5 tempat makanan di Petaling Jaya

Petaling Jaya merupakan antara bandar yang agak lama ditubuhkan di sekitar kawasan Lembah Klang, mari kita lihat antara makanan menarik yang ada di sini

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Siapa yang tidak tahu akan nama bandaraya Petaling Jaya ini. Petaling Jaya merupakan antara tempat yang cukup strategik lokasinya, hanya mengambil masa maksimum 30 minit daripada hampir semua tempat sekitar Lembah Klang.

Sama ada Shah Alam, Ampang serta Rawang, semuanya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk sampai ke destinasi yang hendak dituju. Namun semua ini bergantung kepada tahap keadaan kesesakan jalan raya. Maklumlah, lebih-lebih lagi Lebuhraya Persekutuan (Federal Highway) bila sahaja yang tidak sesak? 

Namun apa yang membuatkan Petaling Jaya ini menjadi satu hotspot “lepak” dalam kalangan warga Lembah Klang ini, kerana keunikan dan kepelbagaian makanan dan pusat lepak yang cukup santai dan sedap. Kali ini BASKL ingin berkongsi antara tempat-tempat “hot” untuk pilihan anda, sama ada untuk lepak, makan mahupun anda yang mencari lokasi “instagramable”.

  • Gasket Alley

Port lepak pertama yang ingin kami kogsikan adalah Gasket Alley yang terletak di Seksyen 13, Petaling Jaya. Gasket Alley merupakan sebuah tapak acara dan juga sebuah kafe hipstur yang menjadi tarikan buat anak-anak muda dan juga mereka yang ingin mencari kelainan dalam tempat lepak mereka. 

Jika anda meminati barangan urban dan hipstur, mungkin tempat ini merupakan tempat yang cukup sesuai untuk anda. Antara acara besar yang baru sahaja diadakan di Gasket Alley ini adalah The Distinguished Gentleman’s Ride. Sebuah acara konvoi yang bermula di Ibu kota Kuala Lumpur dan berakhir di Gasket Alley. untuk maklumat mengenai acara di sini, anda boleh ke Laman media sosial Gasket Alley di sini.

  • Pokok 

Pokok merupakan sebuah restoran yang terletak di Mahsa Avenue. Walaupun alamat sebenarnya terletak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur namun hakikatnya, Pokok terletak di Jalan Profesor Diraja Ungku Aziz iaitu jalan yang sama dengan UIA Petaling Jaya dan Pusat Perubatan Universiti Malaya. Jadi, Pokok boleh dikira sebagai tempat lepak di Petaling Jaya lah juga.

Pokok merupakan sebuah kafe yang menghidangkan makanan “east meets west” dan apa yang paling menarik mengenai kafe ini adalah suasana kehijauan yang sukar untuk anda temui di tengah-tengah bandar. Suasana yang cukup tenang ini sesuai bagi mereka yang ingin menjamu selera atau ingin mengadakan sebuah acara kecil secara tertutup. Untuk mengetahui mengenai Pokok dengan lebih lanjut, anda boleh ke pautan ini

  • Lau Wan Kue Tiau

Buat mereka yang menggemarkan char kuey teow cara masakan cina tetapi inginkan pilihan yang halal, inilah tempat yang paling wajib untuk anda kunjungi. Lau Wan Kuetiau yang terletak di medan selera SS3 ini merupakan antara kuey teow halal yang terkenal di kawasan ini. Orang ramai dari pelbagai tempat datang semata-mata untuk kuey teow Uncle Lau.

Gerai Uncle Lau dibuka dari jam 3.30 petang sehingga 9.30 malam setiap hari kecuali pada hari Selasa dan memang gerainya akan sentiasa penuh! Namun jangan risau, Uncle Lau yang membuka perniagaan ini bersama ahli keluarganya ini cukup cekap. Baru sahaja order, makanan anda akan terus sampai. Bila anda dah melawat kedai Uncle Lau ini, jangan lupa mencuba sekali makanan-makanan sedap yang lain seperti mee kari, tauhu bakar dan air mata kucing. Kalau anda tak percaya, cuba tengok gambar-gambar di laman instagram kedai Lau Wan Kue Tiau ini.

  • Pizza Mansion

Petaling Jaya memang cukup lengkap, cakap sahaja apa yang anda ingin makan dan sudah tentu akan ada kedai yang menyediakannya. Seterusnya kita beralih kepada citarasa orang Itali iaitu pizza. Kalau anda singgah di Petaling Jaya, jangan lupa untuk singgah di Pizza Mansion yang terletak di bahagian bawah Pangsapuri Happy Mansion, Seksyen 17. 

BASKL tidak berapa pasti sama ada nama Pizza Mansion itu kebetulan dengan nama lokasinya ataupun tidak namun anda akan terlupa segala persoalan itu apabila gigitan pizza pertama singgah di bibir anda. Top favourite yang mesti anda cuba adalah Silence of The Lamb. Selain itu, tidak dilupakan juga garlic bread di Pizza Mansion yang berminyak, berlemak dan memang terasa bawang putihnya. Fuh! tengoklah gambar pizza mereka ini. Memang terliur kita dibuatnya!

  • Sri Ganapathi Mess

Buat penggemar-penggemar nasi daun pisang, usahlah anda mencari kedai lain untuk memenuhi kempunanmu itu. Sri Ganapathi Mess merupakan nasi daun pisang terbaik di pasaran. Tertelak di Seksyen 1, Petaling Jaya dan apa yang membuatkan kedai makan ini cukup unik adalah kerana kedai makan ini berada di dalam sebuah rumah! Cuba anda bayangkan, rumah-rumah orang dan tiba-tiba ada kedai makan! 

Jika anda ingin mencuba kedai ini pada waktu makan tengahari, adalah disyorkan agar anda mencubanya pada hujung minggu atau sewaktu anda tidak mempunyai sebarang urusan penting selepas makan tengah hari itu. Jaminan mengantuk adalah cukup tinggi kerana nasi dan karinya pasti membuatkan anda menjilat jari. Kelazatan Sri Ganapathi Mess ini memang cukup memukau. Layari laman Facebook mereka untuk maklumat lanjut. 

Cukup di situ sahaja cadangan kedai-kedai makan yang menarik di Petaling Jaya buat kali ini. Rasa terliur itu memang dah sampai dan kami harap anda akan turut suka dengan tempat-tempat ini. Selamat mencuba!

Gambar Utama adalah suasana di Pokok.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites