Minggu lalu RIUH x Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Kelantan telah berlangsung selama tiga hari di Gelanggang Seni, Kota Bharu, Kelantan bagi memeriahkan serta memperkasakan seni tradisional Malaysia buat tontonan penduduk setempat
Kompilasi SHAFIQUE DANIAL, SHAFIQA NABEERA & WAN NOR ALIA | Gambar oleh RIUH x JAKM
Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia merupakan sebuah karnival bertujuan untuk memupuk semangat Keluarga Malaysia yang berteraskan kepada sikap keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. Karnival yang berlangsung selama tiga hari ini telah menarik lebih 70,000 orang pengunjung yang hadir untuk memeriahkan lagi program.
Tapak perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-4 begitu meriah dan padat sepanjang karnival ini berlangsung. Terdapat pelbagai aktiviti menarik dan juga pameran yang disajikan buat rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang ini.
Kemeriahan penonton ini turut dirasai apabila ramai antara mereka yang singgah ke Gelanggang Seni, lokasi dimana berlangsungnya RIUH x JAKM Kelantan. Pelbagai aktiviti menarik daripada pihak penganjur yang telah disusun buat sajian para pengunjung di Kelantan. BASKL ingin kongsikan antara 12 tarikan persembahan yang cukup menarik dan memukau penonton.
1. Mak Yong
Mak Yong merupakan sebuah drama-tari Melayu yang menggabungkan beberapa elemen seperti lakonan dan tarian yang digayakan dengan muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja. Ia dipentaskan sebagai pementasan Di-Raja di bawah naungan Kesultanan Kelantan sehingga 1920-an.
Drama-tari ini lazimnya dimainkan oleh kaum hawa, namun bagi persembahan kali ini, Rosnan Rahman telah membuat penampilan khas sebagai Pakyong.
Kisah yang dibawakan dalam pementasan ini bertajuk Raja Dua Beradik diadaptasi berdasarkan cerita rakyat Melayu kuno yang membawakan watak-watak Diraja, ketuhanan dan pelawak.
Seperti pementasan tradisional yang lain, Mak Yong juga selalunya diiringi dengan alunan alat muzik tradisional dan dibuka dengan lagu “Menghadap Rebab” diikuti dengan tarian, lakonan dan muzik. Mak Yong telah diiktiraf sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara oleh UNESCO.
Persembahan Mak Yong dibawakan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan.
2. Silat Jawi
Silat Jawi juga dikenali sebagai Silat Jatuh, Silat Pulut atau Silat Tari. Silat ini terbahagi kepada dua kategori iaitu pertandingan dan persembahan. Persembahan ini sering dipertontonkan sebagai Silat Tari Tradisional yang lembut, unik dan menarik.
Ia merupakan sebuah seni persembahan yang diwarisi dari turun-temurun yang mendapat perhatian ramai di negeri Kelantan berbanding bentuk silat yang lain.
Silat ini berbeza dengan silat lain kerana langkah seperti tumbukan dan sepakan adalah tidak dibenarkan sama sekali. Pemenang biasanya akan dinilai apabila mereka telah menjatuhkan pihak lawan. Di Kelantan, Silat Jawi lazimnya diiringi dengan muzik gendang dan serunai.
Persembahan Silat Jawi dibawakan dengan kerjasama PUSAKA.
3. Rebana Ubi
Jika ditanyakan pada generasi muda, pasti ramai yang tidak tahu apakah itu Rebana Ubi. Rebana Ubi merupakan alat muzik daripada keluarga rebana dan gendang. Ia berketinggian lebih kurang satu meter dan kira-kira 70cm diameter permukaannya. Permukaannya sering dihiasi dengan warna yang meriah.
Pada masa dahulu Rebana Ubi digunakan untuk tujuan komunikasi jarak jauh, ia akan dimainkan mengikut alunan yang tertentu bergantung kepada perkhabaran yang diterima.
Alat muzik ini cukup terkenal di Pantai Timur khususnya di Kelantan dan lazimnya dimainkan sebagai iringan semasa majlis perayaan terutamanya selepas musim menuai, serta untuk tujuan rekreasi dan pertandingan.
Persembahan rebana ubi kebiasaannya melibatkan enam biji rebana, setiap rebana dipalu oleh dua orang pemain dan pukulan enam rebana ubi itu bergabung mencipta irama bertindih.
Persembahan Rebana Ubi dibawakan dengan kerjasama PUSAKA.
4. Sape’
Sape’ yang juga dikenali sebagai Sambe’ atau Sampe’ merupakan sejenis alat muzik bertali dan berleher panjang, berasal dari masyarakat pribumi di Borneo Tengah. Dengan keluasan kepulauan Borneo yang merupakan ketiga terbesar di dunia membuatkan mereka kaya dengan pelbagai tradisi.
Dalam kebudayaan Kenyah dan Kayan, sape’ dahulunya digunakan untuk upacara perubatan. Sekarang alunan muzik sape’ mengiringi acara perayaan, seni budaya dan hiburan.
Jika kita lihat pada alat muzik sape’, ia sebenarnya diperbuat daripada sebatang kayu, yang kebiasaannya daripada kayu adau’ yang terpilih.
Persembahan Sape’ dibawakan dengan kerjasama PUSAKA.
5. Punjabi Dhol
Dhol ialah sejenis gendang berkepala dua yang menjadi lambang budaya Punjabi. Dhol merupakan gendang rakyat yang digemari ramai di bahagian utara India, Pakistan dan Bangladesh. Seorang pemain gendang Dhol pula akan dipanggil sebagai Dholi.
Ia mempunyai satu sisi yang bernada tinggi yang memberi bunyi treble dan satu sisi yang bernada lebih rendah yang memberi bunyi bass. Dhol lazimnya dimainkan untuk mengiringi lagu rakyat dan juga sebagai hiburan dalam masyarakat Punjabi.
Persembahan Punjabi Dhol dibawakan dengan kerjasama PUSAKA.
6. Tarian Terompah
Tarian Terompah ini merupakan sebuah tarian yang telah diadaptasikan daripada pemakaian terompah sebagai satu alas kaki sejak kedatangan Belanda di Tanah Melayu pada abad ke-17.
Terompah adalah sebuah barang dagangan yang dibawa oleh Belanda dan mula diperkenalkan di kawasan Melaka dan Johor. Terompah ini diperbuat daripada sebuah kayu yang keras dan apabila seseorang berjalan kaki menggunakan terompah, satu bunyi hentakan akan terhasil.
Setiap gerak geri dan bunyi yang keluar daripada hentakan terompah ini memberi petanda yang berbeza-beza. Pada zaman dahulu, bunyi-bunyi tersebut menandakan destinasi ataupun aktiviti seseorang itu.
Persembahan Tarian Terompah dibawakan dengan kerjasama Persatuan Penggiat Zapin Negeri Johor (Pe-zapin Johor).
7. Wayang Kulit
Wayang kulit merupakan sejenis seni teater yang menggunakan bayang-bayang yang terhasil daripada sinaran cahaya lampu disebalik sebuah layar kain putih atau dipanggil sebagai Kelir. Terdapat pelbagai versi Wayang Kulit yang boleh didapati di rantau Asia Tenggara.
Di Malaysia, gaya Wayang Kulit yang paling terkenal ialah Wayang Kulit Siam, yang diamalkan di negeri Kelantan serta di wilayah Patani di selatan Thailand. Wayang Kulit Siam dipersembahkan dalam loghat Melayu Kelantan-Patani.
Terdapat dua jenis jalan penceritaan iaitu cerita utama yang panjang, dikenali sebagai Cerita Pokok, dan juga cerita kecil atau Cerita Ranting yang lebih kerap dipertontonkan.
Persembahan Wayang Kulit dibawakan dengan kerjasama PUSAKA.
8. Tari Inai
Tari Inai merupakan sebuah tarian yang amat terkenal sebagai sebuah tarian yang berasal dari Kelantan dan dipertunjukkan di dalam Istana-Istana Melayu lama.
Kebiasaannya, Tari Inai ini akan dipersembahkan sewaktu anak kecil lelaki di istana ingin berkhatan. Anak-anak lelaki ini akan berada di atas pelamin dan menyaksikan Tari Inai dipersembahkan. Tari Inai ini amat popular di negeri-negeri di sebelah utara Semenanjung Malaysia seperti Perlis, Kedah dan juga Kelantan.
Terdapat beberapa gerak geri yang istimewa dan digabungkan daripada gerak geri silat dan juga Mak Yong. Kelenturan badan seorang penari Tari Inai juga amat penting kerana terdapat perlbagai aksi yang memerlukan penari tersebut meliukkan badan mereka untuk mengambil wang di atas lantai menggunakan mulut.
Persembahan Tari Inai dibawakan dengan kerjasama BaiZam Generation.
9. Tarian Piring
Tarian Piring ini mempunyai pengaruh daripada suku kaum Minangkabau di Sumatra, Indonesia. Pada asalnya, Tarian Piring ini merupakan sebuah tradisi ritual untuk menunjukkan rasa syukur kepada Tuhan yang memberikan hasil melimpah ruah sewaktu musim menuai tiba.
Namun pada hari ini, Tarian Piring hanya kekal sebagai satu bentuk tarian untuk tujuan demonstrasi dan persembahan budaya.
Tarian Piring telah menjadi amat popular di Malaysia terutamanya di Negeri Sembilan dan sering dijadikan sebagai persembahan sewaktu majlis perkahwinan orang-orang berada, golongan bangsawan dan kenamaan di kampung. Tarian Piring juga terkenal di Selangor, Perlis, Pahang dan juga Kedah namun terdapat sedikit perbezaan pada teknik setiap negeri.
Persembahan Tarian Piring dibawakan dengan kerjasama BaiZam Generation.
10. Tarian Zapin
Tarian Zapin Johor merupakan tradisi kacukan yang telah dicipta dan diadaptasi daripada kesenian muzik dan Tari Zafin, Kaum Arab Hadrami yang berasal dari Hadramaut, Bahagian Timur Tengah Yaman. Al-Zafin membawa maksud “gerak kaki’.
Popular pada tahun 50-an dan 60-an, tarian Zapin Johor dikenali dalam dua bentuk iaitu Zapin Melayu dan Zapin Arab. Kedua-dua tarian ini memperlihatkan perbezaan dari segi unsur adaptasinya, namun kedua-duanya berasal daripada satu kesenian masyarakat Arab yang sama.
Di Johor kini terdapat 18 variasi zapin yang mempunyai keistimewaan tersendiri dari segi gaya permainan zapin, seperti Zapin Putar Lam, Zapin Seri Bunian dan Zapin Pulau Aur.
Persembahan Tarian Zapin dibawakan dengan kerjasama Persatuan Penggiat Zapin Negeri Johor (Pe-zapin Johor).
11. Dondang Sayang
Dondang Sayang merupakan sebuah hiburan yang dipercayai berasal pada zaman Kesultanan Melayu Melaka sewaktu abad ke-15.
Dondang Sayang ini bukan sahaja diamalkan oleh masyarakat Melayu, tetapi ia juga diamalkan oleh masyarakat-masyarakat lain seperti Peranakan Melayu Baba-Nyonya, Chetti dan juga Portugis.
Dondang membawa maksud menghiburkan hati manakala Sayang membawa maksud kasih. Salah satu keunikan paling istimewa dalam sebuah pertunjukan Dondang Sayang ini adalah teknik penyampaiannya yang menggunakan alunan pantun yang diiringi dengan bunyi muzik yang cukup merdu.
Persembahan Dondang Sayang dibawakan dengan kerjasama PUSAKA.
12. Dikir Barat
Dikir barat merupakan sebuah persembahan yang menggabungkan nyanyian, berbalas pantun secara spontan dan berkumpulan. Setiap kumpulan membunyai Tukang Karut dan juga Tok Jogho atau Tok Juara yang memainkan peranan sebagai penyanyi utama.
Persembahan Dikir Barat biasanya bermula dengan irama lirik Tok Jogho yang menyampaikan maksud utama, misalnya memelihara seni Dikir Barat dari generasi ke generasi.
Tukang Karut pula berfungsi sebagai pencipta lirik spontan. Dia kemudiannya akan melengkapkan maksud lirik Tok Jogho melalui pantun spontan, dan diulangi oleh nyanyian bersepadu sekumpulan awak-awak disertakan dengan gerakan tepuk tari.
Dialek bahasa yang digunakan adalah bahasa Kelantan, bagi mereka yang memahami dialek ini, Dikir Barat sebenarnya amat menghiburkan dan kata-kata mereka banyak berunsur nasihat.
Persembahan Dikir Barat dibawakan dengan kerjasama PUSAKA.
Selesai sudah 12 jenis persembahan tradisional menarik yang telah dipertontonkan sewaktu edisi RIUH x JAKM Kelantan yang telah berlangsung di Gelanggang Seni, Kota Bharu. Semoga perkongsian ini memberi ilmu baharu mengenai seni budaya tanah air kita dan semoga anda semua terhibur. Pada 5-7 Ogos ini, RIUH akan kembali dengan acara yang lebih besar dan kali ini Bandaraya Melaka Bersejarah menjadi destinasi pilihan. Pastikan anda semua membuat perancangan awal dan semoga kita dapat berjumpa di RIUH Nau! Melaka. Jumpa anda di sana!