda menaiki tangga ke tingkat satu, di lorong-lorong ini juga anda dapat lihat pelbagai hasil tangan kreatif rakyat Malaysia melalui lukisan grafiti dan mural yang dilukis pada bangunan-bangunan lama di Kuala Lumpur ini. Mood anda sebelum masuk ke Galeri Back Room ini juga telah berada di dalam satu tahap seni yang berbeza. 

Pameran Garden of the Mind ini akan berlangsung sehingga 6 Mac 2022. Jangan lepaskan peluang ini untuk menyaksikan hasil-hasil seni menggunakan bahan semulajadi yang cukup menarik dan mampu membuka mata serta minda anda menjadi seorang pencinta seni. Semoga dengan mempunyai minda seni mampu memberi ketenangan dan menjadi penyejuk jiwa buat semua. Bagi anda yang ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan Chong dan perkembangan terbarunya boleh lah ikuti laman web nya di pautan INI atau media sosial instagramnya di pautan INI.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites