BASKL berkongsi beberapa acara seni yang menarik di sekitar Lembah Kelang
Oleh DANIAL FUAD
Semakin hari, industri seni Malaysia dilihat semakin berseri dan rancak. Dengan kelonggaran SOP, industri kita di Malaysia semakin hidup dengan pelbagai acara seakan membalas dendam atas sekatan yang terpaksa dilalui dalam dua tahun ini. Seperti biasa, kami di BASKL ingin berkongsi beberapa acara yang menarik yang berlaku sepanjang minggu ini.
Indicinelive! 7
The Kuala Lumpur Performing Arts Centre | 25 – 29 Mei
Diasaskan oleh bekas Pengarah Tamu klpac, Kelvin Wong dan dipertontonkan di hadapan khalayak ramai untuk kali pertama pada tahun 2010, INDICINELIVE! (in-dee-SEE-nee-live-!) merupakan sebuah sketsa berkenaan kegilaan masyarakat kita melalui watak-watak dan situasi harian dengan suntikan lagu parodi yang sering kita dengari. INDICINELIVE, pada asasnya adalah sebuah cerita pandangan dunia melalui nukilan yang menghiburkan.
Sebuah kerjasama antara SIFU Productions dan The Actors Studio Teater Seni Rakyat, disokong oleh The Kuala Lumpur Performing Arts Center dan MYCreative Venture, INDICINELIVE! 7 merupakan antara penampilan semula yang pertama buat persembahan komedi secara langsung di atas pentas sejak kehadiran COVID19. Persembahan kali ini menampilkan barisan pelakon yang baru dan kumpulan penulis di bawah arahan Freddy Tan bersama Siti Farrah Abdullah dan UiHua.
INDICINELIVE! 7 bakal berlangsung di Pentas 2, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre bermula hari Rabu, 25 Mei hingga Ahad, 29 Mei. Persembahan ini akan bermula pada jam 8mlm setiap hari kecuali hari Ahad dimana ia akan bermula pada jam 3ptg. Tiket bermula dari RM50 pada hari pertama persembahan (25 Mei) dan RM70 pada hari berikutnya. Untuk maklumat lanjut berkenaan persembahan ini dan untuk pembelian tiket, anda boleh layari laman sesawang mereka di sini.
* Amaran: Persembahan ini hanyalah untuk penonton dewasa sahaja kerana mempunyai isi kandungan yang sensitif.
Tahlil Yang Dirahsiakan
Asterik Anak Seni Studio | 25 – 29 Mei
Persembahan rentas disiplin merupakan suatu yang tidak asing lagi dalam dunia seni. Ramai seniman yang selesa untuk bekerjasama antara satu sama lain untuk menghasilkan karya yang lebih jitu dan mampan. Seni teater dan puisi juga merupakan seni yang rapat dengan satu sama lain dan tidak hairanlah untuk kali ini, Studio Asterik Anak Seni mempersembahkan Tahlil yang Dirahsiakan dengan kerjasama dua orang pemuisi iaitu Api Hussein dan Cahaya Jais. Ia merupakan sebuah persembahan fizikal yang diadaptasi daripada hasil gabungan teks dua buku puisi; Avenoir oleh Api Husein dan Tubuh Yang Tak Ingin Lagi Bersamaku oleh Cahaya Jais.
Tahlil yang Dirahsiakan bermula dari hari Rabu, 25 Mei hingga Ahad, 29 Mei di mana persembahan akan bermula pada jam 8.30mlm kecuali pada 28 Mei terdapat satu slot tambahan pada jam 3.30ptg manakala pada 29 Mei, persembahan bermula pada jam 3.30ptg. Terdapat tiga jenis tiket yang disediakan yang bermula dengan RM35 untuk tiket sahaja, RM62 untuk tiket dan sebuah buku dan RM90 untuk tiket berserta dua buah buku puisi. Maklumat lanjut dan pembelian tiket boleh dirujuk di laman sesawang di sini.
BLISTER – Live & Loud featuring SPT & 3I1E
Jama KL | 27 Mei
Blister terdiri daripada lima individu yang terikat dengan darah dan cinta terhadap muzik dan bersatu untuk menghasilkan sebuah kumpulan kugiran dengan misi mencari cara untuk mengembangkan muzik yang sangat rapat dengan mereka iaitu Rock n’ Roll.
Terdiri daripada Ramon Singho, Mario Singho, Julio Singho, Darian Henry dan Zachary De Costa, BLISTER bermula dengan memberi penghormatan terhadap idola mereka melalui persembahan di pub dan kelab sekitar Kuala Lumpur di mana akhirnya mereka menulis lagu sendiri dan menemui gaya mereka.
Bagi anda yang meminati karya ini, mereka bakal mengadakan persembahan di Jama KL, LOT J-0G-13, No.2, Jalan Solaris, Solaris Mont Kiara dengan kehadiran tetamu undangan Shadow Puppet Theatre dan 3I1E. Persembahan bermula dari jam 8mlm dengan tiket yang berharga RM60. Untuk mendapatkan tiket, anda boleh layari laman sesawang di sini.
GO BLOCK VOL 5
Galeri G13 | Sehingga 31 Mei
Galeri G13 mempersembahkan sebuah pameran berkumpulan terbaru mereka yang disertai oleh Agnes Lau, Awang Damit Ahmad, Fadli Mokhtar, Faizal Suhif, Juhari Said, Pangrok Sulap, Samsudin Wahab dan Shahrul Jamili dengan tajuk Go Block Vol 5: Contemporary Expanded Printmaking Residency Project. Pencetak baru dan lama berganding bahu ke arah cara dan teknik baru dalam penghasilan karya cetak untuk siri ini. Selain daripada menunjukkan hasil daripada GO BLOCK Printmaking Residency Project, pameran ini juga bertujuan untuk memperkenalkan kembali gaya inovatif karya cetakan kepada khalayak ramai.
Go Block Vol 5: Contemporary Expanded Printmaking Residency Project berlangsung daripada 18 hingga 31 Mei di G13 Gallery, Kelana Square, GL13, Ground Floor Block B, Jalan SS 7/26, Petaling Jaya. Masuk adalah percuma dan galeri dibuka daripada Isnin – Sabtu, 11pg – 5ptg. Maklumat lanjut berkenaan pameran ini boleh didapati di laman sesawang mereka di sini.
System by Fazrin Abd Rahman
HOM Art Trans | Sehingga 31 Mei
System mengumpulkan karya-karya terbaru Fazrin Abd Rahman dalam sebuah pameran yang mengabungkan elemen tradisional dengan pendekatan kontemporari seniman. Untuk pameran solo ketiganya, Fazrin mempersembahkan 13 arca dinding yang mencerminkan praktis seninya kebelakangan ini. Karya yang seakan perisai ini juga mengangkat minat seniman terhadap mekanik di sebalik teknik dan kebolehgunaannya dalam pembacaan kontemporari.
Fazrin menyesuaikan seni anyaman rotan sebagai teknik utamanya yang diambil daripada pengalamannya semasa bekerja sebagai tukaang kraf yang khusus dalam reka bentuk asli Melayu. Hasil karya terbaru Fazrin merupakan sebuah penghormatan terhadap kepintaran seni tradisional dan tafsiran semula pemikiran saintifik semasa. Pada masa lampau, anyaman merupakan sebuah seni kemasyarakatan dan sering digunakan untuk menghasilkan barang harian seperti tikar mengkuang, atap dan juga dinding. Corak geometrik mendedahkan struktur yang kompleks dan sistematik sarat dengan unsur dan prinsip rekaan, menceritakan kepekaan seniman terhadap dunia moden dan tradisional.
System merupakan sebuah siri pameran solo oleh pemenang bagi Malaysian Emerging Arts Awards (MEAA) 2019, di mana Fazrin bersama empat rakan seperjuangan yang juga barisan pemenangnya. Pameran ini bermula dari 19 – 31 Mei di HOM Art Trans, Jalan Cempaka 16, Taman Cempaka, Ampang yang dibuka dari Selasa hingga Sabtu, 11pg – 6ptg. Maklumat lanjut berkenaan pameran ini boleh didapati di laman sesawang mereka, di sini.
Berikut merupakan beberapa acara berkaitan seni yang ingin kami kongsikan untuk minggu ini. Jika terdapat kelapangan waktu, anda boleh menghadiri ke acara-acara kreatif yang berlangsung, kerana industri seni kita juga memerukan sokongan anda, setelah melalui kelelahan sepanjang pandemik COVID berleluasa. Tentulah suntikan semangat daripada orang ramai yang hadir ke acara-acara kreatif ini dapat menghilangkan penat lelah yang dilalui oleh pengendali industri.