12 permainan tradisional Malaysia dari zaman kanak-kanak kita

Sempena Hari Malaysia ini, para penulis BASKL menyingkap nostalgia melalui senarai permainan tradisional yang menjadi sumber keseronokan mereka sewaktu kecil!

Oleh NABILA AZLAN, AZUWAN AHMAD, CHIN JIAN WEI, WAN NOR ALIA WAN ALI, SHAFIQUE DANIAL JOHARI dan DANIAL FUAD | Ilustrasi oleh Wan Mohd Shafiq Wan Hassan

Kita boleh lihat budaya Malaysia dengan lebih dekat dari pelbagai sudut jika bercakap tentang cara dan cerita orang kita – selain makanan, corak seni, bahasa dan pakaian, permainan tradisional juga merupakan satu bahagian menarik untuk dikupas! Kalau nak diikutkan, jumlah permainan yang menjadi ‘akar’ keakraban persahabatan dan kekeluargaan kanak-kanak di negara ini terlalu panjang untuk disenaraikan sekaligus. Oleh sebab itu, para penulis BASKL telah menghimpunkan sebanyak 12 jenis permainan – setiap satunya membawa kepada ingatan sewaktu membesar, tradisi zaman-berzaman dan sedetik memori bersama teman-teman sepermainan!

Yang mana satukah pernah anda main dulu di taman permainan, kawasan sekolah, halaman rumah dan di kediaman saudara-mara?

Congkak

Cara bermain: Dua pemain akan berhadapan dengan strategi masing-masing, di mana papan congkak dengan lima atau tujuh lubang sebaris yang dipanggil ‘kampung’ dan hujungnya terdapat lubang ibu yang dipanggil ‘rumah’ diisi dengan buah Congkak. Kedua-dua orang pemain akan serentak memasukkan buah ke dalam ‘rumah’ sendiri mengikut putaran jam; sehingga dianggap ‘mati’ sekiranya berhenti di ‘kampung’ yang kosong. Begitulah pusingan yang diulang-ulang sehingga salah seorang pemain tidak cukup buah untuk diisi dan dikira kalah.

Sedutan memori penulis: “Kampung saya di Pahang dulu ada papan congkak ukiran kayu yang cantik, selalu diangkat ke tangga hadapan rumah untuk dimain. Lama-kelamaan, papan kayu yang sama diganti pula dengan papan congkak plastik dengan bebola warna-warni sebagai ganti guli, tetapi sama sahaja rasa seronoknya. Seingat saya, bukan senang untuk ‘rangkul’ banyak-banyak guli pada satu masa dulu sewaktu bermain congkak dengan sepupu di kampung, sebab tapak tangan saya tak berapa besar! Tetapi kepuasannya bila boleh ‘membakar’ lubang congkak pihak lawan memang lain macam.” – Nabila

Main guli

Cara bermain: Pemain akan memasukkan jumlah guli yang telah dipersetujui oleh pemain-pemain lain di dalam sebuah bulatan. Setiap pemain mengikut giliran akan cuba untuk mengeluarkan sebanyak mana guli yang boleh dalam bulatan hasil dari membaling guli, dengan harapan ia akan mengena. Di sini, skil membaling dengan ketepatan dan kekuatan yang jitu diperlukan.

Sedutan memori penulis: “Sebelum saya giat bermain bola sepak, guli adalah antara permainan kegemaran. Kebanggaan mempunyai guli yang banyak dalam pelbagai koleksi warna juga menjadi seperti ‘trofi’ yang boleh dibanggakan dengan kawan-kawan. Keghairahan untuk mengeluarkan guli sebanyak yang boleh dari dalam bulatan memacu adrenalin ketika bermain! Ada juga keseronokan ‘membahan’ kawan-kawan yang hebat, samalah juga yang kurang skil. Cara memperolehi guli sebagai modal juga menyeronokkan sebab setiap petang, kedai-kedai yang menjual guli akan dipenuhi kanak-kanak.” – Azuwan

Chapteh/Cap Teh (juga dikenali Sepak Bulu Ayam atau Jianzi)

Cara bermain: Permainan yang menggunakan bulu tangkis berwarna-warni ini memerlukan kebolehan atau skil kaki yang mantap. Para pemain menggunakan otot kaki dan tapak kaki untuk memastikan bulu tangkis ini berada di udara selama yang boleh, ada iras-irasnya dengan Sepak Takraw. Terkenal di China, ia juga dimain negara Asia lain seperti Malaysia dan Singapura.

Sedutan memori penulis: “Saya sebenarnya tak begitu pandai dalam bermain permainan ini – maklumlah bukan olahragawan! Tetapi kanak-kanak lain, juara Cap Teh memang kelihatan hebat. Mengingati permainan ini membawa saya kepada seorang kawan sewaktu kecil yang akan mengajak saya dan kawan-kawan setaman bermain Cap Teh setiap kali tamat kelas tuisyen. Dah masuk zaman bekerja ni, saya tidak lagi berjumpa kawan-kawan lama yang dulu saya jumpa petang-petang.” – Jian Wei

Lompat Tikus

Cara bermain: Dua orang ‘penjaga’ akan berfungsi sebagai penghalang dengan ‘menanda aras’ menggunakan ukuran tapak tangan. Manakala pemain pula akan melompat mengikut aras yang dibina dengan nyanyian atau kiraan “Satu lompat tikus, dua lompat tikus..” dan seterusnya. Ia bermula dari satu tapak tangan, kemudian ditambah sehingga tangan yang keempat dan seterusnya, disusuli halangan di mana kedua-dua penghalang tadi akan mencantumkan tangan mereka dan membentuk ‘lubang tikus’ dan si pemain perlu merangkak melepasi halangan tersebut tanpa menyentuh mana-mana penghalang.

Sedutan memori penulis: “Bagi mengisi masa lapang selepas dan sebelum mula sesi persekolahan atau kelas KAFA (kelas agama Islam), permainan seperti ini dapat membuatkan kanak-kanak bersenam kerana memerlukan larian dan loncatan, serta membina daya fokus! Sejujurnya, walaupun bunyinya seperti satu permainan yang remeh, ia mengimbau kenangan yang manis buat saya. Seronok! Bermain bersama kawan, apatah lagi apabila kumpulan kita yang menang. Suatu pengalaman yang kanak-kanak di abad ke-20 ini mungkin tidak dapat merasai.” – Alia

Batu Seremban

Cara bermain: Pemain harus membaling lima biji Batu Seremban ke udara dan menangkapnya kembali. Mulakan dengan sebiji, kemudian naikkan kepada dua, tiga, empat – dan akhirnya, lima. Jika gagal di salah satu pusingan, pemain harus kembali ke pusingan awal dengan jumlah Batu Seremban yang paling sedikit.

Sedutan memori penulis: “Batu Seremban mengajar kita nilai keseimbangan dan juga kepantansan sambil melatih diri untuk sabar dalam meningkatkan tahap atau jumlah kantung batu seremban yang berjaya diperolehi di dalam genggaman! Permainan yang kebiasaannya dimain di dalam rumah atau kawasan berteduh ini mungkin menjadikan lebih ramai kanak-kanak perempuan untuk meminatinya.” – Shafique

Tuju Selipar

Cara bermain: Dua kumpulan pemain akan berentap antara satu sama lain. Objektif permainan ini adalah untuk menyusun selipar semua pemain sekumpulan dalam bentuk piramid, sementara ‘menjaga’ diri dan binaan dari balingan selipar yang dihalakan oleh pihak lawan. Dodgeball tetapi versi Malaysia!

Sedutan memori penulis: “Permainan ini memang mengajar semangat setia kawan dan cara bekerja di bawah tekanan. Saya main tuju selipar di kampung semasa membesar, dah banyak petang dihabiskan dengan permainan ini. Saya ingat lagi, ada seorang kawan yang dulunya menggunakan selipar jenama Tat Sing yang agak berat untuk dilemparkan ke arah musuh – sampai benjol dahi seorang kawan itu dibuatnya!” – Danial

Layang-Layang

Cara bermain: Layang-layang yang diikat kepada gulungan benang akan diterbangkan secara strategik mengikut tiupan angin. Jika perlu, pemain harus berlari anak supaya layang-layang mampu naik ke atas sedikit demi sedikit!

Sedutan memori penulis: “Bermain permainan ini kena pandai memilih masa – angin kuat sangat tak boleh, tiada angin pun tak boleh. Jarang-jarang sebenarnya Layang-Layang saya diterbangkan awan, tetapi sangat seronok bila tiupan angin meningkat dan ia naik ke awan! Menerbangkannya – sama ada yang dibeli di kedai dengan ayah saya atau yang dibuat sendiri menggunakan kertas warna sama seronoknya.” – Nabila

Kabbadi

Cara bermain: Dimainkan oleh dua pasukan yang terdiri daripada tujuh orang pemain sepasukan. Pemain serangan yang dipanggil Raider akan masuk ke dalam bahagian gelanggang lawan dan cuba menyentuh seberapa banyak pemain lawan. Raider itu kemudian harus pulang ke ‘rumah’ tanpa dapat ditangkap oleh pemain lawan. Menariknya, ketika Raider cuba menyerang, dia mesti terus mengulang kata ‘Kabbadi’ tanpa putus. Andai kata ia terputus sebab habis nafas, Raider itu dikira tersingkir daripada permainan. Di Bangladesh, ia diangkat sebagai sukan bertaraf kebangsaan.

Sedutan memori penulis: “Saya pernah mewakili sekolah dalam permainan ini dan muncul sebagai satu antara tiga pasukan terbaik. Saya hampir sahaja mewakili negeri dalam kejohanan antara negeri yang dirancang, namun telah dibatalkan tanpa sebab yang jelas. Saya masih ingat saat-saat ketika bermain dan menjadi harapan pasukan ketika bertahan, selain dikenali dalam pasukan sebagai tackler yang sangat bagus!” – Azuwan

Colek Lidi

Cara bermain: Juga dikenali sebagai Pick Up Sticks, permainan ini sering dimainkan di dalam rumah. Senang sahaja, segenggam lidi akan dilepaskan dalam satu longgokan. Para pemain pula ditugaskan untuk mengangkat lidi yang tertentu tanpa menyentuh langsung lidi-lidi yang lain.

Sedutan memori penulis: “Haa, berbeza dengan Cap Teh, ini memang permainan saya! Selalu sangat saya main colek lidi, sebab ia memerlukan tangan yang stabil. Kalau teringat tentangnya, saya boleh dengar semula bunyi riuh-rendah di parti-parti dan rumah-rumah terbuka. Saya masih simpan satu set colek lidi yang dihadiahkan oleh ibu saudara saya di dalam bilik, berserta arahan permainannya yang ditulis tangan.” – Jian Wei

Tarik Upih

Cara bermain: Mengggunakan daun pelepah pokok pinang atau upih pinang yang luruh, seorang pemain akan duduk di atas pelepah, manakala seorang lagi akan menariknya. Yang duduk pastinya seronok merasa tiupan angin, tetapi yang menariknya pula, pasti tidak sabar menunggu saat gilirannya ditarik pula!

Sedutan memori penulis: “Sekitar tahun 90an, kita masih dapat melihat permainan tradisional seperti ini dimainkan terutamanya di kampung halaman. Kini kita hanya dapat lihat permainan sebegini sewaktu acara sukaneka. Walaupun hanya di acara tertentu, tetapi bagus untuk kita kenali permainan tradisi kita, agar tidak lapuk dek telan zaman! Saya selalu rasakan bahawa tarik upih adalah suatu permainan yang menarik.” – Alia

Galah Panjang

Cara bermain: Satu permainan yang dimainkan di luar rumah atau di tapak yang terbuka. Pemain akan dibahagikan kepada dua kumpulan, satu kumpulan perlu menjadi benteng pertahanan dan satu lagi kumpulan perlu melepasi halangan ini untuk pergi ke kawasan yang paling hujung.

Sedutan memori penulis: “Permainan ini cukup seronok kerana kita dapat berlari dan mengeluarkan peluh di dalam sebuah suasana yang cukup meriah. Ianya cukup riuh dan jarang sekali kita jumpa orang yang bermain Galah Panjang secara senyap atau diam-diam! Gelak tawa seperti inilah yang dapat membina persahabatan yang kekal sehingga ke hari tua kita.” – Shafique

Pukul Berapa Datuk Harimau

Cara bermain: Pernah tonton siri Squid Game dari Korea? Inilah Red Light, Green Light versi Malaysia! Perbezaannya, akan ada seorang pemain bergelar ‘Datuk Harimau’ yang duduk di hadapan, sementara para pemain lain mengikutinya dari belakang sambil menanyakan ‘pukul berapa Datuk Harimau’ – sehinggalah Datuk Harimau mengatakan ‘Pukul 12!’ (masa membaham), di mana semua pemain lain harus lari ke tempat selamat sebelum menjadi ‘makanan’, sebelum dilantik menjadi Datuk Harimau buat pusingan seterusnya.

Sedutan memori penulis: “Tiada siapa boleh tahu bila ‘masa makan’ Datuk Harimau, sebab tu ianya menyeronokkan! Saya selalu bermain permainan ini pada bulan Ramadan di waktu malam, selepas solat tarawih. Teringat zaman dulu-dulu bermain dengan kawan-kawan, pernah juga satu masa itu saya terlari jauh, sampai terlanggar batu dan lukakan lutut!” – Danial

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites