Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI
Apa khabar rakan-rakan pembaca BASKL semua? Bagaimana bulan Mac anda setakat ini? Adakah ia dipenuhi dengan aktiviti dan pengisian yang menarik lagi menghiburkan? Namun begitu, jika anda merasakan bulan ini masih lagi belum mencapai suatu tahap kepuasan hati yang diingini, usah khuatir kerana bulan ini masih belum sampai ke penghujungnya. BASKL ingin memberikan anda beberapa pilihan menarik yang terdiri daripada konsert, persembahan dan juga sebuah pementasan komedi! Mari kita lihat perkongsian minggu ini.
- IBU Theatre
Ha! Kita mulakan dengan sebuah pementasan iaitu IBU Theatre. Diadaptasi daripada cerita orang Melayu zaman dahulu iaitu “Si Tanggang”. Cerita seorang anak yang derhaka kepada ibunya dan disumpah menjadi batu. Masa kita kecil-kecil dahulu, kalau mak kita marah sebab kita nakal atau tidak dengar cakap dia, mesti mak akan sebut pasal cerita “Si Tanggang”.
Tetapi kali ini, IBU Theatre membawa kelainan yang luar biasa. Buat julung kalinya, teater ini dibawakan ke atas pentas oleh Iron Gang Puppet Theatre. Mereka merupakan sebuah kumpulan pemain patung Teochew dan diketuai oleh artis tersohor Ling Goh. Beliau merupakan generasi keempat dalam keluarganya untuk menjadi seorang pakar patung Teochew ini. Hebat sungguh adunan tradisional dan moden. Pautan ke pembelian tiketnya ada di sini.
- I Need The Money
Daripada sebuah teater, kita beralih pula ke sebuah pementasan komedi “stand up”. Pelawak tempatan Phoon Chi Ho merupakan antara yang paling popular di Malaysia pada hari ini dan merupakan antara anak didik Douglas Lim, jadi pastinya pementasan ini memang dapat menggelikan hati kita semua. Phoon mula berkecimpung dalam dunia lawak ini melalui program ASTRO Gelak Gempak dan seterusnya menyertai Maharaja Lawak Mega.
Bukan senang kita nak tengok seorang anak tempatan berbangsa Cina untuk sertai program yang kebanyakkan penontonnya adalah berbangsa Melayu. Namun inilah keunikan Malaysia ini. Tidak kira asal usul kita bangsa dan agama, tetapi kita memiliki budaya yangsama. Kita semua makan nasi lemak menggunakan tangan, lepak minum teh tarik di kedai mamak, sudah tentu kita dapat memahami dan menghargai kerenah lawak Keluarga Malaysia yang pelbagai ragam ini. Untuk Makluman, acara ini akan berlangsung dalam satu malam sahaja jadi jangan lepaskan peluang ini, dan ambil peluang ini untuk santai bersama keluarga dan sahabat handai dengan klik di sini.
- Konsert Lagu Rakyat
Panggung Sari Istana Budaya kembali bergegar dengan acara pembuka tirai untuk tahun 2022 ini dengan sebuah persembahan yang bakal memukau warga kota. Pasti ramai yang sudah lama teringin hendak melawat pentas bertaraf dunia yang ada di Ibu Kota Kuala Lumpur kita ini, yang lama juga kosong akibat pandemik. Kalau tidak, zaman sebelum kita terkurung di rumah waktu pandemik itu, Istana Budaya cukup meriah dengan pelbagai aktiviti kebudayaan dan kesenian oleh penggiat seni tanah air.
Kali ini Istana Budaya mempersembahkan Konsert Lagu Rakyat yang dibawakan oleh Orkestra Tradisional Malaysia, sebuah barisan orkestra yang cukup mahsyur di tanah air. Bagi persembahan kali ini, Orkestra Tradisional Malaysia membariskan artis tempatan seperti Dato’ Zainal Abidin, Floor 88, Bunga dan ramai lagi, termasuk penampilan istimewa oleh sebuah kumpulan orang asli daripada suku kaum Mah Meri. Anda boleh membuat pembelian tiket di sini.
- Selamat Ari Muyang
Bila kita sebut tentang suku kaum orang asli Mah Meri ini pula, mengikut kepercayaan mereka bulan ini merupakan Sambutan Ari Muyang di mana mereka memuja dan berterima kasih kepada semangat nenek moyang mereka terhadap segala kebaikan yang telah diterima. Menariknya tentang suku kaum Mah Meri yang menetap di Pulau Carey, Selangor ini, mereka amat terkenal dengan karya hasil kraftangan mereka.
Sempena Sambutan Ari Muyang ini, GMBB di pusat bandar Kuala Lumpur bekerjasama dengan Galeri Gerimis mempersembahkan hasil seni orang asli yang cukup halus dan penuh dengan elemen kesenian. Kebanyakkan hasil kraftangan mereka diinspirasikan daripada persekitaran, jadi banyak hasil kraftangan ini bersifat alam semulajadi. Ada yang bentuk haiwan seperti ketam, ikan, burung dan ada juga yang bentuk seperti pokok. Pameran yang dikaryakan oleh Tompoq Tomoh dan diketuai oleh seorang “award winning” pereka kraftangan iaitu Maznah Hunyan. Maklumat lanjut ada di pautan ini.
- UNDERGLAZE
Kraftangan memang sebuah karya seni yang turun temurun daripada nenek moyang kita dan kekal sampailah ke hari ini. Begitu juga dengan program yang hendak kami kongsikan ini. Underglaze dari sudut erti perkataan itu sendiri merupakan sebuah hasil kraftangan yang boleh dilihat pada pasu-pasu Cina purba daripada zaman dahulu kala. Namun kali ini, artis tempatan yang serba boleh iaitu Drewfunk tampil dalam pameron solo pertamanya di Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Drewfunk telah menetap di Melbourne, Australia dan telah membuat sebanyak 10 pameran solo di sana. Kini dia kembali ke tanah air untuk berbakti dan mempersembahkan seninya di tanah kelahirannya sendiri dengan membariskan karya seni Cina purba yang telah wujud sejak abad ke-14 lagi. Inspirasi seninya banyak diilhamkan oleh campuran Timur Barat, bak kata orang putih “East meets West”. Kenali Drewfunk dan ikuti pameran solonya di laman Instagram ini.
- Mujarad Naga Tasek Chini
Tanah air Malaysia kita yang tercinta ini memang banyak khazanahnya jika kita benar-benar menghayati dan menghargainya. Antara khazanah alam yang ada adalah Tasik Chini. Tasik air tawar kedua terbesar di Malaysia ini penuh dengan khazanah alam serta cerita-cerita yang dikhabarkan oleh orang-orang tua kita dahulu. Antaranya adalah kewujudan seekor naga yang tinggal di dasar tasik ini.
Namun kini, Tasik Chini kian musnah akibat pembalakan haram, pencemaran dan pelombongan haram oleh kerakusan dan ketamakan manusia. Pelukis tersohor Abdullah Jones mengambil peluang untuk menyebarkan dan menimbulkan kesedaran kepada masyarakat berkenaan khazanah alam yang semakin hilang ini melalui lukisannya. Abdullah telah mengkaji cerita mengenai tasik ini dan meluahkan kesemua emosi dan perasaannya di atas kanvas. Bagi anda yang ingin mengetahui maklumat lanjut berkenaan pameran Abdullah ini, anda boleh hubungi Wendy di pautan whatsapp ini.
Itu sahaja pilihan BASKL buat anda semua untuk minggu ini. Marilah kita sama-sama menyokong industri kreatif Malaysia ini yang penuh kesenian dan kebudayaannya yang cukup unik dan indah. Penuhi minggu anda dengan aktiviti yang menarik, jadi diri dan amalkan SOP agar kita semua berada dalam keadaan yang sihat dan selamat.
- Gambar Utama adalah Orkestra Tradisional Malaysia daripada laman web Istana Budaya.