Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI
Hai semua! BASKL kembali lagi minggu ini untuk memberikan idea untuk lokasi yang boleh anda lawati sepanjang minggu ini. Tahun ini bulan Februari kelihatan meriah, terutamanya di ibu kota Kuala Lumpur. Menariknya bulan ini, rata-ratanya terpampang ngauman harimau yang menjadi dekorasi di sudut kota raya.
Ada juga sesetengah kawasan yang masih diwarnai pesta mercun dan bunga api yang cukup meriah di malam hari. Alhamdulillah, akhirnya kita dapat melihat ukiran senyuman di raut wajah orang tersayang setelah sekian lama dibelenggu pelbagai musibah.
Bagi minggu terakhir bulan Februari ini, BASKL ingin berkongsi lima acara menarik untuk dilawati bersama rakan dan seisi keluarga. Jika anda berseorangan pun, apa salahnya?
- Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur 2022 (24 – 27 Feb)
Siapa tak suka benda yang free (percuma)? Sebut je benda free, bayaran masuk free, pasti ramai yang lebih tertarik. Kali ini, Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur atau KL Alternative Bookfest (KLAB) bakal mengadakan pesta mereka di Pasar Seni Kuala Lumpur. Selain lubuk seni, lokasi ini juga mudah untuk dikunjungi warga kota dengan adanya kemudahan awam seperti tren dan juga bas Rapid KL. Penganjur KLAB 2022 kali ini membawakan lebih 50 vendor yang terdiri daripada syarikat penerbitan indie dan juga arus perdana. Buat penggemar kopi, KLAB juga akan membawakan barisan vendor kopi untuk pengunjung membaca sambil menikmati kopi di sini. Untuk maklumat lanjut anda boleh klik SINI.
- Sepet The Musical (24 – 27 Feb)
Dari pesta buku, kita beralih pula kepada dunia teater dan muzik. Hampir semua rakyat Malaysia tahu bahawa Sepet merupakan sebuah nukilan unggul oleh Allahyarham Yasmin Ahmad. Sepet menceritakan sebuah kisah cinta yang terbatas oleh bangsa dan agama di antara seorang anak muda Cina dan seorang anak gadis Melayu. Namun kali ini, nukilan ini dibawakan ke atas pentas teater dan dijadikan sebuah muzikal penuh dengan keindahan warna warni tarian serta nyanyian. Bagi mereka yang meminati dunia teater dan nyanyian, ambillah peluang ini untuk menghayati kisah mereka. Pementasan ini bakal berlangsung di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), One Utama Shopping Centre. Jika anda ingin elakkan kesesakan lalu lintas, jangan risau, terdapat MRT yang boleh memudahkan perjalanan anda. Jadi apa tunggu lagi, buat tempahan tiket anda di SINI.
- Something Big Something Small (19 Feb – 6 Mar)
Jangan risau, peminat-peminat seni lukisan dan visual anda tidak sama sekali kami lupakan. Something Big Something Small ialah sebuah pameran seni solo Tan Piek Khie (Bibo) yang merupakan anak jati Sungai Petani, Kedah. Tan bakal mempamerkan lebih 60 lukisannya dan 10 arca buat pameran kali ini, setiap satunya merupakan koleksi hasil seni kreatifnya dari tahun 2017 sehingga 2022. Pemaran ini akan diadakan di Lostgens’ Art Space yang terletak di Jalan Panggong Kuala Lumpur. Jika anda memilih untuk menaiki tren atau bas Rapid KL, anda boleh turun di Stesen Pasar Seni dan jalan lebih 200 meter sahaja untuk ke sini. Sebagai rujukan buat anda semua, ini adalah lokasinya atau anda boleh hubungi Bibo untuk membuat temu janji.
- Exposure + Photo (26 Feb – 13 Mar)
Dunia fotografi juga merupakan satu arena yang sungguh diminati oleh masyarakat kita pada hari ini. Bertemakan perkataan Belong yang bermaksud memiliki atau dimiliki, pameran fotografi ini akan mempersembahkan projek daripada 11 pakar fotografi Malaysia dan beberapa jurufoto antarabangsa yang dipilih oleh barisan professional sejak tahun 2021 lagi. Fotografi merupakan satu bentuk seni yang amat unik kerana setiap foto itu mempunyai cerita atau mesej tersendiri yang ingin disampaikan. Sebuah foto yang berkualiti dan berkesan akan dapat membuka minda dan hati kita terhadap persekitaran yang ada. Sebanyak 8 lokasi sekitar ibu kota telah dipilih untuk menjadi rumah sementara buat hasil-hasil seni yang pasti memukau mata anda semua. Antaranya adalah GMBB di Bukit Bintang, REXKL, High Street Studios dan banyak lagi. Ha! Peminat dunia fotografi ayuh layari laman web rasmi INI untuk ketahui lebih lanjut.
- Teater Asrama-Ra (Feb 23 – 27)
Bagi anda yang pernah menjadi seorang pelajar asrama, cerita hantu daripada senior atau ‘histeria’ ini memang suatu tradisi asrama yang sebati dengan telinga kita. Daripada cerita mak cik atas almari, bungkusan melompat ke luar koridor, askar berkawad di tengah malam, ini semua memang menjadi bahan borak pelajar-pelajar asrama. Teater Asrama-Ra menceritakan sekumpulan pelajar yang menjalani kem kepimpinan di sekolah mereka. Tiba-tiba pada malam terakhir kem kepimpinan itu… jeng jeng! jeng! Dua orang pelajar perempuan telah terkena ‘histeria’ dan apa yang lebih parah, satu demi satu kejadian pelik mula berlaku. Wah, terbongkarlah semua cerita di sini! Bak kata Tan Sri P.Ramlee, “Ini tak boleh jadi daa…”. Tiket terhad kepada 30 penonton sahaja tau, jadi anda kena cepat dan beli tiket di SINI.
Baiklah, itu sahaja untuk pilihan BASKL buat minggu ini. Jom beli tiket dan jumpa anda di sana!