Bercadang untuk menyambut Hari Kebangsaan atau Hari Malaysia melalui tontonan filem bersama-sama ahli keluarga dan kawan-kawan? Mulakan dengan mengenali cerita hero dan heroin dari senarai kami!
Oleh NABILA AZLAN
Menyambut Malaysia sebagai tanah air tercinta bukan setakat menghadiri pesta bunga api dan melontarkan laungan sahaja! Ia juga mengenai semangat kita untuk menyelami ‘jiwa’ anak Malaysia dan salah satu cara yang paling mudah adalah dengan menghargai naratif menarik yang dikeluarkan dalam cerita-cerita tempatan.
Tentu sekali Hari Kebangsaan merupakan masa yang terbaik untuk mengulang tayang filem-filem klasik perajurit dan pahlawan seperti Sarjan Hassan (1958) dan Bukit Kepong (1981) di kaca TV. Beranjak ke tahun 2000, kita juga ada Leftenan Adnan (2000), Embun (2002), Paloh (2003), 1957: Hati Malaya (2007). Amat bagus untuk kita hayati perjuangan watak-watak ini, tetapi perlu juga untuk kita tumpukan perhatian kita kepada wira-wira yang tidak didendangkan dalam kehidupan seharian. Fiksyen mahupun tidak, filem-filem di bawah membangkitkan ‘jiwa merdeka’ menerusi ‘orang-orang kebanyakan’ – si dia yang mempunyai harapan besar untuk negara, mengimpikan perpaduan dan melihat liku-liku kehidupan sebagai pengajaran ke arah yang lebih baik.
Aman dari Prebet Sapu/Hail, Driver! (2020)
Hasil lakonan Amerul Affendi
Lihat trailer di sini
Aman berpeluang memerhatikan perangai dan perwatakan pelbagai jenis pelanggan yang menaiki keretanya pada lewat malam. Dalam filem noir arahan Muzammer Rahman ini, dia seorang pemandu servis e-hailing haram yang buta warna, mengejar cita-cita menjadi seorang penulis dengan kereta lama kepunyaan arwah bapanya. Hidupnya berubah selepas dia bertemu dengan seorang gadis pengiring berbangsa Cina yang ditumpangkannya sewaktu bekerja.
Dahlia dari Sa Balik Baju (2021)
Hasil lakonan Nadiya Nisaa
Lihat trailer di sini
Sa Balik Baju merupakan filem hasil arahan empat orang sutradara – Junad Nor, Sarah Lois, Umie Omar dan Afiza Asram yang turut memaparkan pahit manis kehidupan melalui kaca mata wanita. Satu dari enam kisah (digelar Hak Peribody) mengenai impak media sosial, pekerjaan dan hubungan yang dimuatkan dalam koleksi ini mengisahkan kegusaran dan kebangkitan Dahlia, anak muda yang tabah dalam memulakan bisnes baru dalam menjual pakaian dalam wanita sejurus diberhentikan kerja akibat penutupan syarikat.
Chow Kwok Keong atau Tauke dari Ola Bola (2016)
Hasil lakonan JC Chee
Lihat trailer di sini
Sukan menyatukan semua! Semangat anak Malaysia berkobar-kobar di saat Ola Bola menemui ramai di pawagam. Filem arahan Chiu Keng Guan ini membawa penonton ke era 80-an di mana pasukan bola sepak negara sedang gigih berlatih untuk menyiapkan diri ke arah sukan Olimpik. Jurulatih pasukan yang digelar Tauke menghadapi cabaran luaran dan dalaman dalam memotivasikan ‘anak-anak buahnya’ – bukan mudah untuk ‘memandu’ skuad ini ke arah kemenangan!
Hafiz dari Talentime (2009)
Hasil lakonan Syafie Naswip
Lihat trailer di sini
Filem arahan dan tulisan Yasmin Ahmad ini membangkitkan nostalgia zaman persekolahan. Hafiz merupakan seorang pelajar berbakat yang menjadi finalis program Talentime anjuran sekolahnya, hasil idea cikgu Bahasa Inggeris yang digelar Cikgu Adibah (dilakonkan oleh Adibah Noor). Dia menyelusuri hidup dengan tabah di samping rakan-rakan seperjuangan, di saat ibunya terlantar di hospital disebabkan kanser.
Arman Rahmat bin Anuar dari PASKAL The Movie (2018)
Hasil lakonan Hairul Azreen
Lihat trailer di sini
Sebelum kita merasakan hangatnya hebahan filem Mat Kilau (arahan Syamsul Yusuf) dan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa (arahan Zulkarnain Azhar dan Frank See) baru-baru ini, filem ini antara yang hebat diperbualkan. Filem yang telah memenangi hati ramai ini adalah adaptasi kisah benar semangat juang pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu Pasukan Khas Laut (PASKAL) dalam merampas kapal dagang daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada tahun 2011, menerusi kisah Komander Leftenan Aman Rahmat. Dia berdiri di atas dua konflik – antara meletakkan sepenuh dirinya untuk menjaga ibunya yang tenat dan melunaskan tanggungjawab sebagai ahli PASKAL.
Filem yang mana satu dari senarai kami di atas yang sudah anda tonton?
Gambar utama artikel adalah dari petikan video Astro Shaw di YouTube