28 Mac – 3 April

Qing Gallery Kuala Lumpur mempersembahkan tiga seniman mujarad dalam pameran terbaru mereka The Resplendent Dance

Oleh DANIAL FUAD

Kini kita telah pun memasuki minggu terakhir bulan Mac dan bulan Ramadhan kian menjelma buat umat Islam. Selain daripada itu, pada 1 April nanti kita bakal memasuki fasa peralihan endemik yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini. Walaupun demikian, pastikan anda masih menjaga SOP agar tidak membahayakan orang sekeliling anda. Seperti biasa, kami di BASKL ingin berkongsi beberapa aktiviti menarik yang boleh dilakukan minggu sebelum kita memasuki puasa.

The Resplendent Dance!

Sehingga 25 Apr, Qing Gallery Kuala Lumpur

Qing Gallery mempersembahkan pameran terbarunya dengan seniman-seniman mujarad, Dr Jolly Koh, Michelle Yap dan juga Jaee Tee.

Dr Jolly Koh sohor sebagai seniman mujarad semenjak dari tahun 1960-an lagi sezaman dengan seniman seperti Anthony Lau, Ibrahim Hussein dan Latiff Mohidin antaranya.

Michelle Yap pula merupakan graduan daripada Central St Martins College of Arts London yang juga sohor disebabkan pamerannya yang habis dijual di The Other Art Fair, New York.

Jaee Tee adalah seorang seniman mujarad dan juga figuratif yang berasal daripada Kuala Lumpur. Karyanya yang mempunyai kandungan emosi yang kuat berjaya dikumpul oleh kolektor persendirian dan juga syarikat korporat.

The Resplendent Dance! menggandingkan ketiga-tiga seniman ini di Qing Gallery yang bertempat di 3a Jalan Residen 2, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 52200. Masuk adalah percuma, namun pendaftaran haruslah dibuat di sini untuk memastikan kehadiran anda. Galeri dibuka dari jam 10pg hingga 7mlm dan tempahan tiket boleh dibuat setiap jam.

Hep Ka-Wot Enggang Le-Wei (Forests, Hornbills & Honey)

Sehingga 2 Apr, Rimbun Dahan Kuang

Penerima geran Southeast Asia Rainforest Journalism Fund Roslan Carang, Azam Carang, Marisan Pandak, Dedi Roslan, Noordin Asu and Mustapa Ramlee merupakan enam orang asli yang tinggal dan bekerja bagi memastikan keselamatan Belum-Temenggor Forest Complex (BTFC).

Dalam pameran ini, orang asli daripada suku kaum Jahai dan Temiar akan berkongsi bagaimana mereka menuai madu Tualang liar dan juga apa yang dilakukan sehari-hari sebagai pelindung burung enggang yang bekerja bersama sebuah organisasi yang dikenali dengan nama Malaysian Nature Society.

Beberapa pelindung burung enggang juga merupakan bekas peserta bagi bengkel fotografi yang dianjurkan oleh Kesatuan Eropah melalui projek yang diketuai oleh BirdLife International, “Strengthening Non-State Actor Involvement in Forest Governance”. Ini merupakan kali pertama mereka berkongsi naratif peribadi mereka melalui gambar-gambar di pameran awam.

Pameran ini akan berlangsung di Galeri Rumah Uda Manap, Rimbun Dahan yang terletak di KM27 Jalan Kuang, Kuang, Selangor 48050. Masuk adalah percuma dan pengunjung yang berminat hanyalah perlu mendaftar di sini dan hadir di antara jam 11pg hingga 4:30ptg.

Music Exchange Programme Closing Concert

2 Apr, Dominus Arts Venue Kuala Lumpur

Musical Exchange Programme (MEP) merupakan sebuah program felo kerjasama antara Rondo Productions bersama Orchestra of the Swan dan disokong oleh British Council. Seramai 14 orang komposer dan pemain instrumen orkestra telah dipilih untuk diajar oleh Chris Allan dan juga Tengku Irfan bersama Orchestra of the Swan yang berpusat di London.

Konsert penutup menghidangkan 8 buah lagu yang telah digubah oleh felo- felo yang terpilih. Mereka telah membayangkan semula kisah-kisah dongeng Malaysia melalui lensa sezaman. Tiket masuk adalah atas dasar sumbangan sendiri dan orang ramai yang berminat boleh ke sini untuk membuat bayaran dan mendapatkan tempat mereka. Konsert ini dijangka akan bermula pada jam 8mlm hingga 9:30mlm di Dominus Arts Venue, Lot 4178 Jalan 1/27d, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 53300.

Rico Leong Woodcut Workshop

3 Apr, The Zhongshan Building Kuala Lumpur

Rico Leong merupakan seorang seniman yang bahantara utamanya merupakan cetakan ukiran kayu. Anak kelahiran Ranau ini telah merantau ke pelbagai negara membawa karyanya di tempat seperti Amsterdam. Pada 3 Apr nanti, Leong akan mengadakan sebuah bengkel mengajar cara-cara menghasilkan cetakan ukiran kayu. Para peserta akan dibimbing dalam setiap langkah berkaitan daripada permulaan ukiran sehinggalah ke penghasilan cetakan.

Bengkel itu akan diadakan di The ClassroomKL, The Zhongshan Building, Jalan Kampung Attap, 80 – 84, Jalan Rotan, 50460 Kuala Lumpur dan bermula pada jam 3ptg hingga 6ptg. Bayaran sebanyak RM150 akan dikenakan bagi setiap peserta di mana bahan-bahan untuk bengkel itu disediakan. Bagi yang berminat bolehlah mendapatkan tempat di sini.

SKOLA GAMBAR Enrique de Malacca

Sehingga 15 Mei, Galeri ILHAM Kuala Lumpur

Petikan tulisan risalah pameran

Pelayaran Magellan-Elcano mengelilingi dunia menjadi tanda bermulanya zaman globalisasi. Namun demikian, kisah tentang keperwiraan, kesengsaraan dan pengembaraan itu acap kali diceritakan melalui kaca mata Eropah (Barat).

Berdasarkan pelbagai catatan, salah seorang daripada 270 orang awak-awak yang berlayar selama tiga tahun dengan lima buah kapal itu adalah seorang pelayar dan penterjemah berketurunan Melayu bernama Enrique de Malacca.

Kerana itu kita ingin kembali menjenguk titik sejarah ini melalui sudut pandang orang yang datang dari Kepulauan Melayu. Skola Gambar Enrique de Malacca merupakan lelaran keempat daripada Enrique de Malacca Memorial Project yang dihasilkan oleh Ahmad Fuad Osman. Projek ini pernah dipamerkan di Singapore Biennale (2016), Sharjah Biennale (2019) danpaling terkini di pameran solo pertengahan kerjaya Ahmad Fuad Osman di Balai Seni Negara Malaysia (2019–2020).

Persembahan ini menawarkan tindak balas dan pandangan baharu terhadap pelayaran mengelilingi dunia yang kini memasuki ulang tahun ke-500. Dengan menggunakan istilah lama bagi ‘muzium’, Skola Gambar mengguna pakai kerangka pentafsiran tempatan untuk mempermasalahkan proses museologi yang piawai, kewibawaannya dalam menafsirkan masa lalu, dan keabsahan naratif-naratif (aliran utama) sejarah (grand narratives).

Pameran Skola Gambar ini dianjurkan oleh Galeri ILHAM yang bertempat di Levels 3 & 5, Ilham Tower, No. 8, Jalan Binjai 50450 Kuala Lumpur, Malaysia. Waktu operasi galeri adalah di antara Selasa – Sabtu, 11pg – 7ptg dan Ahad, 11pg – 5 ptg. Maklumat lanjut mengenai pameran ini boleh didapati di sini.

Berikut adalah beberapa aktiviti menarik yang kami telah kongsikan untuk anda sepanjang minggu ini. Ingatlah sentiasa mengamalkan SOP yang ditetapkan bagi kita dapat mengelakkan diri daripada dijangkiti COVID-19.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites